Geng Bas Sekolah

September 2, 2013

SAMBUTAN DINGIN KIBAR JALUR GEMILANG


Berapa ramai yang memanjatkan doa kesyukuran atas nikmat yang dikecapi selama ini hasil menetap di sebuah negara berdaulat bernama Malaysia? Adakah setiap yang hadir pada malam Ambang Merdeka dan keesokannya pada hari perbarisan dan perarakan benar-benar mempunyai semangat patriotik? Bagaimana dengan mereka yang tidak hadir pada kedua-dua acara itu? Patriotik atau tidak, bukan terletak kepada kehadiran pada majlis-majlis berkenaan sebaliknya perasaan cintakan negara boleh ditunjukkan melalui pelbagai cara.

Salah satu daripadanya ialah melalui kibaran Jalur Gemilang. Malangnya pada kali ini, kibaran bendera yang mula diperkenalkan di pekarangan Istana Sultan Selangor pada tahun 1950 itu tidaklah sehebat tahun-tahun sebelumnya. Seorang sahabat memberitahu, pada tanggapannya, tahun ini paling teruk. Katanya, tidak kelihatan langsung kenderaan awam atau persendirian memasang Jalur Gemilang. Begitu juga dengan rumah, kedai, bangunan dan tempat awam. Jika ada pun, boleh dibilang dengan jari. Berapa banyak bas, LRT, monorel atau komuter dibaluti Jalur Gemilang? Begitulah kata sahabat berkenaan. Kenyataan itu tidak boleh dinafikan. Dua minggu sebelum detik 31 Ogos 2013, Selak sudah menyelak mengenai perkara ini di bawah tajuk Berlambak ‘bendera’ semasa PRU, susah sangat Jalur Gemilang setahun sekali. Satu masa dulu, menjelang ulang tahun kemerdekaan negara, kibaran Jalur Gemilang amat meriah. Pernah satu ketika, boleh dikatakan setiap kenderaan akan kelihatan Jalur Gemilang. Ketika itu, ada yang dapat percuma atau membelinya. Lebih menarik, ada pihak yang menawarkan hadiah lumayan bagi kenderaan terpilih yang mengibarkan Jalur Gemilang. Maknanya, mereka mengibarkan bendera kerana mendapat bekalan percuma atau memburu ganjaran. Terserahlah sama ada mereka ikhlas atau tidak ketika mengibarkan Jalur Gemilang ini. Persoalannya sekarang, adakah rakyat Malaysia sudah hilang semangat patriotism? Adakah rakyat tidak lagi menyokong program-program yang dianjurkan oleh kerajaan untuk mengingatkan mereka tentang kemerdekaan? Atau adakah rakyat Malaysia sudah terpengaruh dengan temberang pihak yang mahu menukar Jalur Gemilang?

Ada juga yang memberi alasan, sukar untuk mendapatkan Jalur Gemilang. Berapa banyak kedai yang menjual atau mempromosikan bendera ini? Mudahkah mendapatkan Jalur Gemilang ketika berurusan di tempat-tempat awam seperti di institusi kewangan, pejabat pos, pasar raya besar atau ketika mengisi minyak kenderaan? Kerajaan tentu menyedari sambutan dingin terhadap kibaran Jalur Gemilang ini.

Maka tercetuslah idea untuk mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek, kerajaan akan melihat keperluan untuk mewujudkan undang-undang berkaitan kerana masih banyak premis dan bangunan terutama milik swasta tidak peka kepentingannya sebagai melahirkan rasa menghargai dan kecintaan kepada negara.

“Sekarang ini kita masih belum sampai masa untuk mengenakan sebarang undang- undang kepada mana-mana premis atau bangunan kerajaan atau swasta... sekarang ini secara sukarela.

“Bagaimanapun, saya lihat masih banyak bangunan terutama milik swasta yang tidak memberi respons yang baik kerana masih banyak yang tidak berbuat demikian," katanya pada Program Pocket Show 2013 yang turut mengedarkan Jalur Gemilang di sekitar ibu negara anjuran Jabatan Penerangan.

Mewujudkan peraturan dan undang-undang memang mudah. Bagaimana pelaksanaannya? Ada ketikanya undang-undang gagal dilaksanakan kerana pelbagai ‘ugutan’ . Undang-undang terpaksa tunduk kepada ugutan atau tidak mampu mengambil tindakan terhadap mereka yang secara terang-terangan melanggar undang-undang.

Kembali kepada Jalur Gemilang, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memainkan peranan untuk memastikan jalan-jalan utama serta bangunan di dalam kawasan mereka dihiasi Jalur Gemilang. Pada kali ini, ketiadaan Jalur Gemilang di beberapa jalan utama (tidak terhad di Kuala Lumpur sahaja) sudah menjadi pemandangan biasa. Adakah PBT tidak menyedari keadaan ini atau ada arahan supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang? Mungkinkah tidak ada peruntukan atau peruntukan sudah habis ?

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ialah ada sesetengah papan iklan di jalan-jalan utama yang dibiarkan kosong dengan tulisan Ruang iklan untuk disewa. Kenapa tidak dimanfaatkan ruang ini dengan hiasan Jalur Gemilang atau tema sambutan kali ini? Sukar untuk melihat tema sambutan kali ini terpampang di papan iklan.

Rasanya masih belum terlambat untuk kita menyemarakkan bulan kemerdekaan ini sehingga Hari Malaysia. Bendera merupakan lambang kepemimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara. Walaupun hanya sebidang kain tetapi warna merah, putih, kuning, biru serta jalur, anak bulan dan bintang mempunyai makna tersendiri.

Malangnya, ada orang yang lebih bijak mahu menukarkan bendera ini termasuk sebidang kain berwarna merah putih serta dihiasi 12 bintang. Sehingga malam Ambang Merdeka, sudah beberapa kali Jalur Gemilang diperlekehkan. Selama mana warganegara Malaysia sendiri akan memandang rendah terhadap Jalur Gemilang? Mungkin mereka ini bernasib baik kerana tidak berada di negara lain termasuk jiran kita yang begitu tegas dengan isu-isu seperti ini. Begitulah ‘kebebasan dan toleransi’ di- negara `Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’.

No comments: