Seorang pensyarah berjawatan professor madya, di tempat saya bekerja, yang dilantik oleh parti ultra kiasu sebagai senator, mengeluarkan pendapat, dalam satu forum bersama tiga panel ultra kiasu bukan Islam di Pulau Pinang pada 2 Oktober 2012, langsung tidak mencerminkan watak sebagai seorang intelektual, dan amat naïf ilmunya tentang Islam, yang disiarkan dalam laman web malaysiakini.
Beliau mempertikaikan kedudukan Sekolah Agama yang telah wujud sekian lama mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11). Sekolah Agama dikatakan menjadi punca polarisasi kaum, kerana melahirkan pemikiran pelajarnya tertutup atau jumud, sehingga boleh menimbulkan masalah dalam masyarakat berbilang kaum. Beliau mendakwa, sekolah ini hanya mendokmakan isu halal dan haram sahaja serta menjadi sarang kempen hudud dan negara Islam. Persoalannya, pernahkah beliau membuat kajian dan pergi ke sekolah agama? Bentangkan dapatannya? Kenapa tidak mempertikaikan sekolah vernakular, sekolah swasta dan parti yang diwakilinya yang menjadi sarang perkauman?
Kenapa beliau tidak mempertikaikan desakan Persatuan Agama Buddha, Hindu, Kristian, Taoisme dan Sikh yang mahukan sekolah agama-agama lain turut didirikan? Adakah desakan sedemikian tidak menyebabkan polarisasi? Pembacaan cetek beliau menjadikan saya terfikir layakkan senator ini mengajar di sebuah universiti tentera?
Adakah George Bush dan Donald Rumsfeld belajar agama, sehingga sanggup membunuh puluhan ribu umat Islam di Iraq suatu ketika dahulu? Begitu juga dengan presiden Amerika sebelum dan selepas itu. Siapakah yang menghalalkan darah umat Islam? Bagaimana pula dengan golongan pelampau yang ada pada hari ini dari kalangan bukan Islam, adakah mereka ini datang dari sekolah agama? Kenapa sekolah agama dan agama Islam yang menjadi sasaran? Lebih pelik lagi kenapa PAS membisu seribu bahasa? Adakah kerana sepakatan? Ingatan saya kepada PAS, jangan biarkan Islam dihina. Amaran Shahnon Ahmad memang tepat. Ultra kiasu tidak boleh dipercayai kerana mereka adalah musuh Islam.
Menghina dan memperkecilkan sekolah agama yang diibaratkan sebagai ‘time bomb’ adalah kenyataan amat kurang ajar, apatah lagi jika mengakui dirinya Islam. Ternyata pengetahuan senator ini terhadap sekolah agama amat cetek, apatah lagi pengetahuan Islamnya. Lagi pula, sepanjang saya berada di universiti, saya tidak pernah melihat senator ini pergi ke masjid, apatah lagi berjemaah. Mungkin beliau sembahyang di dalam bilik sendirian, termasuk solat Jumaat bersendirian.
Senator ini gagal memahami maksud equity dan equality. Equity bermakna keadilan, memberikan kepada yang berhak. Manakala equality adalah persamaan yang dijamin dalam perlembagaan kepada semua warganya. Keistimewaan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali, kerana ada timbal balik kepada agama lain jua dari segi hak mereka. Jemputlah ke kelas saya jika tidak faham.
Tuduhan yang mengatakan sekolah agama hanya mendokma perkara halal haram menyeleweng sama sekali. Dalam Islam terlalu banyak isu halal berbanding haram. Bagaimana kenyataan ini boleh keluar daripada senator mengaku Islam? Saya harap Melayu lain yang berada dalam parti ultra kiasu menyedari hakikat ini. Keluarlah daripada parti anti Islam seperti yang dilakukan oleh bekas senator sebelum ini. Parti ini boleh menjejaskan akidah senator itu. Bimbang nanti, jauh dari syurga.
Pandangan senator kokak ini tidak mencerminkan bahawa beliau pernah membuat kajian tentang sekolah agama yang mengajar soal tauhid, akidah, syariah, muamalah dan banyak lagi cabang ilmu. Ini tidak termasuk gabungan antara ilmu agama dengan ilmu sains, yang dikenali sebagai kesepaduan ilmu (integrated knowledge) yang sedang berlaku di sekolah agama.
Inilah berjayanya ultra kiasu mempergunakan orang Islam untuk menghentam dan menghina agama Islam sendiri. Kajian demi kajian oleh beberapa sarjana menunjukkan pelajar Islam sekolah agama Islam lebih terbuka dan tidak ada masalah langsung untuk berinteraksi dengan orang bukan Islam. Malah, mereka dengan mudah menerima kehadiran sekolah vernakular. Berbanding produk sekolah vernakular dan sekolah swasta yang amat sukar sekali untuk berinteraksi dengan orang Melayu dan menerima kehadiran sekolah agama.
Kerana apa? Jawapannya, dalam Agama Islam, kita diajar menghormati agama bukan Islam dan hak mereka. Sehingga dalam peperangan sekalipun, Islam mengajar kita menjaga hak mereka. Kita hanya berperang dengan orang yang menyerang. Kita tidak dibenarkan membunuh dengan sewenang-wenang seperti orang tua, wanita, kanak, rumah berhala, merosakkan alam sekitar dan sebagainya, walaupun tidak seagama.
Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu begitu mudah menerima penghijrahan besar-besaran orang bukan Melayu ke negara ini, ketika negara-negara Asia Tenggara menolak? Tanyalah orang Siam, Nyanmar, Indonesia, Filipina dan sebagainya, kenapa bilangan bukan bangsa mereka terlalu sedikit, berbanding bukan Melayu di negara ini? Jawapannya, faktor agama Islamlah yang menjadi Melayu lembut dan begitu bertoleransi menerima kehadiran mereka.
Jika ditakdirkan orang Melayu tidak memeluk Islam, masih lagi menganut ajaran bukan Islam, sudah lama bukan Melayu yang datang berhijrah telah dihalau lebih awal lagi? Kenapa tidak menghargai toleransi Melayu Islam? Kenapa Islam dimangsakan? Ternyata, senator ini amat jahil dan tidak tahu betapa mulianya agama Islam dalam meraikan orang lain.
Tidakkah beliau sedar bagaimana peranan golongan agama memerdekakan tanah air tercinta ini? Adakah nama-nama seperti Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya datang dari sekolah di Amerika? Jika produk sekolah agama itu yang menjadi masalah kepada masyarakat dan negara, sudah tentu orang agama atau para mufti yang kebanyakan produk sekolah agama mengisytiharkan perang terhadap bukan Islam yang berhijrah ke negara ini. Kenapa sikap para mufti dan para ulamak begitu lunak dengan bukan Islam?
Saranan kepada senator tersebut, jika jahil belajarlah. Masjid terlalu dekat dengan bilik beliau. Berkunjunglah ke masjid. Sekurang-kurang tidaklah gagap membaca al –Quran dan dapat memahami isi kandungannya. Jika bukan kita mempertahankan Islam dan hukum Islam, nak harap siapa lagi?
Sumber : Ridhuan Tee
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment