Geng Bas Sekolah

February 23, 2013

Azizan Diancam Golongan Anti Persaudaraan Islam


KEMELUT kepimpinan Pas Kedah bukan satu episod baru. Krisis di negeri itu macam ‘api dalam sekam’. Makin lama makin hangat, kemudian berbahang dan kini sudah ‘meletus’.

Kumpulan yang mengadakan demo kali ini dikatakan terdiri daripada majlis ulama Kedah. Begitupun kumpulan itu turut dipengaruhi kumpulan yang anti-Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak iaitu Exco, Pharolrazi Nawawi dan Dr. Ismail Salleh.

Kumpulan ini melihat Azizan adalah ancaman kepada kedudukan mereka dan kestabilan parti di Kedah.

Menurut sumber-sumber dalaman di Kedah, antara perkara yang mereka paling tidak puas hati adalah tindakan Azizan tidak menyenaraikan beberapa nama bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Antara nama yang disebut-sebut digugurkan ialah Dr. Ismail, Pahrolrazi dan ADUN Tokai, Taulan Rasul.

Susulan itu, mereka mahu Azizan digugurkan sahaja bagi memastikan tiga nama tersebut dan beberapa nama wakil rakyat yang sedia ada dikekalkan.

“Konsep mereka pastikan Azizan gugur, jikalau tidak ramai calon pilihan majlis ulama akan tergugur. Kumpulan ini juga sudah lama bersikap tidak puas hati dengan Azizan tetapi mereka lebih banyak bertindak di belakang selaras dengan pendekatan majlis ulama yang tidak mahu vokal dan lebih suka perbincangan.

“Namun apabila suara mereka tidak didengari, maka mereka sekarang tampil melancarkan serangan terbuka terhadap Azizan," menurut sumber itu lagi.

Satu lagi isu yang mereka tidak puas hati ialah dasar pentadbiran Azizan. Azizan melaksanakan pentadbiran ‘kerajaan menguasai parti’ sedangkan kumpulan itu mahukan ‘parti menguasai kerajaan’.

Akibat sikap Azizan dengan dasar ‘kerajaan menguasai parti’, Azizan dilihat memberi muka kepada pegawai Kedah Civil Service atau Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah, terlalu mesra dengan pemimpin UMNO, memberi kontrak sama rata kepada orang Barisan Nasional dan Pas serta masih mengekalkan orang UMNO di peringkat tinggi kerajaan negeri.

“Mereka melihat ini adalah kelemahaan yang sangat ketara, yang merugikan parti dan menyebabkan ahli memberontak. Namun senario yang sebenarnya adalah gerakan supaya Azizan tidak menjadi menteri besar selepas pilihan raya umum nanti," katanya.

Penulis difahamkan, selepas gerakan pertama dahulu gagal apabila Dr. Ismail dan Pahrolrazi mengugut untuk tidak menyertai Exco Kerajaan Negeri Kedah, gerakan itu melihat ‘gelombang kedua’ sebagai sangat penting. Ia adalah soal survival beberapa orang penting Pas Kedah.

Sekiranya gerakan gelombang kedua ini gagal juga, maka beberapa pemimpin Pas Kedah yang menentang Azizan akan berdepan masa depan sangat gelap apabila tiba masa pilihan raya umum nanti.

Harus diingat selepas ‘gelombang pertama’ dahulu, isu ‘kepimpinan Azizan’ tidak pernah senyap. Jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan sudah tidak pasti apa peranannya. Apa tugas pemandu jawatankuasa itu buat juga tidak pasti. Begitu juga apakah hasil pemanduan yang dijalankan, setakat mana telah sampai ke destinasinya?

Pergolakan dan kecurigaan sesama mereka terus berlangsung sehingga sekarang. Tikaman belakang masih juga berlaku.

Bukan lagi perkara rahsia, masing-masing memperlekahkan pihak lain. Dalam mesyuarat exco juga dilaporkan kumpulan Pahrolrazi dan Dr. Ismail menjadi kumpulan yang pasif - yang tidak banyak diberi tanggungjawab.

Azizan juga dikatakan sering kali menyindir kumpulan itu dengan pelbagai kata-kata. Di hadapan orang ramai, mereka tunjuk tidak ada masalah. Tetapi di belakang, mereka sentiasa mengambil peluang menikam.

Jangan lupa juga isu dua minggu lepas apabila Azizan dikritik hebat penyokong Pas menerusi media sosial apabila beliau menghadiri majlis perasmian program IM4U di Gunung Keriang Alor Setar. Kemesraan beliau dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah telah menyebabkan golongan anti-Azizan melancarkan perang siber agar Azizan digugurkan dan sertai sahaja UMNO.

Kumpulan anti-Azizan akan menggunakan segala kesempatan bagi menyerang Azizan. Cuma, berjayakah mereka? Adakah ‘gelombang kedua’ kali ini lebih besar daripada gelombang pertama’ dahulu.

Jika dilihat daripada satu sudut, gelombang kedua ini juga akan gagal kerana Azizan mampu bertahan dengan sokongan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama Pas.

Gerakan mereka juga akan gagal kerana tidak mendapat sokongan akar umbi. Harus diingat akar umbi Pas adalah kuat menyokong kepimpinan Azizan. Dan mahu mempertahankan kemenangan walaupun ia tidak disukai beberapa pemimpin Pas sendiri.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman dan ‘licik’, Azizan diyakini mampu menghadapi sekali lagi gelombang ini. Malah, gelombang ini disifatkan tidak sebesar gelombang pertama. Ia mudah dimatikan.

Apa pun, Azizan pasti tidak dapat belayar dengan tenang kerana banyak jerung sedang menanti kapalnya pecah.

No comments: