Geng Bas Sekolah

February 1, 2011

Elakkan Kencing Tikus


BENTONG 31 Jan. - Mangsa banjir diingatkan supaya mengelak daripada bermain air kerana dibimbangi terkena kuman bawaan air terutamanya Leptospirosis atau kencing tikus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kawasan yang dilanda banjir turut berdepan risiko penularan penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun dan Hepatitis A yang dibawa oleh sampah sarap dan sisa-sisa kotor serta najis.

''Ibu-bapa seharusnya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain bah, bukan sahaja di sungai tetapi telaga dan tali air yang merupakan antara lokasi sering berlakunya tragedi lemas di kalangan kanak-kanak.

'' Demam kepialu akibat terkena bakteria salmonella typhi juga merupakan jangkitan musim banjir akibat bawaan makanan yang akan menyerap ke dalam darah dan usus," katanya kepada pemberita semasa melawat 27 keluarga mangsa banjir dari Kampung Pasir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kementeriannya akan menempatkan pasukan khas di setiap pusat pemindahan sementara bagi memberi bantuan dari segi kesihatan dan merawat mangsa.

Pasukan itu katanya, bukan sahaja akan mengadakan pemeriksaan tahap kesihatan malah membuat pemantauan serta memberi nasihat tentang kebersihan kepada mangsa-mangsa terbabit.

Mengenai banjir di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, beliau berkata, pegawai perubatan yang bercuti akan dipanggil balik untuk bertugas bagi membantu mangsa banjir jika keadaan semakin kritikal.

''Setakat ini pasukan khas ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di Tenang, Labis dan Segamat, Johor dan beberapa kawasan di Melaka bagi gerakan kecemasan dan bantuan kesihatan.

''Kementerian mempunyai anggota dan pegawai yang cukup serta terlatih bagi membantu mangsa banjir," katanya.

Beliau memberitahu, hospital dan pusat kesihatan daerah yang tidak terbabit dengan banjir juga diminta bersiap sedia sebagai pasukan sokongan dan akan memberikan bantuan jika perlu.

Sumber : Utusan Malaysia


2 comments:

Tieah Madian said...

Betul tu..
Paling tak suka dgn banjir ni sebab air memang dah sah2 kotor..
Yelah, dari parit, longkang semualah..
Semua tu dari kwsn kumbahan sisa najis..
Bulan lepas air masuk rumah pun rasa gatal2 je kaki bila time bersihkan rumah..

Jeepers Creepers said...

d_tieah: tau xpe eeeeee