Pada mulanya, pasti kita menjangkakan ada kemalangan di hadapan, tetapi akhirnya tiada apa-apa pun berlaku, semuanya okey sahaja.
Maka, kita pun membuat rumusan sendiri bahawa ada pemandu paling hadapan yang mungkin memandu dalam kelajuan seperti ‘makan angin’ sehingga menjadikan jalan raya sesak terutamanya pada waktu pagi ketika orang ramai berpusu-pusu mahu ke tempat kerja.
Dan yang lebih menjengkelkan, pemandu berkenaan dengan muka selamba dan tanpa rasa bersalah memandu di laluan kanan atau tengah. Akhirnya laluan paling kiri untuk kenderaan perlahan pula lengang atau digunakan bagi pengguna jalan raya yang memandu dengan laju.
Kita juga sudah biasa melihat pemandu memotong kenderaan atau ingin memasuki laluan lain dengan mengikut sesuka hati tanpa memberi isyarat lampu atau sudah hampir hendak memotong baru hendak memberi isyarat. Ini membuatkan pemandu di laluan bersebelahan terpaksa menekan brek mengejut dan boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan.
Dalam pada itu, sikap ingin tahu pengguna jalan raya tetapi bukan mengambil berat sebenarnya apabila terjadinya sesuatu kemalangan turut mengundang masalah kepada pemandu lain.
Bila berlaku kemalangan mereka akan memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang sedang berlaku. Ramai juga yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan, sudah macam ada satu pesta pula.
Yang peliknya, ada yang sempat mengambil gambar, tidak tahu untuk tujuan apa. Ini mengakibatkan jalan raya menjadi sesak berkilometer panjangnya, walhal kemalangan yang berlaku sedikit sahaja, tetapi tukang tontonnya cukup ramai.
Dan hendak tahu pemandu kita boleh bersabar atau tidak, kita boleh lihat apabila lampu isyarat rosak, semuanya berpusu-pusu mahu jalan, menjadikan kenderaan masing-masing yang datang dari arah kanan dan kiri dalam kedudukan ada yang melintang dan menegak, dan akhirnya semua terperangkap di situ, tidak dapat bergerak, dek kerana tidak mahu mengalah.
Sudah berapa tahun kita memandu? Dan berapa tahun sudah kita terbiasa melihat pemandangan sebegini.
Perbuatan-perbuatan sebegini sebenarnya adalah antara perangai buruk segelintir pemandu di negara ini yang tidak dinafikan menimbulkan rasa stress orang lain ketika memandu dan paling buruk menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya.
Ada orang boleh berubah perangai bila berada di jalan raya. Apabila masuk sahaja ke dalam kenderaan, hilang semua kelembutan, kesabaran dan sifat sopan yang ada dalam dirinya. Tidak kira lelaki atau wanita.
Mulalah menjadikan jalan raya seperti sendiri yang punya, melanggar peraturannya dan memberikan isyarat-isyarat tangan yang kasar dan lucah yang boleh membangkitkan kemarahan pemandu lain, bila kenderaan lain menghalang kelancaran pergerakan kenderaannya.
Jangan disebabkan perbuatan dan aksi-aksi tersebut, ia membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain. Kesengsaraan akibat kemalangan jalan raya tidak dapat ditaksirkan dengan wang ringgit.
Selain meragut nyawa, ramai yang cedera parah dan yang cacat anggota seumur hidup akibat kecuaian diri sendiri atau orang lain ketika memandu.
Kemalangan dan kematian di jalan raya sudah menjadi antara masalah negara yang terbesar untuk dikurangkan dan ditangani. Perbincangan mengenainya sering dibawa ke peringkat mesyuarat Kabinet.
Setiap kali statistik kemalangan jalan raya diumumkan oleh polis setiap tahun atau pada musim perayaan, kita semua akan menggelengkan kepala dan tidak kurang pula yang menyalahkan pihak berkuasa atau kerajaan.
Sejak bila pula pihak polis bertanggungjawab sepenuhnya di atas nyawa kita? Sedangkan selamat atau tidak kita di jalan raya banyak bergantung kepada sikap kita sendiri.
Buatlah kempen kesedaran macam mana sekali pun, atau banyak mana pun papan tanda dan peringatan dipacak, ia tidak memberi sebarang makna dan tidak berguna, sekiranya yang asasnya iaitu sikap pemandu kita tidak berubah.
Kita mahu jalan raya yang serba baik, membawa kenderaan yang canggih-canggih, tapi sikap kita pula bagaimana?
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment