SELAMA ini, apa juga yang dikatakan oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sering sahaja dianggap berunsur politik.
Walaupun yang didedahkan atau dinyatakan itu satu kebenaran, namun ia dilihat hanyalah hujah-hujah politik. Tidak kira apa pun isu sama ada impian 16 September, pentadbiran parti yang kucar-kacir, terlalu tunduk kepada DAP dan tiada lagi perjuangan untuk orang Melayu dan Islam, semuanya berjaya 'ditutup' melalui penafian oleh kepimpinan PKR.
Tetapi sejak 12 Februari lalu, satu demi satu 'pekung' kepincangan perjuangan politik PKR mula terdedah apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar dari parti itu, ia diikuti oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng pada 1 Mac dan kemudiannya Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri pada 3 Mac. Belum pun sempat PKR menepis segala hujah-hujah Ahli Parlimen berkenaan, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat.
Mungkin PKR boleh meminjam kata-kata seorang Ahli Parlimen Pas bahawa mereka yang keluar dari PKR itu adalah sampah. Tetapi hakikatnya, berdasarkan satu demi satu kenyataan yang dibuat oleh kesemua Ahli Parlimen berkenaan termasuk Zulkifli, jelaslah bahawa PKR adalah sebuah parti yang penuh dengan kepincangan.
Segala apa yang dijanjikan di dalam pilihan raya dan yang dikatakan oleh para pemimpin utama parti itu selama ini sudah terbukti hanyalah retorik politik semata-mata.
Melalui pendedahan bekas-bekas Ahli Parlimen PKR juga, ia membuktikan parti itu secara jelas mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara dan paling penting ia menunjukkan kepada rakyat wajah sebenar PKR yang sering mahu dilihat sebuah parti yang sempurna.
Jika selama ini, mereka menuduh UMNO dengan pelbagai dakwaan dalam soal kepimpinan dan keadilan, lihat sahaja apa yang dikatakan oleh Zahrain mengenai PKR.
''Saya telah melakukan apa yang terdaya dalam kemampuan saya untuk mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku di peringkat kepimpinan pakatan pembangkang.
"Namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan. Sebaliknya, mereka bertindak menyingkir dan meminggirkan saya dengan tujuan untuk menghapuskan segala suara teguran dan kritikan dalam pakatan itu, tanpa menghormati hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip-prinsip keadilan yang mereka laung-laungkan selama ini.
"Ternyata laungan dan slogan mengenai hak asasi dan prinsip keadilan hanyalah sekadar retorik politik murahan."
Hujah yang sama turut diketengahkan oleh Tee Beng apabila beliau menyatakan:
''Tiada saluran khusus di dalam PKR untuk mengemukakan masalah. Kritikan saya berkaitan masalah polisi yang serius telah dijawab dengan pembunuhan karakter yang menyebabkan kekecewaan mendalam kepada saya.
"Saya juga kesal dengan sikap kepimpinan PKR yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti hanya kerana mahu memastikan impian mereka ke Putrajaya tercapai termasuk mengambil sikap menutup mata dengan keangkuhan yang ditunjukkan oleh Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang)," katanya.
Kenyataan Zahrain dan Tee Beng, kemudiannya diperkukuhkan pula oleh hujah Mohsin Fadzli yang menyatakan, beliau telah beberapa kali membangkitkan perasaan tidak puas hatinya melalui saluran dalaman parti, namun tidak ada sebarang tindakan positif diambil bagi menyelesaikan perkara itu sehingga menyebabkan keadaan menjadi semakin parah.
"Ini juga sampai ke peringkat tugas dan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen yang turut dikhianati dan disabotaj oleh ahli parti sendiri. Bukan sahaja saya tidak diberi sebarang pembelaan, sebaliknya saya telah diaib dan dicemuh di khalayak ramai," katanya.
Apa yang diperkatakan oleh Zahrain, Tee Beng dan Mohsin Fadzli, bukanlah satu perkara baru malah pernah disebut beberapa kali oleh bekas-bekas pemimpin PKR sebelum ini, tetapi ia tidak begitu diterima oleh sesetengah pihak kerana menganggap semua itu hanyalah pembohongan. Tetapi kini, perkara itu didedahkan sendiri oleh tiga ahli Parlimen yang selama ini dilihat sedia sehidup dan semati bersama PKR.
Selain itu, jika sebelum ini kerisauan UMNO dan NGO Melayu mengenai corak politik PKR dan pembangkang dalam soal tindakan mereka yang dilihat menggugat kedudukan orang Melayu dan Islam dianggap rasis, pendedahan Mohsin Fadzli membuktikan bahawa kebimbangan berkenaan ada asasnya.
Kajilah apa yang dikatakan oleh Mohsin Fadzli ketika mengisytiharkan diri keluar dari PKR. Beliau berhujah:
''Saya sangat khuatir dengan kegiatan politik yang diamalkan oleh PKR dan pakatan pembangkang khususnya di Perak termasuk menghalalkan pelbagai cara demi suatu matlamat yang sempit, serangan tanpa batasan terhadap institusi raja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar bagi menyerang kedaulatan negara."
Sikap double standard PKR dan bagaimana dakwaan bahawa Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail hanyalah sekadar menjadi Presiden yang tidak mempunyai kuasa adalah satu kebenaran yang didedahkan oleh Zulkifli.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu mendedahkan bagaimana perancangan PKR untuk merealisasikan impian 16 September 2008 dan kesediaan PKR menerima Ahli Dewan Undangan Negeri Bota dari BN yang melompat ke dalam parti itu. Dalam kedua-dua kes ini, tiada sepatah pun gesaan dibuat supaya mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan.
Tindakan itu sekali gus mendedahkan sikap double standard bukan sahaja PKR, malah pembangkang yang sanggup 'menghalalkan' perkara yang boleh menguntungkan mereka tetapi mengharamkannya jika ia menguntungkan BN.
Pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen itu termasuk oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim seharusnya memberikan kesedaran kepada rakyat terutamanya penyokong fanatik parti itu mengenai wajah sebenar PKR.
Janganlah mereka terus diperbodohkan atau terpengaruh dengan ucapan dan kenyataan pemimpin-pemimpin parti berkenaan yang mahu menggambarkan merekalah pemimpin parti paling sempurna di muka bumi Allah ini.
Terimalah hakikat, PKR wujud bukan atas dasar perjuangan untuk rakyat apatah demi keadilan dan menegakkan demokrasi. Pendedahan bekas-bekas pemimpin parti itu sudah menjadi bukti bahawa PKR hanyalah sebuah parti yang rakus untuk merebut kekuasaan, retorik dalam ucapan dan hipokrit dalam tindakan.
2 comments:
tak kisah macam mana pun asalkan berdaftar....dan menyertai pilihanraya ...akan tetap mendapat sokongan .Ramai lagi walaupun dalam umno kecewa tak dapat bertanding PRU maka masuk PKR terus dapat jadi calun
Calun Bebas
pru lepas memanglah pkr boleh menang. rakyat marahkan PakLah. dan sekarang rakyat nampak masalah pkr. lepas ni takde sapa dah nak sokong kecuali penyokong tegar anuar.
Post a Comment