Geng Bas Sekolah

November 29, 2012

Teliti Hala Tuju Puteri


PERHIMPUNAN Agung UMNO 2012 dilihat semakin hangat dengan persediaan perwakilan berhujah dan membincangkan isu-isu panas khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selain isu berkaitan PRU dan pakatan pembangkang, perbahasan yang bakal mencuri tumpuan utama pastinya persediaan UMNO dan pendekatan ahli-ahli parti menarik sokongan pengundi.

Bagi Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, perhimpunan tahun lalu lebih kepada usaha transformasi dan kerja yang digerakkan Presiden UMNO tetapi banyak juga isu yang berbangkit sepanjang tempoh itu akan dibincangkan tahun ini.

UMNO yang merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) sentiasa konsisten terutamanya dalam isu agama dengan pendekatan kesederhanaan dan perbincangan sebelum sesuatu dilaksanakan.

Namun, kita akan lihat juga cara pakatan pembangkang yang berebut ke Putrajaya dan ramai mahu menjadi hero isu-isu termasuk agama, khususnya Pas yang cakap berbeza- beza dalam perhimpunan dan bila bersama pakatan," katanya.

Tambahnya, Presiden UMNO dijangka akan fokus kepada calon boleh menang yang taat kepada parti dan bukannya jenis ‘akulah segalanya’, serta penekanan terhadap penyertaan generasi muda.

Beliau bagaimanapun berharap menjelang PRU13, sayap Wanita dan Puteri UMNO diberi lebih peluang mencapai sasaran 30 peratus calon wanita untuk Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.

Kadang kala saya sedih juga melihatkan tidak ramai wanita menjadi Ahli Parlimen. Kita sentiasa tekankan mahu capai sasaran 30 peratus itu seperti mana Perdana Menteri tegaskan kedudukan wanita sebagai ketua korporat.

Untuk menekankan peranan wanita dalam politik, saya juga berharap UMNO dapat perbanyakkan atau mewujudkan jawatan ketua bahagian dan cawangan untuk wanita, bukan sekadar ketua sayap Wanita dan Puteri sahaja," ujarnya.

Beliau yang juga bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO berpendapat pergerakan sayap itu penting bagi menunjukkan UMNO relevan kepada pengundi atas pagar dan generasi baharu khususnya wanita muda.

Relevan ini bermakna bilangan. Keahlian perlu ditambah, cawangan juga kena tambah untuk memudahkan Puteri menjalankan aktiviti bersama sayap lain. Puteri sudah diberi platform yang sama dengan Wanita dan Pemuda. Suka atau tidak, mereka perlu wujudkan banyak rangkaian, tunjuk apa yang Puteri boleh tawarkan dan perlu jadi juara untuk wanita muda" tegasnya.

Walaupun wujud keperluan populariti dalam politik, parti dan di kalangan rakyat, Azalina berharap ahli Puteri tetap berani mempertahankan perjuangan mereka agar lebih relevan kepada wanita muda walaupun mungkin ada sahabat politik mereka tidak bersetuju.

Berkenaan perbezaan Puteri di bawah kepimpinan baharu, beliau merasakan setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri yang disesuaikan mengikut keadaan dan permintaan ahli-ahli.

Saya dahulu dikatakan agresif, Puteri pula gah. Tapi tengoklah waktu penubuhan itu, kami di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir yang menghadapi reformasi perlu berdepan dengan parti Keadilan yang agresif.

“Mungkin itu stigma tetapi Puteri antara jalan penyelesaian ketika itu. Datuk Noraini Ahmad di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi lain pula caranya, begitu juga Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.

Menurutnya lagi, tiada masalah selagi UMNO selesa dengan hala tuju sayapnya itu tetapi ahli-ahli Puteri sendiri perlu menetapkan masa hadapan perjuangan mereka.

Beliau turut terkilan apabila apa yang ditinggalkannya dahulu seperti telah direbut Nurul Izzah Anwar, seolah-olah pembangkang pula yang memperjuangkan nasib wanita muda selama ini.

Itu tidak betul, bukan dia yang perjuang wanita muda, Puteri UMNO adalah platform yang lebih baik memperjuangkan peranan wanita dalam politik, ekonomi dan sosial termasuk dalam dunia korporat.

Yang saya mahu tegur ahli Puteri, dalam politik mesti ada risiko tetapi mereka perlu berani dan utamakan ahli. Kita mahu juga tengok wanita graduan universiti diberi peluang termasuk di syarikat milik kerajaan (GLC)," katanya.

Selain itu, Azalina berharap UMNO turut melihat kepentingan Pergerakan Puteri kepada parti kerana walaupun telah melangkaui umur 10 tahun, sayap itu masih memerlukan bantuan dan dorongan.

Sedangkan anak umur 10 tahun kita tidak biar ke kedai sendirian. Puteri ini pasca merdeka, generasi celik IT (teknologi maklumat) tetapi bukan seperti sayap Wanita yang seusia UMNO.

Puteri masih memerlukan bantuan UMNO untuk memantau dan menolong mereka. Apa yang dituduh kepada parti, mereka juga kena, siapa pula akan melatih anak-anak Puteri dan ke mana hala tuju mereka ini selepas umur 35 tahun," ujarnya.

Beliau membangkitkan persoalan ke manakah para pemimpin Puteri selepas mereka meninggalkan pergerakan tersebut kerana rata-rata kumpulan itu tidak nampak memainkan peranan dalam parti, bahagian atau cawangan.

“Sejak penubuhan Puteri pada tahun 2000, ke mana semua bekas pemimpinnya yang keluar selepas mencapai had umur keahlian 35 tahun?

Kalau sudah dilatih dalam politik, macam-macam dilatih, takkan mereka hilang begitu sahaja? Umur 35 tahun itu masih muda, mampu bekerja dan berkhidmat lagi," tegasnya.

Beliau berharap UMNO peka dengan isu tersebut dan membincangkannya dengan segera kerana perlu ada kesinambungan untuk warga Puteri selepas melangkaui had umur keahlian.

Tambahnya, parti juga tidak boleh sekadar ‘melepaskan’ mereka begitu sahaja dan menganggap mereka akan kekal dalam UMNO selamanya.

Mereka ini tidak akan meminta-minta. Tidak perlu diberi jawatan pun untuk terus menyumbang kepada parti kerana jawatan memang terhad, tetapi banyak tanggungjawab lain boleh mereka laksanakan di peringkat bahagian, cawangan, Wanita dan sebagainya," jelasnya.

Azalina berharap UMNO dapat melihat kembali peranan untuk warga Puteri kerana sayap itu kini banyak dianggotai wanita muda terpelajar serta graduan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Tegasnya, amat merugikan UMNO jika wanita terpelajar seperti mereka dibiarkan fokus kepada kerjaya semata-mata dan tidak diberi peluang menyumbang dalam perjuangan parti.

Dalam aspek ini, saya perlu memuji pendekatan Perdana Menteri yang memahami isu dan jiwa anak-anak muda memandangkan beliau sendiri memulakan kerjaya politik dari usia muda.

Beliau juga tidak menolak idea bernas dan peluang ini perlu digunakan sebaiknya sayap Puteri serta Pemuda yang mewakili generasi muda untuk menggerakkan agenda transformasi ke arah Wawasan 2020," katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang menyertai kancah politik perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal, berani serta kuat berjuang kerana tugas yang perlu dipikul amat sukar.

Kena terima kalau tidak dipilih menjadi calon. Lihat kembali motif kita masuk dalam politik, untuk berkhidmat atau demi pangkat, kuasa dan sebagainya, ujarnya.

No comments: