"KATAKANLAH: Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau beri kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan dan sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."
Demikian maksud Surah Ali Imran ayat 26 yang memperingatkan manusia terutamanya mereka yang menjadi pemimpin untuk menyedari bahawa apa pun berlaku di dunia ini adalah atas kehendak-Nya.
Sebagai umat Islam kita harus berpegang teguh kepada Qada dan Qadar Tuhan dan sentiasa bersiap sedia untuk menerima ujian yang diberikan-Nya.
Kita tidak boleh taksub dengan apa yang kita miliki seolah-olah ia akan kekal sehingga hari kiamat.
Begitulah juga dalam arena politik negara sekarang. Kita menyaksikan bagaimana terlalu ramai pemimpin yang seolah-olah terlalu taksub dengan kekuasaan yang mereka miliki. Apabila secara tiba-tiba Allah mencabut kekuasaan berkenaan, mereka menjadi tidak menentu.
Mereka menolak apa sahaja hujah dan keputusan yang tidak menyebelahi mereka dan cuba menggambarkan bahawa apa yang terjadi ke atas mereka sehingga tercabut kekuasaan itu adalah disebabkan oleh "konspirasi manusia".
Mereka terlupa untuk mengingati bahawa al-Quran juga ada menyatakan bahawa apa pun perancangan manusia, ia tidak akan mampu mengatasi perancangan dan ketentuan Allah.
Justeru tidak perlulah mana-mana umat yang mengaku dirinya pemimpin tidak mahu menerima ketentuan Ilahi. Terlalu mengikut perasaan dalam bertindak sehingga mengucar-ngacirkan kehidupan rakyat hanyalah mendatangkan dosa.
Sebaliknya mereka yang terlibat harus menganggap ia sebagai ujian daripada Allah dan yakin bahawa pasti ada hikmah di sebalik semua kejadian itu.
Seorang ulama terkemuka, Sayid Hawwa dalam kitab Al-Asaasu fi at-Tafsier menjelaskan, pelbagai cubaan hidup yang menimpa manusia itu adalah untuk mengetahui secara lahiriah, siapakah antara mereka yang pandai bersyukur dan siapa pula yang kufur. Ia juga untuk mengetahui siapa yang boleh bersabar dan siapa pula yang cepat berputus asa.
Menurut al-Quran, orang mukmin yang benar-benar bertakwa adalah orang yang boleh bersabar ketika menghadapi kesulitan dan penderitaan.
Oleh itu apabila kita diberikan "pinjaman sementara" untuk berkuasa dan kemudian kehilangan kekuasaan itu dengan apa cara sekalipun, maka bersyukurlah. Tidak perlulah kita bertindak seperti seorang insan yang tidak mahu menerima ketentuan Tuhan.
Jika benar kita dizalimi sehingga kehilangan kekuasaan itu, maka berserahlah kepada Allah untuk menentukan pembalasannya kepada mereka yang terlibat.
Janganlah kerana terlalu taksub kepada kekuasaan, kita menjadi insan yang seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa kita sudah tidak berkuasa lagi.
Mungkin kita merasakan telah hilang kekuasaan melalui cara yang tidak sepatutnya tetapi bertindak balas dengan melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan masyarakat bukanlah suatu tindakan yang bijak.
Allah berfirman: "Tidak satu peristiwa pun yang dialami oleh seseorang, kecuali telah ada pengetahuan Ilahi, sebelum peristiwa itu terjadi. Yang demikian itu amat mudah di sisi Allah supaya kamu tidak bersedih atas luputnya satu jangkauan daripada harapanmu dan tidak pula terlalu bergembira atas apa yang dianugerahkan kepadamu. Allah tidak suka kepada setiap orang yang angkuh lagi membanggakan diri."
Ayat ini dengan jelas memberikan kita pengajaran supaya mampu bertindak betul sama ada ketika berjaya atau gagal meraih apa yang kita impikan termasuklah mempertahankan kekuasaan.
Jika ayat ini menjadi pegangan, ia sudah pasti mampu menghindarkan seseorang daripada sindrom berasa kehilangan sesuatu sehingga bertindak di luar kewarasan dan tanpa mempedulikan kesannya.
Sama ada hendak diakui atau tidak, sejak kebelakangan ini kita menyaksikan bagaimana ada di kalangan umat Islam terlalu taksub dengan kekuasaan sehingga sanggup berdemonstrasi bagi melahirkan perasaan marah dan kecewa mereka.
Tanpa mempedulikan etika berpolitik dalam Islam, mereka ini turun ke jalanan dengan memaki hamun pihak-pihak tertentu dan merosakkan harta awam. Semua itu mereka lakukan kerana berasa amat kecewa akibat kelompok yang mereka sokong kehilangan kuasa.
Persoalannya, tidakkah mereka berfikir bahawa apa yang mereka lakukan itu bertentangan dengan ajaran Islam sendiri?
Apakah kerana terlalu marah, kita hilang pertimbangan sehingga sanggup berbaring di jalan raya atau bertempur dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga keamanan?
Oleh itu kalau benarlah hendak berpolitik maka lakukanlah mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam. Seseorang yang merasakan dirinya berada di pihak yang benar, apatah lagi memperjuangkan Islam seharusnya tidak bertindak sehingga menjejaskan imej Islam itu sendiri.
Mungkin kita tidak berpuas hati atau berasa amat kecewa, tetapi Islam juga mengajar kita erti kesabaran dan menyelesaikan masalah mengikut apa yang sudah ditetapkan.
Tetapi kalau kita bertindak melampau semata-mata kerana berasa kecewa kesudahannya perasaan simpati terhadap apa yang berlaku ke atas kita akan bertukar menjadi benci.
Justeru belajarlah menerima Qada dan Qadar Allah. Keistimewaan yang diberikan oleh Allah untuk kita memiliki sesuatu kekuasaan mungkin sebagai ujian tetapi kekuasaan juga jika tersilap langkah menjerumus kita ke dalam neraka.
Berdasarkan kepada hakikat itu, maka jadilah umat Islam yang terbaik. Kita boleh berpolitik tetapi jangan sampai kita kehilangan tata susila sebagai seorang Islam.
Kalaulah kita begitu yakin bahawa kita berada di pihak yang benar maka bertawakallah kepada Allah kerana akhirnya kebenaran pasti menewaskan kebatilan.
Dalam masa yang sama, kita juga tidak harus lupa bahawa mungkin ada kesilapan dan dosa-dosa yang kita telah lakukan sehingga Allah mencabut kembali kekuasaan yang dianugerahkan kepada kita.
Semua ini memerlukan kita bermuhasabah bagi menjenguk kembali kehidupan kita selepas diberi kekuasaan berkenaan kerana sesungguhnya apa pun yang berlaku pasti ada hikmah daripada Allah SWT. Kita harus insaf dengan hakikat itu.
2 comments:
Encik, Sultan Selangor sudah mula bersuara. Kita harap kesemua sultan dan raja-raja melayu akan bangkit bersuara untuk menentang kebiadaban mereka yang tidak bertanggungjawab ni.
betul tu. Sultan2 harus bersatu menyuarakan pandangan berkenaan isu2 sensitif.
Post a Comment