SUNGGUHPUN menghadapi cabaran pengaruh Internet, syukur masyarakat kita masih membaca surat khabar, majalah, buku serta mendengar radio dan menonton televisyen. Tak apalah orang kita kini 'gila' dengan facebook, twitter dan blog.
Sekurang-kurang melalui Internet mereka mengasah bakat menulis, mengeluarkan hujah dan memberi pendapat. Kalau kita tak larat lagi membaca, menulis dan menonton, kerja paling mudah ialah mendengar. Sebab itu radio masih menjadi rakan karib setiap pemandu kenderaan di Malaysia. Di dalam kenderaanlah, kita boleh leka dan tersengih mendengar cerita merapu dan celoteh penyampai radio atau DJ. Sejak tahun 1990-an penyampai radio tak cakap seorang diri lagi.
Sekarang stesen radio sudah boleh menjemput tetamu undangan dan tokoh ke konti untuk bersiaran secara langsung dengan peminat mereka. Pendengar pun boleh 'berkomunikasi' dengan penyampai melalui facebook atau twitter. Ramai pendengar yang terhibur mendengar stesen radio kegemaran masing-masing. Penyampai radio juga ada peminat masing-masing. Baguslah begitu dan perubahan ini telah meletakkan sesetengah stesen radio swasta berjaya melonjak tinggi kedudukannya meninggal stesen radio RTM.
Sejak lesen diberikan kepada pengendali radio swasta, sesetengah stesen radio milik RTM agak ketinggalan dari segi jumlah pendengar. Ada orang kata stesen radio kerajaan itu lebih menjurus kepada propaganda yang diselit menerusi lagu-lagu hiburan dan berita. Sekarang banyak pendengar beralih mendengar radio Era.fm, Sinar.fm, (milik Astro), Hot.fm (milik Media Prima) dan Suria.fm.
Stesen-stesen radio swasta inilah yang hari-hari cuba menawan hati pendengar muda dan dewasa menerusi hiburan terkini dan muzik retro. Malangnya stesen-stesen ini jugalah yang membawa pendengar kita tidak lagi mendapat maklumat yang sepatutnya menjadi peranan dan tanggungjawab radio. Yang pendengar dapat ialah apa nama lagu dan siapa penyanyinya.
Kemudian dapat cerita lucu daripada penyampai atau pendengar radio. Itu sahaja. Pendengar 'dipesongkan' daripada hala tuju negara. Tak ada cerita tentang Bajet 2013 atau Pelan Pembangunan Pendidikan. Tak dengar pun apa yang pendengar mahukan daripada kerajaan. Sekarang radio swasta mengadakan peraduan meneka lirik atau nama lagu.
Siap disediakan hadiah wang tunai jika pendengar berjaya menjawab dengan betul. Sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pun tak timbul peraduan atau kuiz yang berkaitan dengan sambutan dua hari besar negara kita itu. Bukalah radio, kita cuma dapat mendengar celoteh penyampai dan hiburan. Kalau ada laporan berita pun, hanya berita ringan.
Kandungan program radio memang banyak tertumpu pada hiburan, iklan, berita dan celoteh juruhebah semata-mata. Jangan haraplah mesej-mesej kerajaan hendak disampaikan oleh penyampai radio berkenaan. Kalau mahu mendengar 'propaganda kerajaan' bukalah radio RTM. Salahkah tugas ini juga dimainkan stesen swasta? Sesekali apabila saya mendengar stesen radio milik RTM, banyak maklumat dan ilmu pengetahuan yang saya terima.
Selama ini tanpa kita sedar banyak maklumat yang boleh disampaikan melalui radio sambil berhibur. Perkara ini berlaku sebab sekarang penyampai radio swasta bukan terdiri daripada orang yang 'ghairah untuk menyampaikan maklumat dan ilmu.' Kini semakin ramai selebriti tampil bertugas sebagai penyampai radio. Faham-faham saja tumpuan penyampaian mereka - lawak jenaka supaya pendengar terhibur. Kita faham, tugas selebriti itu adalah untuk meningkatkan ranking stesen radio berkenaan.
Pendekatan itu tak salah tapi apa salahnya diselitkan juga maklumat kerajaan untuk pengetahuan pendengar. Sudahlah masyarakat kita kurang membaca surat khabar, kalau penyampai radio tidak membantu menyebarkan maklumat penting kerajaan dalam membangunkan negara, siapa lagi? Penyampai radio swasta pun patut ada tanggungjawab mendidik pendengar serta menyemai perasaan cintakan negara. - Utusan Malaysia
Radio swasta sekarang memang hampeh. Langsung tak ada input berguna untuk pendengar. Pejabat aku pasang satu stesen radio swasta popular. dari pagi hingga petang hanya ada lagu yang sama diulang ulang, celoteh mengarut dj, panggilan mempermainkan orang dan juga lawak jenaka pondan. Naik menyampah aku dengar. Rasa nak terajang je radio tu.
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment