Geng Bas Sekolah

December 15, 2015

FAHAMI REALPOLITIK DEMI KEBAIKAN


ISTILAH realpolitik dalam pe­mahaman masyarakat Jerman, membawa makna kenya­taan politik yang ‘terpampang di hadapan mata’ untuk diterjemah secara mudah dan diterima secara praktikal.

Penting bagi sesiapa jua di dalam arena politik menyelusur suasana sebenar politik semasa agar setiap langkah dan tindakan selari dengan kehendak dan citarasa sedia ada. Dalam kata mudah, jika ahli-ahli parti sepakat mahu melihat perpadu­an, kesepakatan, ikatan kesetiaan yang kukuh serta tautan kemesraan yang teguh, adalah janggal dan tidak wajar bagi mana-mana pihak mengetepikannya.

Menentang arus adalah tindakan yang payah dan sukar.

Suasana mutakhir yang terdapat dalam UMNO, parti keramat orang Melayu, usai Perhimpunan Agung UMNO 2015 Sabtu lalu, terpancar petanda dan isyarat bahawa ahli-ahli di semua peringkat tetap setia dan sayang kepada parti. Selain itu mereka mele­takkan harapan tinggi dan seikhlasnya agar suasana damai dan bersepadu khususnya di peringkat kepimpinan parti dapat direalisasikan.

Perhimpunan yang baru berlalu membawa mesej jelas agar semua pihak meletakkan kepentingan parti mengatasi sebarang sentimen peribadi atau mana-mana kelompok. Mesej para perwakilan dan pemerhati adalah untuk melihat UMNO kembali utuh dan teguh tanpa ‘diganggu’ oleh kritikan, cemuhan atau dakwaan ‘berlebihan’ sehingga kelihatan tiada penghujung. Mereka mahu imej dan maruah parti tetap terpelihara.

Para perwakilan dan pemerhati sepakat menampilkan mesej ‘memulih retak, membina harapan baharu’. Mereka tidak lagi bersedia melihat sebarang ‘keretakan’ berlaku di mana-mana segmen dalam parti. UMNO adalah parti tempat ‘bergantung harap’ orang Melayu dan Bumiputera selain rakyat Malaysia umumnya.

Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri turut menyahut seruan ukhuwah dan perpaduan itu.

Di sinilah kaitannya dengan istilah realpolitik, iaitu sedia akur de­ngan suasana sebenar politik semasa dalam konteks mengambil kira citarasa, kecenderungan dan pengharapan majoriti ahli. Seseorang mungkin memegang erat pendirian dan keputusan secara peribadi atas sesuatu isu, namun pendirian itu mungkin ‘tidak akan ke mana’ tanpa mengambil kira kenyataan sebenar yang terbentang di hadapan mata.

Jika matlamatnya untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan cemerlang, tum­puan ke arah itu perlu dibuat de­ngan jujur dan bersungguh-sungguh tanpa ‘terbelit’ dengan hal-hal atau cita-cita peribadi dan puak.

Adakalanya, kesepaduan atau kesepakatan terhimpun bukan atas kehendak atau kerelaan diri seseorang. Tegasnya, tuntutan ramai dalam membina perpaduan dan kesepakatan ini kadang-kadang turut memaksa seseorang melakukan ‘pengorbanan’ di mana-mana sudut yang perlu. Dan di sinilah akan menyerlah harga diri atau keperibadian tinggi seseorang itu pada mata umum. Umpama ular menyusur akar tak akan hilang bisanya.

Sebagaimana diungkap seorang pembahas usul agama dan pendidik­an dari Sabah: “Kalau ada masalah, jangan dibuang silaturahim; kalau ada silap maafkan saja, jangan disingkir kasih sayang terjalin. Dan sesungguhnya membina ukhuwah sesama ummah itu adalah salah satu tuntutan Islam.”

Memahami realpolitik yang terpamer jelas, eloklah bagi ‘pihak-pihak terbabit’ menyahut seruan untuk kembali bersepadu demi parti, ahli-ahli UMNO dan kepentingan rakyat Malaysia umumnya.

UMNO mengharapkan toleransi untuk bercantum mesra, bersatu tekad, berpadu tenaga demi ke­utuhan parti, bukan sahaja dalam kalangan kepimpinan tertinggi bahkan ahli semua peringkat. Isyarat jelas menyeru perpaduan di dewan perhimpunan diharap tidak lagi disambut sinis dengan kata-kata: “Itu sekadar sokongan luaran, protes secara sembunyi sukar dijangka”. Ertinya masih ada pihak yang mengharap seruan perpaduan tidak menjadi kenyataan?

Apa yang lebih penting untuk difikir bersama adalah masa depan bangsa dan negara. Tentu amat baik jika ada kesediaan semua pihak untuk memikul tanggungjawab, sedia berganding bahu memasuki era negara maju tanpa melibatkan kepen­tingan bangsa dan agama tertinggal atau tercicir di mana-mana.

Mungkin ada pihak yang kecewa melihat kelancaran perjalanan perhimpunan UMNO yang baru lalu. Barangkali ada yang menyim­pan harapan untuk melihat suasana pada perhimpunan tahunan parti Pertubuhan Melayu Bersatu itu kecoh, bercelaru, berkecamuk atau timbul pertengkaran terbuka sesama sendiri. Tujuannya hanya mereka yang tahu. Apa pun, jika itu telahan mereka, ternyata apa yang disangka semuanya meleset.

Ahli-ahli UMNO ternyata cukup matang dan berpandangan jauh. Mereka sayangkan institusi parti. Kenyataannya, mereka menghargai jasa parti yang memerdekakan ta­nah air dari tangan penjajah itu selain mensyukuri keupayaan UMNO menerajui pentadbiran negara bersama rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan baik dan berkesan.

Bertoleransi dan bertolak ansur cukup bernilai dalam membina ke­sepaduan. Manakala harga bagi sebuah kesepaduan memberi makna besar kepada kekuatan bangsa dan negara. Semoga UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia!

DATUK SAYUTI MUKHTAR 
ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas 
(Jasa), Kementerian Multimedia.

No comments: