Geng Bas Sekolah

February 25, 2013

Penawaran PR1MA Adalah Untuk Rakyat


Penawaran sebanyak 11,000 unit rumah mampu milik di negeri ini yang dibangunkan menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) terus membuktikan kerajaan bersikap inklusif terhadap semua lapisan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif tersebut merupakan hadiah daripada Gagasan 1Malaysia serta transformasi negara yang dijayakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Menurutnya, projek ini akan memberi manfaat sekali gus membantu golongan berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah sendiri.

''Ini kerana pendapatan mereka tidak layak untuk membeli rumah kos rendah, tetapi pada masa sama harga rumah masa kini contohnya di sekitar Kuala Lumpur hampir mencecah RM400,000 hingga RM800,000, harganya amat mahal, mereka juga tidak mampu, sebab itu kita wujudkan PR1MA," katanya.

Mohammad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 11,000 unit rumah berkenaan akan dibina di dua kawasan berhampiran Seremban Utara (Ulu Temiang) dan di tengah bandar berdekatan stesen KTM Seremban yang turut bakal dinaik taraf menjadi Seremban Sentral.

''Sebanyak 5,000 unit akan dibina di Seremban Sentral dan 6,000 lagi di Ulu Temiang, malah dengan ada stesen Seremban Sentral ia akan memudahkan lagi orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam," ujarnya.

Projek PR1MA Seremban Sentral ini terletak di presint Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban yang sedia ada dengan keluasan melebihi 29.54 hektar dengan nilaian pembangunan kasar sebanyak RM2.5 bilion.

Di kawasan itu apabila siap kelak pada pertengahan tahun 2016 akan mempunyai kemudahan kereta api, perkhidmatan bas, pejabat komersial, pusat membeli belah, runcit, kesihatan, institusi pendidikan, taman serta hotel sesuai dengan konsep Taman Sentral dan Dataran Warisan yang diperkenalkan di sini.

PR1MA Seremban Sentral merupakan kerjasama awam-swasta antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Railway Assets Corporation (RAC), KTMB, kerajaan negeri serta pemaju swasta, Brunsfield Group.

Dengan harga sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah paras harga rumah di Seremban ini, Mohamad memberitahu, ia akan menjadi tarikan kepada golongan muda untuk memiliki rumah mereka di kawasan bandar ini.

No comments: