Geng Bas Sekolah

January 3, 2013

Pemimpin PAS Suka Menipu


SETELAH dua minggu diasak untuk memohon maaf dan menarik balik amanat yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya meletakkan syarat agar diberikan ruang bersiaran selama sejam di saluran televisyen utama untuk menjelaskan fatwa yang telah menyebabkan berpecahnya umat Islam di Malaysia.

Isu amanat beracun itu kembali hangat diperkatakan dalam tempoh dua minggu sebelum bermulanya tahun baharu setelah seorang bekas aktivis Pas mendedahkan beberapa insiden dan pengakuan penyokong parti berkenaan yang mula sedar kesan buruk ketaksuban dan kejumudan yang berlaku.

Kesediaan salah sebuah stesen televisyen utama untuk menyiarkan penjelasan tersebut akan mempamerkan betapa gelabahnya Presiden Pas untuk menutupi kelemahan dan kemungkaran politiknya selama ini.

Beliau bakal berhadapan dengan kesan yang lebih besar terhadap karier politiknya jika ruang yang diberikan itu tidak menjawab persoalan sebenar yang ingin diketahui oleh masyarakat kerana doktrin tersebut telah menjadikan situasi silariturrahim dalam masyarakat Islam tegang dan hampir mengakibatkan ‘perang saudara’ ekoran perbalahan politik.

Puncanya adalah jelas, amanat yang dianggap beracun itu meletakkan perbezaan politik sebagai faktor perpecahan dan sengketa dalam masyarakat walaupun amalan agama dan keyakinan bertauhid adalah sama. Ini kerana sebilangan orang yang memiliki pendirian politik yang berbeza dituduh sebagai kafir manakala setiap tingkah lakunya adalah “taghut".

Sejak tertubuhnya Parti Islam Semalaysia (Pas) pada 1951, permusuhan sesama Islam atas perbezaan politik mula menjadi ketara. Pas yang mendakwa dirinya sebagai parti yang memperjuangkan Islam mula mengaitkan agama sebagai ideologi politik setelah terpengaruh dengan gerakan siasah yang lahir di beberapa negara kesan kebangkitan semangat nasionalisme yang selepas Perang Dunia Kedua.

Kelahiran Pas sebenarnya bukanlah suatu gerakan kesedaran keagamaan kerana ia mempunyai kaitan tidak langsung dengan keinginan penjajah untuk memecahbelahkan orang Melayu. British sedar, dasar pecah dan perintah akan memberikan jaminan kelangsungan pengaruhnya untuk terus menguasai sektor ekonomi dan sumber semula jadi bagi memenuhi keperluan industri dan perdagangannya.

Pas didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik pada 16 September 1951 dan diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 di Pulau Pinang. Sebelum itu, iaitu pada 1948, British mengharamkan penubuhan Hizbul Muslimin di Persekutuan Tanah Melayu.

British membenarkan Pas menjadi sebuah pertubuhan politik atas kesedaran untuk dijadikan platform memecahbelahkan orang Melayu daripada dalam kalangan orang Melayu sendiri dengan menggunakan agama. British yang terpaksa mengalah dengan semangat dan kekentalan pendirian orang Melayu yang menentang agenda Malayan Union pada 1946, merasakan inilah peluang untuk memecahkan penyatuan Melayu-Islam.

Pas menjadi alat British dengan membenarkan Ahmad Fuad dan rakan-rakannya yang keluar UMNO untuk menubuhkan sebuah parti pembangkang dengan mengetengahkan isu-isu agama agar orang Melayu-Islam menjadi lemah dan keliru. Hakikat itu menjadi kenyataan apabila pada 1964, Pas dengan bangganya menuduh kerjasama yang terjalin dalam parti-parti yang mewakili kaum-kaum tertentu dalam perjuangan yang dikenali sebagai Perikatan sebagai “kafir".

Bagi mewajarkan doktrin itu, seorang wakil rakyat Pas Kelantan menggunakan sebahagian daripada ayat al-Quran dari Surah Ali Imran ayat 28: “Janganlah orang beriman mengambil orang kafir menjadi pemimpin atau teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman…;" manakala sebahagian lagi maksud ayat disembunyikan, “Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah sesuatu apa pun kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu yang bahaya yang ditakuti daripada pihak mereka. Dan Allah perintah supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan Allah dan Allah jua tempat kembali."

Dengan meninggalkan frasa akhir itulah Pas seterusnya meletakkan pendirian politik, iaitu “jika bekerjasama dengan bukan Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi kafir." Sedangkan dalam ayat tersebut terdapat istilah auliyya dalam maksud jamak daripada perkataan wali. Maksud sebenar istilah tersebut ialah wali atau auliya di sisi Allah SWT “pemimpin, pelindung dan pengurus yang beriman."

Secara histrokalnya pula, ayat tersebut diturunkan bagi menjelaskan satu perjanjian persahabatan yang berlaku di antara Kaab bin Al-Asyraf , Ubnu Abi Haqiq dan Qais bin Zaid. Ketiga-tiga mereka adalah keturunan Yahudi yang sentiasa mengganggu kaum Ansar di Madinah. Kecurigaan Yahudi itu mendapat teguran Rifa‘ah al-Mundzir, Abdullah Jubair dan Saad Khatami apabila mereka menasihatkan Al-Hajjaj bin Amru dan kaum Ansar supaya tidak menjalinkan hubungan persahabatan dengan Yahudi.

Menurut satu riwayat lain dari Ibnu Jarir, Ibnu Mundzir dan Ibnu Abi Hatim, Allah SWT melarang orang yang beriman daripada bersikap lemah-lembut terhadap orang kafir dan mengambil mereka sebagai sahabat melebihi orang yang beriman kecualilah mereka itu lebih kuat daripada orang beriman (Islam). Maknanya, persahabatan dan kerjasama dengan orang kafir boleh terjalin jika mereka mempunyai kekuatan.

Ini bermakna, persahabatan atau kerjasama tersebut tidak boleh dilaksanakan sekiranya: orang kafir mempunyai niat yang jahat terhadap Islam; menjaga kepentingan diri dan harta dengan mendedahkan rahsia dan strategi keselamatan negara; semata-mata mengutamakan mereka dengan mengetepikan orang mukmin yang lebih kuat.

Jika diamati maksud itu, doktrin bersabahat dan bekerjasama dengan bukan Islam bukanlah menjadikan seseorang itu secara langsungnya ‘kafir’ kerana dalam sistem politik perwakilan yang diamalkan di Malaysia, wakil rakyat bukanlah ‘wali atau auliya.’ Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri bukanlah “wali amri" yang dimaksudkan dalam ayat tersebut, kerana mereka hanya dipilih dalam pilihan raya untuk mewakili orang ramai untuk membawa misi dan aspirasi awam. Larangan bekerjasama dengan bukan Islam dalam konteks “wali amri" tiada kaitan dengan kerjasama UMNO dengan-parti komponen dalam Perikatan atau Barisan Nasional.

Wakil rakyat bukan Islam diberikan tanggungjawab menerajui sesuatu kementerian hanyalah dalam usaha melaksanakan dasar dan bukannya penggubal dasar. Perkara ini pernah diakui sendiri oleh pemimpin Pas sebagai “sesuatu yang diharuskan" ketika mereka bekerjasama untuk menubuhkan pakatan pembangkang pada 2008. Ini bermakna, Pas hanya menggunakan tafsiran ayat tersebut untuk kepentingan politik mereka dan kemudiannya mengubahnya menjadi sesuatu yang “diharuskan".

Kalau dahulu kerjasama dalam Perikatan atau BN dipanggil “berkawan dengan bukan Islam", kini Pas mengistilahkan hubungan yang sama dengan parti-parti pembangkang bukan Islam dengan “tahaluf siyasi", bermakna Allah SWT menurunkan ayat ke-28 Surah Ali Imran itu sebagai sasaran untuk menghukum UMNO dan bukannya untuk semua manusia, termasuk Pas.

Hal ini adalah bertentangan dengan ingatan Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya: Dilarang seseorang dengan tuduhan kufur atau fasiq. Kerana jika orang yang dituduh itu tiada bersifat demikian, maka tuduhan (sifat) itu berbalik kepada penuduh." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Nik Aziz Nik Mat dalam satu tulisannya yang dikeluarkan pada 1977 oleh Badan Perhubungan Pas Kelantan yang bertajuk Sikap Saya memetik fatwa Perikatan 1973: Kerajaan Campuran adalah harus dan ditarjih oleh Kongres" dan kerana itulah Pas menyertai BN dan menggunakan lambang BN untuk bertanding dalam pilihan raya umum 1974.

Maknanya, larangan berkawan dengan bukan Islam hanyalah helah politik yang sengaja didoktrinkan oleh para ulama politik untuk kepentingan kuasa dan bukannya pendirian sebenar Islam.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa Pas adalah “parti Islam." Ketika menemui pengundi luar semasa kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan pada 2010, Mursyidul Am Pas menafikan parti itu adalah “parti Islam." Maknanya, Pas sentiasa berubah-ubah pendirian demi survival politiknya setelah rakyat semakin sedar pembohongan dan kemunafikan para pemimpin yang memperlihatkan dirinya sahajalah yang paling beriman dan boleh dipanggil lebai.

Dalam kes amanat beracun itu nampaknya semakin ramai pemimpin Pas dilanda dosa-dosa politiknya sendiri. Dalam usaha untuk merobohkan tabiat si lebai yang sudah bertukar menjadi si luncai itulah maka timbulnya pelbagai syarat manakala ketika mengeluarkannya tidak melihat mudarat yang mungkin terjadi sebagai dosa.

Jika penjelasan di ruang media awam itu menjadi kenyataan, apakah sikap sebenar Presiden Pas akan menjernihkan kemelut berhubung tuduhan kafir mengkafir sesama Islam? Mungkinkah ketika itu Presiden Pas akan membuat “pengakuan dosanya" dan “memohon maaf" secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana berlakunya perpecahan antara umat Islam?

Jika dua soalan itu tidak dapat dijawab oleh Presiden Pas dalam ruang awam yang mungkin diberikan kepadanya, ia akan menyebabkan kepercayaan terhadap kepimpinannya merudum jatuh ke tahap paling rendah. Kedudukan itu bakal menamatkan karier politiknya dan personalitinya sebagai si lebai yang berilmu dan memperoleh keputusan cemerlang di peringkat universiti ternama adalah sama dengan si luncai yang lemas kerana tidak dapat berpaut labu “pelampung" apabila terjun ke longkang tandus air dan dosa sosial “matlamat menghalalkan cara."

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisis dan

Penyelidikan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia

1 comment:

Anonymous said...

Cuba check sejarah..sapakah yang mereka cipta Demokrasi...dan cuba check Al Quran..adakah ujud sistem Demokrasi dalam Islam.