Geng Bas Sekolah

February 20, 2009

Khaulah menggerunkan musuh Islam

KHAULAH binti Azwar tangkas melawan musuh. Dia adalah adik kepada Dhirar bin Azwar. Dia juga terkenal sebagai penunggang kuda setanding dengan kaum lelaki pada ketika itu.

Khaulah banyak menyertai peperangan dan pernah membebaskan tawanan wanita yang ditawan oleh tentera Rom di negara Syria.

Kisah ini berlaku sewaktu pertempuran antara tentera Rom dan tentera Islam. Ketika kedua-dua belah pihak sedang bertarung dengan hayunan pedang, hujan anak panah dan lontaran tombak yang tidak mengenal mangsa, tiba-tiba muncul seorang pejuang serba hitam di tengah-tengah medan pertempuran.

Pejuang itu menerpa ke arah tentera Rom dengan penuh semangat dan keberanian sambil melibas badan tentera Rom dengan pedangnya.

"Siapa pejuang itu?," Tanya komander Khalid bin Al-Walid kepada tenteranya. Beliau kagum dengan kehandalan pejuang misteri itu yang menumbangkan tentera Rom.

Menakutkan

"Saya tidak pasti komander. Cara dia menerkam dan merobek tubuh musuh dengan pedang dan tombaknya memang menakutkan. Lihat tuan komander, sekali hanyunan pedangnya dapat menumbangkan beberapa orang tentera musuh," puji tentera sebelah Komander Walid. Menyokong kata-kata tenteranya itu.

Tindakan pejuang yang tidak mengenal erti takut membuatkan tentera Rom menjadi kelam kabut. Masing-masing menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa libasan pedang dan terjahan tombak pejuang misteri itu.

Pejuang itu memacu kudanya bagi mengejar tentera-tentera Rom yang melarikan diri. Pejuang itu tidak memberikan ruang sedikitpun kepada tentera-tentera Rom bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Pejuang itu menghayun pedang ke kanan dan k e kiri lalu menebas badan tentera-tentera Rom yang sedang berlari dalam ketakutan. Kelihatan beberapa tubuh tentera Rom jatuh menyembah bumi apabila setiap libasan pedang mengenai tentera-tentera Rom yang sedang berlari menyelamatkan diri.

"Lindungi tentera-tentera kita daripada dibunuh oleh pejuang serba hitam itu!," teriak salah seorang panglima tentera Rom. Dia terkejut melihat semakin ramai pasukan tenteranya mati dibunuh oleh pejuang itu.

"Baik panglima!," sahut beberapa tentera berkuda Rom. Mereka bergerak menuju ke arah pejuang itu yang mengganas membunuh tentera Rom.

Walaupun tentera berkuda Rom menyerang pejuang misteri itu, pejuang itu masih dapat membunuh mereka dengan teknik bermain pedang yang dimilikinya. Panglima tentera Rom berasa bimbang dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pejuang misteri itu.

"Wahai tentera Islam, berjuanglah seperti pejuang serba hitam itu. Semangat wajanya harus dicontohi oleh kamu semua bagi mencapai kemenangan," jerit Komander Khalid bagi menaikkan semangat tentera Islam.

"Ya. Kami pun semakin bersemangat apabila melihat pejuang serba hitam itu," sahut wakil tentera Islam lalu menerpa ke arah pasukan tentera Rom di hadapannya.

Semangat

Semangat tentera Islam terus memuncak bagi meraih kemenangan ditambah dengan semangat juang yang tinggi yang dipamerkan pejuang misteri itu.

Saki bagi tentera-tentera Rom yang masih berada di medan peperangan mula resah dengan kebangkitan pasukan tentera Islam. Mereka melihat tentera Islam sudah membunuh ramai pasukan tentera mereka.

Panglima-panglima tentera Rom mengarahkan pasukan mereka berundur segera supaya jumlah pasukan tentera Rom yang terkorban atau tertangkap dapat dikurangkan.

Akhirnya, pasukan tentera Islam berjaya menakutkan pasukan tentera Rom. Komander Khalid memacu kudanya menuju ke arah pejuang misteri yang berada di tengah-tengah mayat tentera Rom yang bergelimpangan.

Komander Khalid mendekatinya dengan harapan supaya pejuang misteri itu perkenalkan diri kepadanya. Namun, pejuang misteri hanya menundukkan kepalanya dan mendiamkan diri walaupun ditanya beberapa kali oleh Komander Khalid.

"Saya kagum melihat teknik kamu bermain pedang dan tombak semasa menghadapi pihak tentera Rom tadi. Mereka melarikan diri apabila pedang dan tombak kamu meragut nyawa seorang demi seorang tentera Rom," puji Komander Khalid supaya pejuang itu dapat memperkenalkan dirinya.

Pujian

Namun pejuang itu masih tidak mengeluarkan sepatah perkataan walaupun mendapat pujian daripada Komander Khalid. Komander Khalid terkejut melihat reaksi yang ditunjukkan oleh pejuang misteri itu. Hatinya masih berdebar-debar kerana ingin mengetahui siapakah sebenar pejuang misteri itu.

"Saya Khaulah binti Azwar. Saya mendapat berita abang kandung saya ditangkap oleh tentera Rom.

Saya bergegas ke sini kerana mahu membebaskan abang kandung daripada tawanan tentera Rom. Saya berjuang di medan peperangan ini bagi menegakkan agama Allah," tiba-tiba pejuang misteri itu bersuara dan memperkenalkan dirinya kepada Komander Khalid.

"Saya menyangka kamu adalah seorang lelaki! Mata Khalid terbeliak besar apabila mengetahui pejuang misteri itu adalah wanita. Tetapi, semangat pahlawan kamu menyamai lelaki," kata Komander Khalid.

"Baiklah. Ada perkara yang perlu saya selesaikan. Saya minta izin beredar," pinta Khaulah lalu memacu kudanya dengan pantas meninggalkan Komander Khalid yang masih tidak percaya pejuang misteri itu adalah wanita.

2 comments:

Indera said...

Lanjutannya dong...!!

raz said...

maaf tiada cerita selanjutnya. cuma diambil dari internet