SAYA amat tertarik membaca tulisan Syed Akbar Ali dalam blognya OutSyed The Box bertajuk The One & Only Problem In Malaysia atau Satu-satunya Masalah di Malaysia Ini.
Topiknya lari sama sekali dari politik. Ia berkaitan dengan realiti hidup seharian di Malaysia. Ia berkaitan dengan sikap dan etika kerja. Ia berkaitan dengan bagaimana anda, sama ada kakitangan kerajaan, pelajar, mahasiswa, peniaga, orang makan gaji melayan orang lain atau berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.
Kononnya, orang Melayu itu bersopan-santun, beragama, berilmu? Jika itulah amalannya maka tiadalah masalah yang akan berlaku di kalangan orang kita sekarang atau dalam sistem jabatan kerajaan.
Seperti biasa tulisan Syed Akbar banyak mengondem sikap orang Melayu, namun seperti beliau mempunyai nawaitu yang baik dan murni. Walaupun pedas didengar tapi itulah hakikatnya, yang semua orang Melayu harus menerimanya --- untuk kebaikan mereka.
Syed Akbar yang juga penulis buku Malaysia and The Club of Doom (Malaysia dan Kelab Kemusnahan), menyimpulkan orang Melayu masih gagal bersaing sepenuhnya. Kita harus mencari jalan segera bagi membolehkan mereka bersaing, katanya.
Modal, pendidikan universiti, projek, kontrak, peluang niaga dan lain-lain terlalu banyak. Namun apa yang kita banyak tiada ialah etika kerja dan sikap. Itu sahaja bahagian yang kita hilang.
Beliau dalam entri bertarikh 18 September itu memberikan banyak contoh-contoh peribadi beliau dan dari rakan-rakan mengenai soal sikap dan etika kerja ini.
Satu petikan dalam pra-kata blog itu, Syed Akbar menulis: ''Para lulusan universiti kita langsung tidak boleh menulis ayat yang betul - dalam semua bahasa. Dan tolong lupakanlah pasal kemahiran Inggeris mereka. Jika kerajaan dan GLC tidak mengambil mereka bekerja, maka banyaklah lulusan bumiputera ini tidak akan bekerja. Mereka akan menganggur.
''Perkara yang sama tidak berlaku kepada lulusan bukan-bumiputera kita. Bukan bumiputera yang lulus dari UKM atau UM boleh terus mendapat kerja sehingga ke luar negara di Hong Kong, Australia, UK, New Zealand, Singapura dan di mana-mana. Mereka baca bukan teks yang sama, diajar oleh pensyarah yang sama dan makan pun makanan yang sama di kampus. Tapi apa yang membezakan mereka?''
Itu ialah soal sikap yang tidak mahu berubah. Sikap sambil lewa, yang tidak mahu mengambil peluang tiga, empat, lima tahun di menara gading untuk memperbaiki diri dan kemahiran diri. Tahu-tahu dah keluar --- adalah ijazah, tapi penampilan diri dan keyakinan diri, macam mana?
Begitu juga dengan soal etika kerja. Ia lebih rumit lagi kerana ia membabitkan kepada soal sistem. Jika etika kerja tidak sempurna ia bukan membabitkan satu jabatan itu sahaja, tapi keseluruhan sistem negara akan dinilai.
Saya tertarik mengambil contoh mengenai soal etika kerja dan sikap yang disiarkan oleh ruangan surat pembaca Utusan Malaysia, Forum semalam (5 Oktober di muka 12).
Ia bertajuk Dua bulan sia-sia tunggu ujian darah. Penulis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kecewa: Pesakit Hyperthyroidism Seri Iskandar, Perak menceritakan mengenai masalahnya ketika berharap dengan kakitangan di Hospital Seri Manjung, Perak.
Saya percaya dengan tersiarnya surat itu semalam, pastinya sudah riuh satu hospital. Pengarahnya sudah tentu akan lari ke sana ke mari, telefon sana-sini, kerana mahu siapkan jawapan balas. Ia adalah kerana kisah hospitalnya sudah keluar paper. Tapi bagi kita, terutamanya rakyat marhaen itulah realitinya di mana-mana sekali pun di negara ini.
Berbalik kepada kisah di Hospital Seri Manjung itu tadi, pada 9 Ogos 2010, pesakit Kecewa telah pergi membuat ujian darah. Sampel diambil dan tunggu temu janji berikutnya iaitu pada 18 Ogos 2010 (7 hari menunggu untuk dapatkan keputusan darah). Pada 18 Ogos 10 pagi bulan puasa, dia pergi ke tempat yang sepatutnya. Tapi doktor bertugas berkata ujian darah tidak dilakukan lagi? Borang makmal tidak lengkap? Dan tiada tandatangan pakar?
Oklah, pesakit pun akur dengan kata-kata doktor itu dan pergi menghantar borang ujian ke bahagian makmal. Makmal kata, tak perlu ambil darah baru kerana darah yang diambil pada 9 Ogos masih boleh digunakan untuk ujian. Kaunter makmal mengarahkan dia masukkan saja borang tandatangan pakar dalam bakul borang di kaunter (tanpa ada sebarang cop pengesahan).
Pada 22 September 2010, 10 pagi (sebulan 4 hari dari tarikh 18 Ogos), dia pergi lagi untuk temu janji. Malangnya dia dimaklumkan oleh doktor bertugas ujian darah (masih) tidak siap.
Menurut surat itu, doktor menelefon bahagian makmal bertanya sebab-sebab ujian tidak dilakukan. Makmal memaklumkan sample darah sudah expired kerana sudah lama (pada temu janji 18 Ogos makmal kata darah masih elok untuk ujian).
''Lantas doktor ingin mengatur supaya darah saya diambil sekali lagi. Saya katakan kepada doktor, tidak perlulah kerana saya sudah menunggu berbulan. Saya tinggal jauh. Seandainya perkara itu berulang lagi, maka sia-sia lagi saya ke hospital itu."
Tahniah di atas ketegasan pesakit itu. Bukan main ikut semberono arahan doktor itu.
Dalam surat itu, pesakit Kecewa mencatatkan masalahnya (yang mungkin tiada siapa kisah dan peduli): ''Untuk ke hospital, suami saya perlu memohon cuti. Jadi, dua hari cuti suami saya sia-sia. Dua kali juga saya terpaksa pergi ke hospital untuk memeriksa keputusan darah yang sia-sia. Dua hari juga anak saya ponteng ke sekolah kerana tiada penjaga yang boleh mengambil anak saya di sekolah kerana saya berada di hospital."
Itu hanyalah satu contoh daripada banyak lagi. Seseorang yang lama duduk di negara luar, misalnya di negara bertamadun sikit seperti di negara orang putih atau di Jepun akan mengalami trauma sebaik sahaja menjejakkan kaki di KLIA, atau ketika berada di atas jalan raya atau berurusan di mana-mana kaunter - kerana sikap kita yang terlalu teruk. Itu tidak lagi menaiki teksi yang fiilnya hanya Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah sahaja yang maha mengetahuinya.
Oleh itu, tuan-tuan sekelian, tidak hairanlah lalu-lintas di Kuala Lumpur sesak tiap-tiap hari. Salah satu penyumbangnya ialah kerana sistem penyampaian di pejabat-pejabat kerajaan yang menyebabkan pelanggannya terpaksa lari ke sana ke mari untuk menyelesaikan satu urusan yang mudah.
Berbalik kepada tulisan Syed Akbar pula, beliau juga menulis mengenai masalah yang sama dalam tulisannya yang bertajuk mengenai masalah di Malaysia itu.
Begini kisahnya: ''Seorang rakan ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftarkan sebuah persatuan baru. Mereka memintanya isu borang itu dan ini, cop dan sain itu dan ini, kepilkan fotostat IC dan macam-macam lagilah.
''Kemudian dia diarahkan masukkan permohonan itu ke dalam kotak di kaunter di pejabat itu. Tiada 'pengesahan penerimaan' dan lain-lain. Apabila ditanya untuk pengesahan, seorang kakitangan 'yang tidak boleh diganggu' berjalan ke kaunter dan berkata, 'ini ialah sistem baru, tiada pengesahan diperlukan, kami akan hantar surat. Saudara boleh pulang sekarang.'
''Dia pun balik dan tunggu selama dua bulan. Tiada apa-apa berlaku. Dia pun pergi semula ke ROS untuk bertanya apa dah jadi. Orang yang sama iaitu kakitangan 'yang tidak boleh diganggu' itu berkata mereka tiada rekod menerima permohonannya.
''Kawan saya itu mula naik angin dan menjerit-jerit. Mereka pun memintanya 'tolong isi satu set borang lain, buat fotostat lagi, dan pulangkan dan kami janji dua minggu akan siap.' Kawan saya menjerit lagi, 'jadi maksud kamu, kena hilang dulu permohonan itu, saya kena tunggu dua bulan dan merayu-rayu dan sekarang kamu akan proses permohonan saya dalam masa dua minggu?'
Syed Akbar menulis lagi: Jadi inilah apa yang berlaku di atas kaunter di jabatan-jabatan kerajaan kita. Macam mana mahu memperbaikinya? Mengapa tidak ikut saja apa yang dilakukan di Finland, Iceland, Korea Utara, Singapura atau mungkin Ali Rustam di Melaka. Apa susah sangat? Ambil contoh di Melaka atau Singapura mereka boleh selesaikan masalah itu dalam 48 jam sahaja, mengapa tidak ikut saja cara itu? Apa susah sangat?
Banyak lagi jika mahu bercerita mengenai hal-hal seperti ini. Kita terlalu selesa dalam serba-serbi, sebenarnya.
Sumber: Utusan Malaysia
1 comment:
Ini negara yang takut pada pembangkang.di singapore ada kuat pembangkang tak ,tanya LKY?
Post a Comment