Geng Bas Sekolah

February 24, 2010

TOL TOL TOL

MUSIM sambutan Tahun Baru Cina minggu lalu memperlihatkan berpuluh ribu kenderaan memenuhi lebuh raya utara selatan, timur dan barat.Ketika kita sibuk bercuti ke kampung halaman dan menikmati perjalanan pergi dan balik yang lancar, ada satu perkara yang mungkin kita lupa. Kita tidak mengambil peduli bahawa rangkaian lebuh raya di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga Asia selepas Jepun dan China.

Pun begitu, pengguna perlu diingatkan bahawa perjalanan lancar itu ada harganya. Harga perjalanan akan bertambah mahal. Tahun ini, 10 lebuh raya dijangka akan menaikkan kadar tol termasuk di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang akan mengkaji kadar harga tol untuk pertama kali.

Kadar tol Jambatan Pulau Pinang tidak dinaikkan sejak 25 tahun manakala LPT akan menyemak kadar tolnya selepas enam tahun.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya, kadar tol lebuh raya di Malaysia adalah paling murah di dunia. Purata tol dianggar daripada RM0.11 per km di LPT sehingga RM0.14 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Jika dibandingkan dengan tol Jambatan Suramadu yang menyambung Surabaya dan Madura di Indonesia berharga 30,000 rupiah (RM11.04) bagi 5.4 km, ini bermakna pengguna membayar RM2.04 per km apabila mengguna jambatan tersebut berbanding menggunakan jambatan ketiga terpanjang di dunia iaitu Jambatan Pulau Pinang yang mengenakan kos hanya RM0.26 per km.

Jika dibuat perbandingan dengan lebuh raya Subic-Clark-Tarlac sepanjang 94 km yang merupakan lebuh raya terpanjang di Filipina, kos bagi kenderaan persendirian menyeberangi jambatan itu ialah RM0.15 per km.

Bagi pengguna jambatan Bangabandhu sepanjang 5 km di Bangladesh yang menghubungkan bahagian timur dengan utara negara tersebut, mereka perlu membayar lebuh raya bertol itu pada harga AS$6 atau RM20.40 bagi kenderaan kelas 1 manakala trak dan lori membayar maksimum AS$18 (RM61.20) bagi satu perjalanan. Ini bermakna sebuah kereta persendirian membayar kira-kira RM4.08 per km.

Bayangkan tiga negara yang kategori pendapatan rakyatnya lebih rendah daripada Malaysia tetapi terpaksa membayar kos tol lebih tinggi daripada kita.

Bahkan, laluan bertol di Malaysia kerap dinaik taraf dan dibaik pulih bagi memberi kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna. Misalnya kemudahan di kawasan rehat lebuh raya utara Selatan dan pelebaran laluan di Jambatan Pulau Pinang ternyata memberi keselesaan kepada pengguna.

Di fasa kedua LPT yang menyambung lebuh raya hingga ke Terengganu yang kini dalam pembinaan, dijangka akan menyediakan perjalanan yang pantas dan tanpa gangguan dari Kuala Lumpur hingga Kuala Terengganu.

Lebuh raya itu bukan sahaja menghubung pekan berhampiran tetapi yang penting bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Tanpa lebuh raya yang menjadi salur nadi ekonomi Malaysia, negara kita tidak akan menjadi dinamik dan tumbuh dengan pantas.

Jadi, ketika pengguna seronok menikmati keistimewaan lebuh raya dengan perkhidmatan dan kemudahan terbaik, jangan lupa tentang ada kosnya.

Rakyat Malaysia sudah terlalu lama dikaburi oleh harga tol yang murah. Pengguna kita dilindungi daripada kenaikan harga termasuk laluan bertol kerana ada subsidi. Ingatlah, subsidi tidak akan kekal selama-lamanya.

Dalam perancangan Model Ekonomi Baru, kerajaan sudah membayangkan tidak mampu lagi menanggung subsidi yang tinggi dan memberi kemudahan di bawah nilai sebenar meskipun ia akan menjejaskan golongan sebenar yang memerlukan bantuan.

Kerajaan tidak sanggup lagi menanggung beban membayar subsidi dan ganti rugi kepada pemegang-pemegang konsesi lebuh raya bertol bagi mengelakkan kadar tol dinaikkan, kerana kosnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Ertinya, pengguna kenalah membayar jalan dan lebuh raya yang mereka guna dan mereka hendaklah berhenti merungut. Keselesaan pun ada harganya.

Jadi, rakyat perlu bersedia membayar lebih apabila menggunakan laluan yang sekian lama diambil mudah kerana kerajaan memberi subsidi yang tinggi.

Rakyat kena memahami dan menerima hakikat bahawa mereka perlu membayar apa yang mereka guna, samalah juga mereka membayar apabila mengguna tandas, telefon awam dan tempat letak kereta. Mentaliti subsidi atau pergantungan pada kerajaan perlu dilenyapkan perlahan-lahan.

Lebuh raya di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara? Betul ke ni? Ish ish macam tak percaya je aku. Patutlah berlaku kemalangan setiap tahun. Rupanya terbaik di asia tenggara.

Memang ler korang cakap tol tak mahal tapi terlalu banyak! Dicampur kesemuanya, dan diguna setiap hari pergi dan balik kerja, ianya dah jadi banyak! Budak tadikapun tahu mengira macam ni.

Kenapa kerajaan sendiri tidak membina lebuhraya sebaliknya diserahkan kepada konsesi. Sepatutnya kerajaanlah sendiri membinanya menggunakan duit cukai rakyat! Apa tugas JKR sekarang? Dulu memang kerja JKR membuat jalan tapi sekarang semuanya dibuat oleh pihak swasta!

Kami rakyat Malaysia bersepakat TOL Dihapuskan!

3 comments:

gitu-gitu aje said...

Kenapa nak bandingkan dengan negara-negara yang bertol mahal? Cuba bandingkan dengan negara yang tak bertol tetapi jalannya cantik.
Lebuhraya di Malaysia kualiti sangat teruk,saya berulang alik ke pantai timur hampir setiap bulan, dan setiap kali saya melalui LPT mesti ada kerja pembaikan.
Pihak konsesi sememangnya patut membaiki dan menaiktaraf lebuhraya, kerana pengguna lebuhraya membayar untuk perkhidmatan yang baik bukannya perkhidmatan yang *&^%(*.
Cukai jalan dibayar saban tahun, kereta semakin banyak di jalan raya tetapi kualiti jalan masih sama, jem semakin buruk,tak caya lihat di LDP.

Malaysia punya jalanraya memang teruk

kembara putih said...

Tak kisah la swasta nak buat berapa puluh lebuhraya pun, asalkan rakyat ada jalan alternatif yang percuma yang dibina kerajaan dengan duit rakyat dari bayaran cukai jalan dan cukai tayar. Sepatutnya ada jalan alternatif sebab bukan semua pengguna dari golongan berada.

Contohnya lebuhraya LDP langsung takde jalan alternatif, mau tidak mau pengguna terpaksa menggunakan jalan bertol tu. Padahal lebuhraya tu dibina atas jalan lama. Pemaksaan telah berlaku. Jadi apa gunanya pengguna bayar cukai jalan dan cukai tayar?

Jeepers Creepers said...

MLM : Inilah realiti sebenar dinegara ni. Kerajaan cakap jalanraya cantik elok tapi sebenarnya penipu! Jalan retak, berombak dan membahayakan pengguna.

Menteri bolehlah cakap jalan elok sebab mereka naik kereta mahal. Macam kita rakyat biasa yang pakai kereta murah, boleh patah absober dibuatnya.

Kembara Putih : Betul pandangan anda. Tetapi dimasa sekarang, tiada lagi orang yang baik hati nak bagi percuma.

Rakyat harus bertindak tegas. Suarakan segala ketidakpuasan hati kita kepada kerajaan mengikut cara yang betul. Tindakan mengajar kerajaan di PRU lepas dah membuka sedikit mata mereka.

Erkk ada ke cukai tayar?