Geng Bas Sekolah

July 23, 2012

Undang Undang Lapok Ada Baiknya

Artikel saya dalam sinar harian minggu lalu seolah-olah ada pertembungan. Peguam muda dalam kolum di bawah artikel saya mahukan undang-undang lapok tinggalan penjajah dihapuskan. Manakala, saya berpandangan, perlu ada pengganti kepada undang-undang tersebut, sebelum ianya dihapuskan, bagi mengelakkan vakum.

Perlu ditegaskan, tidak semua undang-undang tinggalan penjajah itu lapok. Masih ada undang-undang yang masih relevan, termasuk perkara yang dibahaskan minggu lalu, mengenai ISA dan Akta Hasutan. Saya tidak nafikan bersifat agak negatif. Namun, adalah tidak wajar melihat sesuatu yang negatif dari perspektif negatif semata-mata.

Kadangkala kita perlu lihat sesuatu yang negatif dari perspektif yang positif. Begitulah sebaliknya, melihat sesuatu yang positif dari perspektif yang negatif. Baharu kita akan lebih terbuka dan menjadi lebih berlapang dada.

Analogi saya begini. Makan babi itu adalah haram (negatif). Cuba lihat dari sudut positif kenapa pengharaman itu dibuat. Mesti ada kebaikannya, walaupun daging babi itu adalah antara daging yang paling sedap. Ingat! jangan pula ada umat Islam yang ingin merasanya. Saya hanya mencurahkan pengalaman sahaja. Begitu juga zina, seks bebas dan lain-lain itu, adalah sesuatu yang sedap dan nikmat atau boleh dikira sebagai positif. Lihat pula dari sudut implikasi negatifnya.

Analogi lain, sistem komunis yang terlalu mengongkong itu negatif. Cuba lihat dari sudut yang positif, bagaimana kerajaan China berjaya mengamalkan sistem ini. Ada teori mengatakan, untuk memerintah negara yang besar seperti ini memerlukan kepada sistem kuku besi, berbanding sistem demokrasi.

Begitu juga dalam sistem demokrasi, kebebasan yang menjadi teras demokrasi itu adalah positif. Cuba lihat daripada sudut negative. Kehancuran sedang berlaku dalam masyarakat barat hari ini, akibat terlalu bebas, termasuk negara kita. Kita tidak boleh terima semua kebebasan atas nama demokrasi, seperti untuk menghalalkan LGBT.

Sebab itulah, Islam datang sebagai penyelamat dengan sistemnya sendiri. Sistem Islam menggabungkan kedua-dua isme-isme tersebut. Dalam Islam, ada kebebasan dan ada kongkongan atau paksaan. Begitu hebatnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Jika demokrasi meletakkan kebebasan itu segala-galanya, maka kebebasan dalam Islam ada batasnya. Kebebasan jangan sampai melanggar suruhan dan larangan Allah SWT.

Begitu juga dalam konteks kongkongan dan paksaan. Ia boleh dilakukan demi menyelamatkan manusia daripada azab Allah SWT. Kebebasan dan ketaatan mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Hadis. Misalnya, sempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, bolehkah mereka yang tidak berpuasa dengan sengaja dihukum? Jawabnya, sudah tentu boleh! demi untuk menyelamatkannya. Namun, peringatan dan proses tarbiyyah berjalan terlebih dahulu.

Mungkin ada yang beranggapan berpuasa itu adalah sesuatu yang negatif kerana terpaksa meninggalkan makan dan minum. Lihatlah dari sudut yang positif. Nikmatnya mereka yang berpuasa dan ganjaran yang akan diperolehi. Sebab itu, adalah tidak wajar melihat sesuatu yang negatif dengan kaca mata negatif sahaja. Begitu juga perkara yang positif dengan kaca mata positif sahaja.

Negara kita bernasib baik, kerana penjajah British meletakkan kedudukan Islam di tempat yang tinggi dalam perlembagaan. Bayangkan jika kedudukan dan keistimewaan Islam tidak ada langsung dalam perlembagaan, apakah akan terjadi dengan umat Islam (orang Melayu) di negara kita? Bandingkan dengan negara Indonesia, kedudukan Islam, langsung tidak terdarjat. Akhirnya, negara yang seratus peratus Islam, hari ini semakin berkurang dan berkurang. Tidak mustahil suatu hari nanti, jumlahnya akan terus menurun.

Sama juga peruntukan perlembagaan membenarkan umat Islam menggunakan dana negara bagi membina rumah ibadat, institusi Islam, menyebarkan syiar Islam dan sebagainya. Jika ditakdirkan peruntukan ini tidak ada, apakah akan jadi dengan kedudukan Islam. Berapa masjid atau surau yang boleh atau mampu kita bina dalam keadaan umat Islam tidak ada kekuatan ekonomi? Saya tidak nafikan ada juga dermawan yang membantu membina masjid dan surau, tetapi bilangannya masih sedikit.

Itupun dalam keadaan adanya peruntukan ini, rumah ibadat bukan Islam terus tumbuh seperti cendawan selepas hujan banyaknya berbanding dengan rumah ibadat umat Islam. Walaupun peruntukan itu ada, tetapi kita masih tidak menggunakan sepenuhnya atas nama toleransi dalam masyarakat berbilang kaum.

Keadaan menjadi lebih gawat, apabila hari ini orang bukan Islam turut menuntut peruntukan pembinaan rumah ibadat daripada kerajaan. Mungkin ada yang akan berhujah, mereka perlu dibantu kerana Islam membenarkannya. Benar, kita perlu bantu. Tetapi jika tidak bantu sekalipun, tidak salah, kerana ia tidak termaktub dalam perlembagaan. Namun, atas nama Islam dan toleransi, kerajaan terus membantu.

Begitu juga kedudukan hak istimewa orang Melayu. Bayangkan jika peruntukan ini tidak ada. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu? Dalam keadaan peruntukan ini sedia adapun, kedudukan orang Melayu masih lagi tidak terdarjat.

Setelah timbang tara, ada juga baiknya penjajah ini. Sebelum meninggalkan negara ini, mereka sediakan sesuatu yang berpihak kepada Islam dan orang Islam. Kedudukan dan keistimewaan ini dilindungi melalui akta-kata yang dikatakan lapok itu.

Sebab itu janganlah dengan mudah mengatakan sesuatu itu telah lapok, kerana tidak semestinya yang lapok itu tidak berguna. Saya masih teringat kepada pepatah Melayu, tak ada rotan, akar pun jadi. Hari ini, dalam keadaan semuanya itu sudah termaktub dalam perlembagaan dan ada undang-undang untuk mengawal, kedudukan istimewa itu masih lagi dipermainkan. Bayangkan jika perkara ini tidak disebutkan langsung. Apa yang telah dan akan terjadi? Justeru, janganlah terlalu terburu-buru melihat sesuatu perkara itu lapok kerana ia mungkin berguna dalam keadaan tertentu.

Sumber: Dr Ridhuan Tee

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

1 comment:

Anonymous said...

NEGARE KECIK CAM SINGAPORK PUN ADE UNDANG2 KETAT. ISA PUN MASIH BERKUATKUASA. TP DIORANG IRI HATI BILE MESIA AMAN SEBAB ADA AKTA ISA WALHAL SINGAPORK GAK PENAH BERADA DLM MESIA. KITA PENAH DI KEJUTKAN DGN PENGGANAS AL MAUNAH DAN SINGAPORK PLAK PENAH DI KEJUTKAN DGN PENGGANAS BERNAMA MAS SELAMAT KASTARI. MALAH KERAJAAN SINGAPORK DI MALUKAN OLEH MAS SELAMAT SBB DIA BERJAYA LEPASKAN DIRI MELALUI TANDAS DI PUSAT TAHANAN ANTARA YG DI KATAKAN PALING CANGGIH DI DUNIA. SEJAK TU ISU NI JD BAHAN KETAWE SERATA DUNIA. TU PSL SINGAPORK JELES DAN SAMPAI SKRG CUBA SEMBUNYI2 CAMPUR TGN DGN JADIKAN PEMBANGKANG ALAT UTK MENGHAPUSKAN AKTA ISA SUPAYA MALAYSIA GAK JADI BAHAN KETAWE DUNIA 1 HARI NANTI...HARKKKK PTUIHHHH!!!