Geng Bas Sekolah

November 5, 2012

Pembangkang Enggan Menunaikan Janji


Di tangan kerajaan negeri Selangor sekarang, banyak yang telah terbina oleh pentadbiran terdahulu dirosakkan. Perubahan dan pembaharuan yang mereka cipta pula tidak habis-habis dibelenggu masalah dan kontroversi.

Yang menyedari hakikat ini tentunya mereka yang selalu berurusan dengan kerajaan negeri. Kesannya semakin dirasai. Dulu Selangor menjadi tempat pelaburan yang kondusif. Dulu juga Selangor menjadi tempat anak negeri lain bergantung harap mencari pekerjaan.

Sekarang tidak lagi serancak dahulu. Banyak perangkap yang mungkin sengaja dipasang dan direkacipta untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menyekat laju pembangunan negeri berstatus maju ini.

Dek kerana kepentingan politik, urusan yang mudah pun menjadi rumit. Yang dulu dibantah, sekarang disokong pula. Tingkah laku yang dulu mereka benci kini menjadi amalan, mengata orang dia yang lebih.

Dulu bermati-matian mereka mengecam langkah penyelamatan oleh kerajaan ke atas syarikat yang mereka dakwa kroni. Kini timbul pula skandal Talamgate yang ketelusan urus niaganya dipersoalkan.

Sewaktu mengundi pada Mac 2008, rakyat memang mengharapkan keuntungan daripada kerajaan yang bakal memerintah. Paling tidak, pengundi mengharapkan nasib mereka dibela.

Mereka mengharapkan penjimatan RM11.40 sebulan daripada janji pemberian air percuma 20 meter padu. Tetapi apa hasilnya, penduduk dalam kumpulan rakyat kecil yang tinggal di flat-flat dinafikan hak mereka. Desakan mereka langsung tidak diendahkan.

Isu air ini umpama bola salju dan kini semakin banyak memakan korban. Terbaru, Gerakan Prihatin Rakyat Selangor mendedahkan lebih 1,000 permohonan untuk membuka kilang di Selangor ditolak atau ditangguhkan oleh Syabas berikutan unjuran kekurangan teruk air dirawat.

Kesan langsungnya ialah Selangor berhadapan risiko hilang status negeri maju jika gagal menyelesaikan kebuntuan isu air ini. Apakah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kelihatan peduli dengan isu ini? Yang terlihat hanyalah kedegilan beliau.

Dulu kerajaan begitu prihatin dalam soal membantu usahawan dan orang Melayu agar mereka tidak tertinggal dalam arus pembangunan. Tetapi kini aset institusi itu mahu dijual yang dibimbangi bakal menggadai peranan mempertahan dan membela hak orang Melayu.

Dulu kerajaan negeri begitu mengutamakan bidang pendidikan. Tertubuhlah pelbagai institusi kemahiran dan gedung ilmu bagi memastikan anak negeri tidak tertinggal. Sekarang, jangankan mengharapkan rancangan strategik untuk membina yang baharu, yang sedia ada pun gagal diurus dengan baik.

Institusi sedia ada seperti Unisel terus dihambat dengan pelbagai masalah. Kini ibu bapa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka menimba ilmu di institusi ini. Akibat campur tangan politik, Unisel kini jadi lesu.

Entah apa muslihatnya, rancangan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk membangunkan cawangan sebuah universiti di Hulu Selangor pun sengaja dihalang, malah tanah yayasan yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri terdahulu telah dirampas.

Mujurlah mahkamah telah mengembalikan hak YBK itu. Tetapi kerosakan telah pun dibuat tanpa terlihat ada penyesalan daripada pentadbiran kerajaan negeri sekarang. Mereka tetap arogan dan angkuh.

Bermula dengan pelbagai kontroversi berhubung urusan perbelanjaan dan kewangan termasuk penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Sabak Bernam pada Julai 2010 atas alasan tidak menguntungkan, yayasan ini terus menuai masalah.

Semakin banyak pihak mempersoalkan matlamat yayasan ini. Ramai pihak melihat Yayasan Selangor tidak lagi mengutamakan objektifnya untuk menyediakan infrastruktur terbaik bagi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi kepada rakyat negeri ini.

Yayasan ditadbir umpama sebuah parti politik. Bantahan dan kritikan terhadap pembangunan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur di Kampung Pandan dijawab oleh Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki penuh sinikal dengan menyelitkan masalah pengurusan terdahulu.

Daripada kenyataan akhbar baru-baru ini, terlihat kebencian beliau kepada kerajaan Barisan Nasional. Dulu, jika ada penjawat awam yang cuba berpolitik dikecam, tetapi kini tiada salahnya mereka mencampuri urusan politik.

Dalam usaha memberi rasional terhadap keputusan Yayasan Selangor merobohkan asrama itu bagi digantikan dengan pusat komersial dan sebuah asrama penuh, Ilham, yang dilantik oleh Khalid itu sempat berkempen.

Katanya 'kami menganggap tuduhan liar (terhadap langkah merobohkan asrama) hanyalah tindakan terdesak pihak-pihak tertentu untuk memancing undi dan menjatuhkan imej kerajaan Pakatan Rakyat, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi'.

Baru-baru ini pula seperti sudah terbiasa, Menteri Besar menyalahkan Kerajaan Pusat. Walaupun sebelum ini beliau mengagungkan setiap laporan audit tetapi kali ini apabila ikon kebajikan kerajaan negeri yang terkena getahnya, nada Abdul Khalid bertukar arah.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 itu menyebut banyak kepincangan dalam pengurusan Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas). Penubuhannya mencurigakan dan didapati tidak mencapai matlamat.

Tawas yang memperuntukan RM100 dalam bentuk sijil simpanan, menurut laporan itu, hanya menarik minat 19.4 peratus anak kelahiran Selangor. Bayangkan kerajaan nak beri RM100 pun tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat.

Abdul Khalid segera menafikan laporan itu. Beliau menyalahkan Jabatan Pendaftaran Negara kerana menurutnya, jabatan itu enggan memberikan kerjasama terhadap program itu.

Kerajaan terdahulu tidaklah sempurna. Diakui banyak kelemahan dan kepincangan di sana sini yang perlu diperbaiki. Cuma, kesempatan itu tidak digunakan dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan negeri sekarang.

Dari awal mereka telah mengambil sikap dan berpendirian bahawa kerajaan negeri dahulu tidak cekap, tidak bertanggungjawab dan korup. Pemikiran sebegini ternyata memakan diri. Sekarang apa yang mereka janjikan pun tidak dapat ditunai, apatah lagi membina yang baharu. Yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.

No comments: