UTUSAN: Pada hemat Tuan Haji, mengapa isu akidah ini sesuatu yang penting.
ISMAIL: Isu akidah teramat penting kerana ia adalah pembeza di antara seorang Islam dengan bukan Islam. Justeru, semua Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah SWT membawa tema akidah, seawal Nabi Adam as. Apabila kita berkata akidah sebagai pembeza status agama seseorang, maka kita sampai kepada satu doktrin lagi iaitu doktrin salvation atau keselamatan atau dalam istilah akidah disebut najiyah yakni kumpulan yang selamat.
Dalam epistemologi Islam, keselamatan bermakna selamat di dunia daripada syirik dan selamat di akhirat. Yakni selamat daripada api neraka dan berjaya masuk ke syurga. Akidah teramat penting kerana salah akidah akan menyebabkan salah laku dalam semua perkara. Betapa jika seseorang itu beriktikad yang Zat yang disembah itu berbagai-bagai maka implikasinya ialah ia akan menyembah Zat itu menurut kefahaman akidahnya, yang mana ini tidak dibenarkan oleh Islam.
Akidah Islam mengajar cara untuk menyembah Tuhan dan cara beribadat yang tercetus daripada akidah. Yang di luar akidah Islam tidak diiktifaf dan tidak diterima oleh Allah SWT dan justeru tidak akan membawa keselamatan di akhirat. Seperti Fritjh Schuon, yang mewajarkan cara beribadat yang berbagai-bagai kerana bagi beliau setiap agama memiliki cara pandangan yang berbeza dalam menyembah tuhan, tetapi mempercayai tuhan yang satu, tuhan yang sama. Doktrin ini juga sudah mula bercambah di Malaysia.
Yang membezakan ‘tempat kembali’ iaitu sama ada di syurga atau neraka adalah akidah. Suatu perkara yang wajar difahami dengan baik ialah seseorang yang akidahnya benar tetapi membuat maksiat hatta dosa besar sekalipun, dia cuma akan dihukum berdasarkan perlakuannya membuat maksiat sahaja, tetapi selepas dihukum, dia masih berpeluang masuk syurga dengan rahmat Allah SWT.
Tetapi seseorang yang akidahnya salah tetapi masih puasa dan berhaji, dia akan dihukum dengan neraka dan kekal selama-lama di dalamnya berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nasa’ ayat 116: Allah SWT tidak mengampuni syirik (yakni akidah yang bercanggah dengan akidah Islam) dan Dia mengampuni dosa kecuali dari dosa syirik itu... Ya, akidah yang teramat penting.
Saya perhatikan dewasa ini, persoalan akidah tidak begitu diperhalusi oleh sebahagian umat Islam hatta orang yang mendakwa memperjuangkan Islam. Ini terbukti apabila sebahagian yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi menganut akidah yang berfahaman liberalisme-Pluralisme yang menyamakan Allah SWT, yang orang Islam sembah sama dengan tuhan yang orang bukan Islam sembah sehingga mereka mewajarkan orang bukan Islam berkongsi menggunakan kalimah Allah SWT Yang Maha Suci Lagi Maha Tinggi itu dengan orang yang bukan Islam.
Berlaku perlanggaran akidah dalam pelbagai bentuk. Apakah isu “Kalimah Allah” itu juga sesuatu yang dikaitkan dengan pelanggaran akidah.
Ya, oleh kerana kita sudah menyentuh perihal kalimah Allah SWT, maka saya bersetuju dengan pendapat saudara bahawa kalimah Allah SWT ada kaitan dengan akidah kerana jika tasawur atau konsepsi seseorang itu kepada Allah SWT bercanggah dengan apa yang Allah sendiri nyatakan mengenai Zat dan Sifat-Nya, maka seseorang itu sudah tergolong ke dalam golongan melanggar akidah.
Saya sendiri pernah mendengar seorang Liberalis-Plurais Malaysia berkata kepada satu audiens bukan Islam dalam satu rapat politik tidak lama dahulu bahawa Allah SWT yang disembah oleh orang Islam sama dengan yang disembah oleh orang bukan Islam.
Dia memetik ayat Allah SWT yang berbunyi kalimatun sawa dengan salah, untuk mewajarkan pegangannya itu. Ahli politik diabolik murahan ini telah menjual Tuhannya kepada orang bukan Islam dengan harga sebuah neraka, kerana sesiapa yang memberi makna kepada sesebuah ayat Allah SWT dengan salah, maka tempatnya adalah dalam neraka. Sebab itu seperti saudara katakan ia adalah pelanggaran kepada akidah, amat benar dan tepat sekali.
Kita katakan penggunaan Allah SWT yang dianuti golongan liberalis-pluralis tadi salah adalah kerana Allah SWT yang orang Islam sembah adalah berbeza dengan fahaman Allah yang difahami dan disembah oleh orang bukan Islam seperti Yahudi dan Nasrani – Kristian. Kerana kualiti Allah yang sebenar telah terhakis oleh fahaman dekonstruksionisme tajaan Yahudi-Kristian itu.
Kenapa tidak, dengan menyamakan Allah SWT sembahan kita dengan Allah sembahan orang bukan Islam bermakna seseorang itu menerima epistemologi bukan Islam itu sebagai benar. Walhal Allah SWT memberitahu kita bahawa Allah SWT adalah Zat yang tidak beranak dan diperanakan tetapi orang Yahudi beriktikad yang Nabi Uzaiyr anak Allah dan Isa anak Allah dan Allah. Inilah yang dikatakan ia melanggar akidah.
Wacana mengenai kewajaran penggunaan kalimah Allah SWT telah banyak dibuat, baik oleh badan kerajaan mahupun NGO Islam yang semuanya sepakat menolak penggunaan kalimah Allah itu termasuk Dr. Harun Din aktivis penting Pas dan ulama intelektual terkenal Ustaz Uthman Muhammady.
Saya fikir tak payah saya panjangkan hal ini dan elok kita rujuk kepada resolusi perbincangan mereka itu. Dan yang menariknya Anwar Ibrahim pernah mengadakan perbincangan bersama intelektual dan NGO Islam mengenai hal ini di rumahnya pada suatu waktu tetapi gagal membuat resolusi untuk mewajarkannya kerana disanggah kuat oleh peserta. Tapi kemudian mereka menerbitkan buku mewajarkan penggunaan kalimah itu.
Apakah aliran ini ada kaitannya dengan isu Islam liberal dan pluralisme beragama?
Oh, ya memang benar. Aliran ini adalah produk daripada fahaman Liberalisme-Pluralisme agama. Kalau dah semua agama sama, maka tuhan pun samalah, satu prinsip fahaman liberal Islam ini ialah sapere aude atau bebas sebebasnya yang dianuti seorang pemimpin dalam menginterprestasi dan memahami Islam.
Fahaman ini juga menyamakan semua agama sama taraf dan sama benar, pada hal jelas dalam al-Quran agama yang diterima oleh Allah SWT hanyalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukan seperti yang dibawa oleh Kahar atau Ghulam Ahmad dan sebagainya.
Saya bukan tuduh, tetapi saudara boleh lihat sendiri dalam buku-buku yang diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebuah badan pemikir yang dinisbahkan kepada Anwar. Buku-buku terbitan IKD ini semuanya, saya ulangi, semuanya adalah berfahaman Liberal-Pluralisme.
Dalam buku mereka bertajuk Pergolakan Pemikiran Islam dan banyak lagi, menjurus kepada membebaskan umat Islam daripada autoriti yang diijmakan dan berpegang kepada autoriti mereka yang diabolik itu, pada hal mereka sebenarnya berpegang kepada Kant dan sebagainya. Mereka menerima huraian orang bukan Islam mengenai agama kita tetapi menolak ulama Islam sendiri.
Memang kalimah Allah SWT ini amat terkait dengan fahaman liberal. Saya cuba melihat satu perspektif lain daripada fahaman ini yang merupakan fenomena baru di Malaysia. Saya melihat di Malaysia, kelompok ini sungguh-sungguh mempromosikan fahaman ini.
Usaha ini mempunyai dua motif. Pertama untuk memusnahkan akidah ummah Islam dengan menjadikan orang Islam sebagai agentur. Kedua untuk menjayakan agenda politik kerana dengan menurunkan taraf agama Islam sama taraf dengan agama bukan Islam, maka cita-cita orang bukan Islam untuk menolak Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, terhasil.
Pembohongan kelompok ini berterusan tanpa rasa bersalah. Mereka hanya berani di kalangan audiens bukan Islam atau yang kurang maklumat mengenai perkara ini.
Apa bezanya pluralisme dan pluraliti dalam konteks beragama dan bermasyarakat?
Memang terdapat perbezaan. Bukan sahaja perbezaan epistemologi bahkan dari etimologi. Saya tidak begitu hirau sangat jika orang awam tidak memahami perbezaan kedua-duanya, tetapi agak pelik jika kekeliruan timbul dari kalangan cerdik pandai. Perbezaan amat nyata.
Pluraliti adalah kepelbagaian, seperti kepelbagaian pakaian, budaya, bahasa, makanan bahkan agama juga, tetapi, pluralismemerujuk kepada konsep, fahaman dan doktrin yang dinaungi dalam satu entiti, baik secara eksoterik mahu pun eksoterik.
Menurut fahaman ini, bagi kelompok seperti John Hicks berusaha supaya wujud satu agama baru yang menyatukan semua agama dalam satu entiti secara fizikal. Pelbagai golongan menamakannya sebagai World Religion atau Global Faith atau Abrahamic Faiths, yang amat aktif membuat promosi tentang idea ini dan amat kerap menghadiri program-program tajaan kelompok ini bersama-sama dengan pendita Yahudi dan rahib-rahib Kristian.
Ada lagi satu versi pluralisme agama ini yang disebut sebagai kelompok Transcendentalist atau Pure Metaphysic tajaan Frithjof Schoun. Fahaman Pluralisme agama versi ini ialah semua agama secara rohaniah akan bertemu Allah dan akan selamat dari api neraka jika mereka mengamalkan ajaran agama itu, tidak kira apa agama sekali pun, sama ada Buddha atau Yahudi atau Hindu dan sebagainya.
Kelompok pluralis ini keliru bahkan salah apabila mereka merujuk kepada Perlembagaan Madinah yang didakwa sebagai pluralisme agama. Perlembagaan Madinah dengan jelas menyebut entiti Yahudi berbeza daripada orang Islam. Islam menolak Pluralisme agama, akan tetapi Islam tidak menolak pluraliti agama dan menerima hakikat kewujudan berbagai agama, bangsa, puak, budaya, bahasa dan sebagainya di muka bumi Allah ini.
Islam mengiktiraf hak-hak mereka, yakni hak orang bukan Islam untuk hidup dan beramal dengan ajaran dan kepercayaan keagamaan mereka. Hal ini jelas dalam sejarah negara Islam Madinah al-Munawwarah dengan Sahifah Madinah yang terkenal itu, yang mana orang yang berlainan agama dari agama Islam, diberi perlindungan dan kebebasan yang optimum dalam kegiatan keagamaan mereka.
Pengusung pluralisme agama menuduh penentang tidak memahami secara benar gagasan atau konsep Pluralisme Agama mereka. Pada hakikatnya, merekalah yang naif, tidak memahami dan tidak dapat membezakan antara pluraliti dengan pluralisme dan salah dalam memahami kewujudan pelbagai agama dan bangsa di Madinah al-Munawwarah itu.
Penentang pluralisme agama dari awal-awal, sudah menerima hakikat kewujudan pelbagai agama di dunia ini, hatta sejak zaman Nabi SAW lagi. Golongan Pluralis ini telah jatuh ke dalam gaung kesesatan yang dalam apabila mendakwa dan berpendirian bahawa pelbagai agama yang wujud di zaman Nabi SAW itulah pluralisme Agama.
Kalau semua agama itu sama, tidak perlu lagi Nabi dan sahabat-sahabat berdakwah dan berjihad, mengajak orang bukan Islam menganut Islam bahkan memerangi orang murtad. Demikian juga dalam masyarakat yang berbagai bangsa, agama dan budaya yang bersifat kosmopolitan di zaman Damsyik dan Baghdad, tidak terdapat catatan yang ulama menyamakan agama Islam dengan agama lain.
Kosmopolitan bukan baru bagi masyarakat Islam. Maka diversiti dan pluraliti agama serta kosmopolitan bangsa dan budaya dalam negara Islam itu tidak menukar “akidah dan syariat mereka.
Pluralislah sebenarnya yang tidak dapat membezakan antara pluraliti agama dan pluralisme agama, bukan penentangnya. Mereka menulis dengan jelas menyatakan bahawa pluraliti agama adalah pluralisme agama. Mereka sangat keliru.
Seorang tokoh dari Malaysia pernah bercakap mengenai isu pluralisme di London School of Economics. Apakah pandangan Tuan Haji mengenai perkara itu?
Tokoh atau ditokohkan? Ya, selepas kami mendapat maklumat dan mendapat teks ucapannya itu, kira-kira sebulan kemudian, kami dari Muafakat mengadakan satu wacana di UIAM, menolak dan sekali gus menjawab pendirian Pluralisme beliau. Atas permintaan, kami ulang lagi wacana tersebut. Untuk maklumat, audiensnya semua bukan Islam.
Ya, jelas dalam ucapannya itu ia memang berfahaman semua agama sama sahaja, bukan Islam sahaja yang paling benar; semua agama memberi keselamatan di akhirat; agama itu bukan hanya amalan sahaja dan sebagainya yang semua ini menjejaskan akidah sebagai seorang Islam. Sebagai seorang Islam beliau tidak sepatutnya mengucapkan perkataan tersebut.
Kalau beliau berniat untuk berdakwah, isi dakwah ialah menerangkan Islam sebenar, bukan mendiskreditkan Islam atau memberi maklumat palsu mengenai ajaran Islam. Tetapi apa boleh buat, itulah kualiti kefahaman agamanya dan jangan lupa ia ada agenda-agenda besar, menjadikan semua agama berada dalam satu entiti pluralisme agama.
Sebagai orang yang pernah terlibat dengan ABIM apakah pada pemerhatian Tuan Haji, kepimpinan ABIM-WADAH- PKPIM kini menyedari tentang kecenderungan baru yang berlaku.
Kepimpinan gerakan Islam menyedari fahaman Pluralisme agama Anwar ini kerana mereka hadir dalam perjumpaan pada malam itu. Ada pemimpin tertinggi WADAH dan ABIM dan tersesat seorang AJK Pas. Tak tahu siapa yang ajak. Agak menggelikan hati, ada pemimpin WADAH hanya menceritakan hubungannya dengan Anwar sepanjang percakapannya itu, pada hal orang bincang pasal Pluralisme agama. Pelik.
Bab akidah tak penting agaknya bagi mereka. Saya rasa kalaulah fahaman ini keluar daripada mulut lawan politik mereka, saya tak tahulah apa akan terjadi. Selepas perjumpaan pada malam itu, ada seseorang berkata kepada saya: Kita ada agenda yang lebih besar. Saya jawab: tidak ada agenda yang lebih besar daripada agenda akidah, akidah yang benar.
Tengok, kalau dulu kami dalam ABIM, tolak Arqam kerana mereka merosakkan akidah, tapi bila Anwar yang terang-terang tulis dan ucap perkara yang bercanggah dengan akidah, mereka masih mahu mempertahankannya. Adakah perjuangan mereka mahu membela akidah atau membela orang yang rosak akidah?
ABIM perlu muhasabah. Dalam perlembagaan ABIM, perjuangan adalah untuk menegakkan ajaran al-Quran dan sunnah. Tidak ada seorang awam pun yang menerima semua agama sama. Nabi bukan Pluralis.
Apa jalan yang terbaik supaya faham pluralisme ini tidak mengakar dan berkembang menggugat akidah umat Islam di Malaysia.
Untuk membendung supaya fahaman Liberalisme-Pluralisme tidak berkembang saya fikir antara caranya ialah kembali kepada wacana ilmu-ilmu Islam arus perdana yang sering ditekankan sangat oleh Dr. Uthman Muhammady dan ulama-ulama Islam. Badan-badan dakwah Islam perlu membuat manifesto yang jelas mengenai agenda dakwah mereka, bukan mengikut agenda peribadi orang tertentu.
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca
No comments:
Post a Comment