Geng Bas Sekolah

December 29, 2011

Misteri Rumah Usang

Politik adalah satu misteri hari ini. Dalam cuba merebut peluang untuk mendapatkan sokongan dengan apa cara sekalipun, ada yang gusar apabila tembelang dalam parti menjadi tontonan. Politik tidak boleh bergantung kepada takdir semata-mata. Politik memerlukan kepintaran menyusun strategi yang bijak dan tersusun jelas jika bermotivasi untuk menang.

Seni perang politik bergantung kepada lenggok yang dimainkan oleh jentera sendiri dan lawan. Musuh perlu dikenali, difahami, dirisik dan diteliti sentiasa. Manipulasi ke atas tingkah laku politik penting kerana penanda aras dalam seni perang politik adalah kewibawaan untuk membina kepercayaan dan legitimasi politik.

Misteri seni perang politik ini adakalanya bersifat jerangkap samar dan kita tidak tahu dari mana dan bila datangnya serangan hendap musuh yang bersifat tiba-tiba atau memeranjatkan. Politik juga tidak boleh bergantung kepada lipatan sejarah kerana jika tidak berinteraksi dengan umum sepanjang masa dan sentiasa terbayang berada dalam zon selesa, ia boleh menjerat diri sendiri.

Jerangkap samar boleh berlaku dalam politik jika tidak mahu memahami musuh dan tahu kelemahan dan kekuatannya. Salah satu kelebihan parti pembangkang adalah terlalu ramai yang keluar masuk parti tersebut dari parti Barisan Nasional (BN) sehingga memudahkan mereka memahami BN. Tetapi ia juga satu kelemahan kerana kelangsungan untuk bergantung sepenuhnya kepada maklumat musuh tidak memberi kekuatan jika dalam parti sendiri turut berhadapan dengan kemelut kepimpinan setiap masa.

BN punya banyak kelebihan terutama dari segi media, jentera dan dana yang turut berubah untuk pembangkang selepas Mac 2008. Pengalaman dan kematangan bagaimanapun memberi kelebihan kepada BN jika digunakan tanpa merasa panik dan cemas untuk mengetepikan persepsi bahawa ia sudah terlalu lama berkuasa.

Refleksi 'sudah berubah' untuk memenuhi permintaan dan harapan umum akan memberi nilai tambah jika ia sudah berlaku secara mutlak dalam parti. Bersediakah seni perang yang digunakan oleh pembangkang berkiblatkan kepada polisi 'senyap' dan 'diam' ke atas isu yang tidak memberi keselesaan kepada mereka diuji oleh rakyat dan disogok hanya dengan kelemahan lawan.

Hakikatnya kini pembangkang sudah menjadi institusi dengan sendiri dan tidak terlepas daripada jerat sendiri yang selama ini diguna pakai untuk membawa sokongan. Dalam mahu berhadapan dengan pilihan raya umum (PRU), kita dikejutkan dengan beberapa isu yang melanda parti pembangkang yang menguji 'kematangan ' menanganinya. Walaupun ia boleh memberi 'bola tanggung' kepada BN, ia tidak boleh dimanipulasi berlebihan tetapi harus dilakukan secara berhemah kerana pengundi hari ini tahu mereka adalah 'raja' dan bijak berfikir sebelum memutuskan undian mereka.

Isu pertembungan dan persaingan dalam parti DAP, misalnya boleh dilihat sebagai pertembungan personaliti lama dan baru; yang berjawatan tinggi dalam parti dengan personaliti berjawatan dalam kerajaan negeri; parti yang dikatakan mewakili pelbagai etnik tetapi isu tersebut masih dilihat isu pemimpin India dalam parti.

Jika itu keadaannya, mampukah DAP mendapat sokongan melangkaui penyokong tradisinya dalam rentak tari politik hari ini dengan seni lamanya? Adakah ia juga merupakan percaturan kesanggupan mengorbankan seorang pemimpin untuk mendapatkan sokongan masyarakat India yang sebahagiannya menyokong pergerakan yang telah menggegar politik arus perdana pada November 2007 dan menjadi titik tolak kepada perubahan yang kita saksikan hari ini.

Barangkali, masyarakat India hanya dirasakan penting ketika PRU oleh sesetengah parti sehingga lupa masyarakat ini menjadi penentu kepada kejayaan dan kekalahan dalam PRU lalu.

Dalam seni berpolitik yang bijak, salah laku sendiri tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada musuh setiap masa. Menyalahkan orang lain sesekali boleh diterima tetapi jika dibuat setiap masa ia boleh melahirkan rasa sangsi dan curiga.

Di Perak, apabila Kulasegaran menyuarakan kebimbangan politik dan perniagaan dicampuraduk oleh pemimpin utamanya di Perak, Nga Ko Ming; ada yang melihat ia adalah masalah yang berterusan sejak Kulasegaran gagal dalam pemilihan parti negeri. Walaupun ada yang melihat ia sebagai ego, bagi Karpal dan Kulasegaran; ia adalah prinsip dan etika; bagi Ramasamy pula, ia berkemungkinan politik melangkaui politik peribadi. Adakah ini seni politik yang boleh membawa kesan ke atas parti kerana permasalahan ini berlaku ketika bahang PRU?

Jawapan umum dan reaksi pemimpin dan penyokong adalah 'jangan jatuh ke perangkap BN'; 'isu dalaman parti DAP, Pas atau PKR' adalah konspirasi; 'laporan media palsu'? Apakah sesuatu parti politik itu sempurna dan bebas dari masalah? Atau adakah pembesar politik mana-mana parti politik menganggap mereka adalah Tuhan dalam politik sehingga tidak boleh dikritik dan tidak mahu dikritik atau gelisah apabila dikecam?

Bagi BN, seolah-olah sudah lali dengan kecaman dan kritikan atau dianggap terjahan biasa dalam politik sehingga sering defensif dan tidak mahu ofensif berbanding dengan pembangkang yang apabila diserang; menjadi sama ada resah lebih banyak yang akan dibongkar sehingga mencetuskan aliran pemikiran seolah-olah apa yang dilakukan selama ini hanya 'sandiwara politik' dan bukan 'keikhlasan dalam politik'. Ini juga persepsi yang melangkaui amalan politik populis.

Apabila ada pemimpin dari dalam parti yang memperjuangkan keterbukaan dan kebebasan bersikap kritikal ke atas partinya, pemimpin tersebut dianggap 'bacul' dan 'pembelot' tetapi apabila ada pemimpin BN bersuara kritikal dari dalam parti BN, pemimpin itu dikasihi oleh lawan. Adakah ini seni perang politik baru atau sekadar mempermainkan emosi 'pengundi atas pagar'.

Tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakan tidak diambil jika pemimpin yang bersalah atau memberi kenyataan yang bercanggah adalah sebahagian sekutu dinasti parti ini. Adakah wajar seni perang politik memberi imuniti kepada kroni yang mengagungkan korupsi dan yang mengamalkan politik nepotisme?

Begitu juga dengan isu Nga Kor Ming yang bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas tuduhan syarikat isterinya yang menjadi rakan kongsi diberikan kontrak penempahan pakaian istiadat DUN Perak ketika mentadbir dulu. Beliau menyatakan ia adalah isteri dan bukan beliau. Jika begitu, dalam isu Shahrizat Abdul Jalil dan suaminya dalam isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat menyatakan beliau adalah 'isteri kepada bos' NFC dan turut mahu mengambil tindakan undang-undang. Apa bezanya jika kita berpegang kepada integriti dan ketelusan serta keterbukaan dan akauntabiliti yang menjadi tema besar tanpa mengira latar belakang parti politik.

Misteri seni perang politik pembangkang turut menular kepada parti Pas. Pertikaman lidah antara Hasan Ali, Mustafa Ali, Mahfuz Omar membayangkan konflik dalaman telah melahirkan factionalisme atau kepuakan yang selama ini wujud tanpa dibincangkan oleh mereka yang berada di luar lingkaran parti. Ia juga antaranya menimbulkan kekeliruan mengenai konsep 'negara Islam' dan 'negara kebajikan' walaupun banyak penerangan cuba diberikan.

Bila pemimpin MCA menyuarakan pandangan mengenai isu tersebut, ada yang menganggapnya tidak wajar tetapi apabila Kelab Penyokong parti ini bersuara, itu dipertimbangkan. Begitu juga dengan soal pertemuan antara pemimpin Pas dan UMNO yang masih terus diperdebatkan dan kini oleh Pas sendiri.

Misterinya adalah bagaimana Hasan dibidas oleh lidah media sendiri walaupun disokong oleh Dewan Pemuda dan Dewan Ulama organ parti tersebut. Pengaruh Hasan yang berpegang kepada 3R (Race, Religion dan Royalty) tidak boleh dinafikan walaupun masih banyak yang akan terus berlaku. Cabar mencabar sesama sendiri tidak pernah berlaku hebat sebegini sebelum ini secara terbuka tetapi tendensi tersebut jelas ketara walaupun PRU dekat.

Apakah ini seni permainan perang politik atau sekadar menguji pertahanan dalam parti untuk kehilangan pemimpin tertentu atau semata-mata sandiwara untuk meyakinkan BN bahawa pembangkang sedang berhadapan dengan masalah besar dan mempercepatkan tarikh PRU. Adakah ini madah berhelah yang cuba menjerat dan siapakah yang akan terjerat akhirnya jika masing-masing berkompromi ketika PRU?

Siapakah watak-watak utama sebenarnya sehingga pergeseran antara personaliti berlaku sebegitu? Apakah seni perang politik misteri yang disembunyikan oleh watak dalam politik hari ini? Adakah misteri ini akan terbongkar segera atau terhenti pada 9 Januari 2012?

Apakah BN akan bersifat defensif atau pakatan pembangkang akan meraih simpati daripada percaturan politik pada permulaan tahun 2012 dari seni perang politik ini? Apakah misteri seni perang politik yang penuh dengan kontroversi dan kejutan akan berakhir dengan tragedi?


Adakah BN bakal terkubur PRU akan datang, akupun tak pasti. Lebih kurang 50-50 nasib BN sebenarnya. 

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca

No comments: