Geng Bas Sekolah

June 25, 2013

BANGUNKAN JIWA ORANG MELAYU

Tiga suku abad kehadiran Utusan Melayu/Utusan Malaysia amat bermakna bagi mereka yang mengerti. Penulis sejak muda lagi memang tidak tinggal membaca Utusan Melayu (Jawi) dan setiap hari rasa terhibur dengan karton Dol Keropok dan Wak Tempe. Sehingga pada larut usia, penulis terus menatap Utusan Malaysia (Rumi) sebagai akhbar pendukung risalah umat Melayu.

Bermulanya di Singapura dengan pengalaman perit dan pahit hingga berpindah ke Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, berdepan dengan peristiwa mogok dan pengaruh kumpulan kiri hingga menjadi jurucakap umat Melayu sehingga kini dan mula berpindah ke bangunan baharu yang gah tersergam di jalan yang sama.

Utusan Melayu/Utusan Malaysia dari segi sejarahnya sama naik dengan orang Melayu. Sejak zaman penjajah, zaman merdeka dan zaman Malaysia menjadi sebuah negara maju, sumbangan membangun pemikiran dan jiwa orang Melayu dalam arus perjuangan silih zaman dan masa, tidak pernah hilang.

Perkataan Melayu adalah perkataan keramat yang menentukan Malaysia masih dipimpin utamanya orang Melayu. Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat adalah sambung menyambung dari sejarah Melaka.

Imigran awal yang datang dan tinggal lama di Melaka walaupun dari tamadun besar mengamalkan sikap dan pendirian di mana bumi dipijak dan di situlah langit dijunjung sehingga kini menghasilkan asimilasi dan penyesuaian budaya setempat dan digelar sebagai Baba dan Nyonya Peranakan.

Perlembagaan Malaysia memberikan asas Melayu sebagai beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Kemelayuan Melayu itu tunjangnya ialah Islam.

Bila zaman berubah di mana imigran gelombang kedua diterima sebagai warganegara Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia. Utusan Melayu akhirnya bertukar menjadi Utusan Malaysia. Sistem pendidikan negara juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti.

Zaman berubah dan cara berfikir dan hidup orang Melayu juga berubah. Sesetengah orang Melayu menjadi liberal dan sekular hingga menyebabkan faktor Melayu menjadi asing kepada mereka. Sesetengah Melayu merasa malu untuk menyebut diri mereka Melayu sama ada yang terpengaruh dengan budaya hidup Barat atau kalangan orang Melayu yang terlibat dengan dakwah menganggap memperjuangkan Melayu sebagai asabiyyah dan membawa natijah rasis.

Tidak terkejut kita mendapati orang Melayu rasa asing dengan Utusan Malaysia dan tulisan Jawi dan berbangga dengan mengepit akhbar berbahasa Inggeris yang seolah-olah menampakkan mereka maju dan kebaratan. Mereka rasa sengkek membaca Utusan Malaysia kononnya tidak maju dan kekampungan.

Utusan Malaysia yang ditatap setiap hari adalah hasil pemikiran penulis Melayu dan bukan Melayu yang menyentuh tidak saja aspek politik, budaya, agama, pendidikan dan ilmu, tetapi sifatnya kontemporari dan mencerminkan aspek kemelayuan yang sangat terbuka dan maju.

Pendita terdahulu menyebutkan "Bahasa Jiwa Bangsa". Bangsa Malaysia yang memiliki jati diri yang tinggi sentiasa melihat Utusan Malaysia sebagai suatu wadah pengucapan bangsa Malaysia supaya akhirnya bahasa Malaysia menjadi bahasa pemikiran, ilmu dalam binaan bangsa Malaysia yang maju.

Ini tidak dimengerti benar oleh orang Melayu yang sebahagiannya menjadi kelompok kelas menengah, ahli akademik dan profesional yang beranggapan membaca Utusan Malaysia adalah sesuatu yang tidak mencerminkan maju dan tangkas.

Bayangkan kalau orang Melayu sendiri sudah memiliki sifat demikian, orang Cina juga semakin teguh dengan bahasa dan budayanya sehingga organisasi Dong Zong dan Dong Ziau Jong memperjuangkan bahasa Cina sebagai bahasa utama serta pendekatan pendidikannya, dan hadirnya banyak akhbar Cina yang mendukung cita-cita kecinaannya.

Apakah salah orang Melayu mengembangkan pengaruh Utusan Malaysia membawa maksud Perlembagaan yang menjadikan orang Melayu sebagai kelompok teras dengan tidak menghalang orang bukan Melayu maju dalam banyak bidang terutamanya ekonomi? - Utusan Malaysia

No comments: