Geng Bas Sekolah

November 6, 2010

Sajak Melayu Jelas Maksud Tersirat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memetik sajak Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang (kanan) mengenai bangsa Melayu ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 baru-baru ini. Dalam ucapannya itu Najib memilih stanza sajak Usman berhubung siapa dan ciri-ciri orang Melayu. Walaupun sajak ini mempunyai unsur jenaka, ia mengandungi elemen sindiran yang amat tajam.

Dalam tulisan Ida Baizura Bahar dari Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk Kreativiti dan Kemelayuan Usman Awang dalam sajak Melayu yang terkandung dalam buku Menyirat Inspirasi, beliau melihat secara terperinci sajak Melayu tulisan Usman.
Baginya, sajak Melayu yang diilhamkan Usman pada 1992, memperlihatkan keistimewaan Usman menampilkan persepsi Melayu terutama paradigma keMelayuan'nya. Dua kajian sarjana tempatan, Kemala (1995) dan Rahman Saari (2003) sebelum ini juga, masing-masing membicarakan persoalan nilai-nilai estetika serta keistimewaan Usman yang mencerna pendiriannya mengenai isu semasa dalam masyarakat.

Berdasarkan stanza-stanza yang dipilihnya, Ida merumuskan penelitiannya bahawa Usman adalah seorang yang amat prihatin terhadap ideologi dan falsafah yang mencerminkan paradigma ‘keMelayuan’nya’.

Sememangnya, Usman mengkritik nilai-nilai hidup orang Melayu yang dianggapnya sebagai jahil, lemah dan kesilapan orang Melayu. Ida merumuskan sajak Melayu adalah kritikan Usman yang tersirat untuk mentakrif apa itu ‘Melayu’. Dalam sajak Melayu, Usman memuji dan mengeji mengikut cara Melayu sebagaimana dilakarkannya dalam sajak itu.

Stanza pertama sajak ini memperlihatkan pandangan Usman terhadap seseorang Melayu yang hebat berasaskan kepada dua kriteria: nilai-nilai hidup yang negatif yang kemudian disusuli oleh nilai-nilai hidup yang positif. Stanza itu berbunyi:
“Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya bersulam jenaka,
Budi bahasanya tidak terkira,
Kurang ajarnya tetap santun.
Jika menipupun masih bersopan,
Bila mengampu, bijak beralas tangan.


Usman menempelak Melayu seolah-olah marah dengan sikap mereka yang membelakangi nilai-nilai hidup yang positif sebaliknya melakukan nilai-nilai hidup negatif.

Nada Usman bertukar menjadi sangat kritikal dengan menunjukkan sikap negatif seperti hipokrasi dan prejudis Melayu. Usman mengkritik sikap hipokrasi yang boleh dilihat melalui penggunaan tiga pepatah Melayu yang jelas menggambarkan perwatakan dan nilai hidup Melayu menerusi stanza:

“Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak”.


Pepatah Melayu yang ditukar daripada bentuk asalnya oleh Usman menggambarkan pandangan dan cabaran beliau terhadap pemikiran Melayu yang tradisional.

Menukar pepatah-pepatah Melayu ini kepada bentuk yang baru jelas menunjukkan bahawa Usman mahu seseorang Melayu itu mencuba untuk menilai kembali pemikiran dan nilai-nilai hidup mereka.

Dalam sajak ini juga, Usman melakar kembali bagaimana bangsa Melayu pernah menguasai Kepulauan Melayu dengan menjadi ‘pengembara lautan’.

Bagi Usman, bangsa Melayu dulu tidak takut mencuba sesuatu yang baru atau pun tidak gentar menghadapi apa juga cabaran. Namun, kehebatan masa lampau bangsa Melayu hanyalah tinggal kenangan.

“Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan”.


Usman juga menggambarkan orang Melayu itu mempunyai nilai-nilai hidup dan perwatakan diri yang terhormat dan budiman dan budi bahasa yang tidak boleh dijual beli.

“Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara.


Usman turut mengkritik Melayu yang begitu senang dibelai dan digoda oleh materialisme. Godaan ini menyebabkan sesetengah orang Melayu dengan mudah sekali menyerah segala-galanya termasuk harta pusaka.

“Malangnya Melayu itu kuat bersorak,
Terlalu ghairah pesta temasya,
Sedangkan kampung telah tergadai.
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual.


Bagi Usman, orang Melayu begitu bertuah tetapi tidak menggunakan kesempatan dan peluang. Mereka tidak mempunyai idea yang mampu merevolusikan sikap dan pemikiran.

“Meski pun telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi,
Walaupun sudah mengenal universiti,
Masih berdagang di rumah sendiri.


Bagi Usman, seseorang Melayu itu seharusnya dinilai dari segi sikap dan pemikirannya. Baginya, meskipun seseorang Melayu itu bercanggah pendapat, mereka bertindak cara diplomatik.

“Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.


Usman membicarakan dua perkara yang amat dinilai tinggi oleh seseorang Melayu iaitu maruah dan agama.

Katanya, seseorang Melayu itu tidak akan berkompromi sekiranya kedua-dua entiti itu diperkotak-katikkan.

“Watak Melayu menolak permusuhan
setia dan sabar tidak sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga”

No comments: