Geng Bas Sekolah

October 3, 2012

Antara Gula Dan Rokok


GULA dan rokok - kembar yang mampu memudaratkan kesihatan terus menjadi perhatian setiap kali pembentangan bajet. Jumaat lalu, Bajet 2013 - Memakmur Negara Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati sudah dibentangkan.

Boleh dikatakan semua lapisan masyarakat terasa ‘tempias’ bajet. Rakyat 1Malaysia sama ada di desa atau di kota, murid sekolah hingga warga emas masing-masing mendapat habuan sama ada secara langsung atau tidak. Maka banyak reaksi yang diberi. Bagi yang gemar ‘membantah’ apa juga keputusan kerajaan, sudah tentulah ada komen bernada tidak setuju. Memang itu peranan mereka - wangi dianggap busuk dan busuk dianggap wangi.

Sesuatu yang tidak lari daripada perbincangan masyarakat setiap kali bajet dibentangkan ialah mengenai kenaikan harga barang. Pelbagai ‘habuan’ yang diterima oleh rakyat dalam bentuk insentif termasuk RM akan dikaitkan dengan harga barang. Tidak terkecuali ialah penarikan balik subsidi gula sebanyak 20 sen. Kini harga gula RM2.50 sekilogram (kilogram). Bagaimanapun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 34 sen bagi setiap kilogram. yang melibatkan kos RM278 juta. Kenaikan ini disebabkan beberapa faktor luaran serta mengambil kira 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes yang salah satu puncanya disebabkan oleh gula. Subsidi yang ditarik balik itu mungkin dapat menampung kos kesihatan rakyat akibat penyakit terlebih menggunakan gula.

Sebelum bajet, ada juga desakan supaya harga rokok dinaikkan kepada RM30 sekotak. Bagaimanapun kali ini perokok ‘terselamat’. Isu rokok timbul ketika menjelang hari pembentangan bajet, tetapi bukan melibatkan harga sebaliknya berkaitan fatwa haram merokok bagi orang Islam. Fatwa ada tetapi tidak dikuatkuasakan.

Bagaimanapun sebelum diselak lebih lanjut mengenai fatwa ini eloklah kita selak beberapa fakta berkaitan rokok. Harga minimum rokok bagi pek 20 batang ditetapkan RM7. Mulai awal bulan lalu pula, pengilang hanya dibenarkan mengeluarkan pek 20 batang dan bagi setiap karton hanya 10 pek. Sebelum ini, ada pengeluar yang menjual pek bagi 21, 22 dan 26 batang. Langkah ini juga berkaitan dengan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat yang masih membimbangkan. Jika diselak laporan Kaji Selidik Tembakau Dunia (GATS) Malaysia 2011, keseluruhan kecenderungan merokok ialah 23 peratus. Sebanyak 4.7 juta perokok adalah mereka yang berumur 15 tahun ke atas. Peratus tertinggi perokok pula berumur 25 hingga 44 tahun iaitu 29 peratus manakala perokok lelaki adalah 54.9 peratus. Tahap membimbangkan ini juga menyebabkan masalah kesihatan yang dihadapi masyarakat. Rokok bukan sekadar membahayakan perokok tetapi orang sekeliling mereka malahan bayi di dalam perut ibu juga tidak terkecuali. Pelbagai kemudaratan kesihatan ini sudah dipaparkan pada setiap kotak rokok tetapi semuanya ‘tidak dipandang’ atau ‘dipandang sebelah mata’.

Mampukah harga dan fatwa menyedarkan masyarakat tentang bahaya ‘kembar’ ini? Ramai yang lebih berminat kepada persoalan adakah kenaikan harga gula mendorong pengusaha dan peniaga makanan/minuman menaikkan harga? Memang itulah yang diberi perhatian kerana ia melibatkan RM tetapi adakah terlintas pada fikiran kita untuk mengurangkan penggunaannya bagi menjaga kesihatan? Eloklah kita sedar (memang sedar tetapi buat-buat tak sedar) bahawa rokok dan gula mampu menyumbang kepada pelbagai penyakit termasuk diabetes. Gula dan rokok membantu kita menempah pelbagai penyakit kronik yang paling popular. Mungkin, jika kita boleh ‘bersyukur’ di sebalik harga minimum rokok dan kenaikan harga gula. Bersyukur kerana ia mampu mendorong kita mengurangkan penggunaannya (gula) serta memilih untuk tidak merokok.

Sewajarnya kita membayar harga yang mahal untuk bahan yang memudaratkan. Hargailah wang ringgit kita supaya ia berbaloi.

Bagi perokok yang beragama Islam, adakah mereka bersedia menerima fatwa merokok itu haram? Khabarnya, ada tiga hukum merokok iaitu harus (jika terasa pening atau sakit sekiranya tidak merokok), makruh (jika tidak memberi sebarang kesan) dan haram (jika merosakkan). Mungkin lebih ramai yang memilih harus dan makruh walaupun ‘cerita’ bahaya mengenai rokok yang mempunyai lebih 6,000 jenis bahan kimia dan toksik itu sudah ada dalam pengetahuan mereka.

Tidak perlulah kita menyenaraikan penyakit yang disebabkan oleh ketagihan merokok ini. Semuanya sudah tahu malahan di setiap kotak rokok juga dipaparkan gambar penyakit berkaitan. Mereka yang tidak merokok juga terdedah dengan penyakit-penyakit itu kerana asap rokok itu juga menyumbang kerosakan kesihatan orang sekeliling. Bagi orang Islam yang sekadar mahu menerima hukuman ‘makruh’ ia sama seperti memakan petai atau jering yang merupakan ulaman yang baik untuk kesihatan. Rokok bukan ulam tetapi kenapa makruh (jika itu pilihan perokok). Seperti jering dan petai, mulut perokok juga menimbulkan bau busuk dan boleh mengganggu orang lain (bukan perokok) jika berada dalam jamaah yang menunaikan solat di surau atau masjid. Maka berilah pertimbangan terhadap ‘hukuman’ ini.

Selain fatwa merokok yang pelbagai ini, kita juga mempunyai pelbagai peraturan atau undang-undang berkaitan rokok. Jika fatwa haram sekadar menjaga kepentingan orang Islam tetapi peraturan ini pula dapat menjaga kepentingan umum dan orang Islam seluruhnya walaupun ia tidak ‘jatuh’ sebagai dilarang merokok sama sekali.

Boleh dikatakan saban tahun ada sahaja peraturan atau kempen untuk menyedarkan perokok. Selak pernah menyelak isu ini (pada 22 Jun 2009) di bawah tajuk Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi hiasan. Antara lain ia menyentuh mengenai undang-undang yang tidak ada penguatkuasaan. Dalam tulisan yang sama Selak juga mengimbau kembali kuliah Jumaat Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang dilaporkan Bernama. Beliau antara lain menyebut umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

‘‘Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu,’’.

Banyak undang-undang berkaitan larangan merokok hanya sekadar hiasan atau melepaskan batuk di tangga. Tidak ada tindakan atau pelaksanaan. Semuanya masih menaruh harapan agar timbul kesedaran dalam kalangan masyarakat. Di kawasan yang diwartakan sebagai tempat dilarang merokok masih ramai yang merokok. Di restoran atau premis berhawa dingin, bau rokok mengganggu keselesaan. Habis satu badan bau rokok disebabkan asap rokok. Cuba masuk tandas yang baru digunakan perokok. Habis pakaian dan badan bau asap rokok. Begitulah tempias yang dirasai oleh bukan perokok.

Akhirnya, kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Berkaitan gula, ada yang kata lebih 60 dan ada yang kata lebih 136 jenis penyakit disebabkan gula. Tetapi kita mudah lupa soal penyakit apabila teringatkan teh tarik atau kuih-muih yang manis. Sebab itulah ramai yang resah apabila harga gula naik. Mereka lebih bimbang mengenai harga makanan dan minuman. Sepatutnya mereka belajar mengurangkan gula dalam kehidupan.

Jika sebelum ini, satu kilogram. bertahan seminggu kenapa tidak dilanjutkan tempoh itu kepada 10 atau 12 hari atau dua minggu. Tidak lama dulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kajian menunjukkan rakyat Malaysia adalah yang terbanyak mengambil gula dibandingkan rakyat negara lain. Lebih 20 sudu gula sehari bagi setiap orang. Sepatutnya tujuh sudu sahaja. Itu angka dulu. Entah berapa sudu pula ketika ini. Adakah semakin kurang atau bertambah?

1 comment:

Anonymous said...

2-2 BANYAK MENDATANGKAN GEJALA BROO..TP LEBEY TERUK ROKOK LER..YG TAK ISAP PUN BLEY KENE BARAH PARU2..SEPATUTNYA DI HARAMKN JEK TP TAK ADIL GAK KAT PEROKOK2 TEGAR..CUMA KLU BLEY PERLUASKAN ZON LARANGAN MEROKOK HUHUHUHU