Geng Bas Sekolah

November 12, 2012

Misteri Tangan Ghaib Di Batu Caves


Mari kita bincangkan apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa siapa betul siapa salah, mengenai pembangunan, melibatkan 2 blok Kondominium 29 tingkat, disambung bersekali dengan pusat komersial di Batu Caves, yang sedang hangat diperkatakan.

Sekadar makluman, Batu Caves di mana terletak semua kuil dan patung itu, adalah tanah kerajaan yang diwartakan sebagai kawasan pelancongan. Bukan hak milik individu, kecuali kawasan persekitaran yang dimiliki individu dan syarikat tertentu, termasuk pemaju perumahan.

Bila disebut tanah kerajaan, sudah tentu, ada keterbatasan dalam usaha membangunkan kawasan tersebut. Kerajaan Tempatan (Negeri dan Pusat) mesti dirujuk setiap masa dan ketika. Tidak ketinggalan pihak swasta yang mahu membangunkan kawasan kepunyaannya, termasuk rumah individu. Segala laporan berkaitan mesti disediakan sebelum kelulusan arahan merancang dikeluarkan. Setiap pemaju/individu, mesti akur dengan kehendak dan syarat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Saya difahamkan, pembangunan bangunan, pembinaan kuil dan patung di sana tidakpun dirujuk kepada PBT di sana. Secara tidak sedar, apabila balutan dibuka, semuanya terkejut. Bagaimana boleh dibina patung yang sebegitu besar dan tinggi. Adakah aspek keselamatan diambil kira?

Namun, atas dasar kebebasan beragama dan toleransi, akhirnya semua dapat menerima. Inilah yang saya kagum dengan keterbukaan rakyat Malaysia, terutama orang Islam meraikan kepelbagaian. Jika di negara lain, jangan harap orang Islam dapat diberi peluang sebegini. Bukan itu sahaja, walaupun bilangan umat Islam majoriti, bilangan surau dan masjid tidaklah sebanyak rumah penyembahan bukan Islam yang melebihi 200 ribu. Justeru, hargailah toleransi ini dan patuhi undang-undang dan perlembagaan.

Kadang kala saya merasa amat pelik, kenapa ada ketika PBT dirujuk, dan ada ketikanya tidak. Jika begini keadaannya, apa erti undang-undang diwujudkan? Pengalaman saya bekerja dalam syarikat perumahan sebelum ini dan sekarang ini, ingin mendirikan sebuah rumah sendiri, berbagai syarat dikenakan oleh PBT. Wal hal yang ingin didirikan hanya sebuah unit rumah sahaja. Syarat-syaratnya sama dikenakan seperti membangunkan sebuah projek perumahan berskala besar.

Ingin saya bertanya kepada PBT, kenapa saya yang ingin membina sebuah rumah dikenakan pelbagai syarat, sedangkan ada segelintir dikecualikan daripada syarat? Pembinaan rumah saya tidak langsung berisiko berbanding dengan pembangunan rumah ibadat atau kondominium yang begitu tinggi.

Lihat lagi toleransi yang berlaku, setelah menerima protes, kerajaan negeri dan kerajaan mahukan projek pembinaan projek tersebut dihentikan buat sementara waktu. Sebuah jawatankuasa bertindak bebas akan dibentuk untuk menyelesaikan masalah ini. Ini adalah satu tindakan yang betul dan bijak dalam menangani hubungan antara agama.

Apa juga keputusannya nanti terimalah dengan hati yang terbuka. Hargailah sikap saling memberi dan menerima selama ini. Jika dikirakan rumah ibadat yang menjadi korban, berapa banyak surau dan masjid yang menjadi mangsa kerana memberi laluan kepada pembangunan.

Justeru, kadang kala, agak sukar untuk kita menerima alasan bahawa Batu Caves akan terlindung apabila pembinaan tersebut. Apa masalah jika terlindung sekalipun? Banyak bangunan bersejarah negara terlindung. Perlukah Batu Caves ditayangkan sepenuh untuk dilihat orang ramai daripada lebuh raya. Bagaimana dengan sensitiviti orang Islam melihat patung-patung saban hari? Adakah perasaan mereka diambil kira?

Sekadar makluman, jika ada yang masih tidak memahami budaya Islam, umat Islam amat sensitif dengan patung. Tetapi pembinaan demi pembinaan terus dilakukan tanpa bertanya dan mengambil kira perasaan umat Islam. Kerajaan pula tidak mengambil berat isu ini atas dasar toleransi beragama.

Ditakdirkan patung tertinggi itu tumbang satu hari nanti, siapakah yang akan dipersalahkan? Sudah PBT akan dipersalahkan kerana tidak memantau pembinaannya sejak awal. Ingin saya bertanya, berapa agensi yang menyediakan laporan bagi pembinaan kuil tersebut. Tidakkah kita sedari bahawa pembinaan masjid perlu mendapat kebenaran daripada PBT?

Saya tidak menyokong mana-mana pihak, kerana semuanya bertanggungjawab. Lagipun Islam menghormati hak bukan Islam untuk menjalan ibadahnya. Tidak perlulah menuding jari. Persoalan saya adakah patut, orang lain boleh ambil hak kita. Apa yang penting tindakan nanti haruslah berpandu kepada apa yang benar, apa yang salah, bukannya takut dengan ugutan atau undi pilihan raya.

Saya amat bimbang dengan setiap keputusan kita hari ini. Kita selalu bertindak, tidak berasaskan apa yang benar, apa yang salah. Tetapi tindakan kita selalu berpandu kepada berapa undi boleh dapat bagi mengekalkan kuasa?

Hujah yang mengatakan pembinaannya akan membahayakan nyawa pengunjung kuil dan pelancong dari seluruh dunia akibat (kemungkinan) benda jatuh berikutan  pembangunan besar-besaran di tempat berhampiran kuil ini, hanyalah alasan. Pemaju lebih maklum tentang aspek-aspek keselamatan pembangunan hartanah.

Pada saya, langkah terbaik ialah dengan mengambil tindakan undang-undang jika apa yang dilakukan oleh pemaju perumahan itu tidak betul. Isu sebenarnya adalah kepentingan individu, bukanlah isu agama. Saya amat mengharapkan PBT, kerajaan negeri dan pihak berkaitan dapat berbincang secara terbuka berkaitan isu dengan lapang dada.

Pihak pemaju mempunyai hak ke atas tanahnya bagi tujuan pembangunan setelah mengambil kira bantahan sebelum pembangunan dijalankan. Apatah lagi setelah diluluskan dalam mesyuarat penuh majlis pada tahun 2008 dan disokong oleh pihak yang menentang.

Persoalannya, ditakdirkan bantahan ini berjaya, siapakah yang akan membayar pampasan kepada oleh pemaju, yang sudah mengeluarkan belanja yang begitu banyak melakukan kerja-kerja awal di sana? Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri?

Lagipun Thaipusam hanya disambut setahun sekali. Selebihnya kawasan tersebut kurang menjadi tumpuan. Hanya tempat bersembahyang harian. Justeru, tidak perlulah memberikan alasan kesesakan jalan dan sebagainya. Tidak ada kawasan yang lebih sesak melainkan Kuala Lumpur. Adakah kita perlu cabut bangunan-bangunan tertentu?

Sumber: Ridhuan Tee

No comments: