July 14, 2015

PENEROKA DI TIPU TAUKE BAUKSIT ?


Kerakusan kegiatan perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh di sini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah menyebabkan golongan peneroka di tanah rancangan tersebut teraniaya.

Hal demikian memandangkan terdapat peneroka yang membenarkan kerja-kerja mengorek bahan mineral itu dilakukan di ladang sawit mereka tidak menerima bayaran penuh seperti dijanjikan pengusaha bauksit.

Selain itu, ada dalam kalangan mereka mendapat notis daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri bertarikh 7 Julai lalu atas kesalahan melombong tanpa lesen atau pajakan sah di bawah Enakmen Mineral 2001.

Seorang peneroka, Rahim Muda, 70, mendakwa, dia menerima notis ditandatangani Timbalan Pengarah PTG Pahang yang meminta dia menghentikan perlombongan bauksit di tanah ladang sawitnya serta-merta.

Katanya, notis berkenaan memaklumkan dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.

“Memang kecut perut apabila denda diperuntukkan sehingga RM500,000. Saya sudah memberitahu pengusaha bauksit tentang notis berkenaan tetapi dia hanya mengatakan supaya jangan risau.

“Sekarang saya hanya bergantung harap kepada Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh untuk membantu kami mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perjumpaan dengan jawatankuasa berkenaan di Felda Bukit Goh di sini hari ini.

Seorang lagi peneroka yang turut mendapat notis sama, Naza Maislan, 60, berkata, dia berasa teraniaya kerana tuntutan tersebut hanya diserahkan PTG selepas 11 bulan operasi perlombongan bauksit berjalan.

“Takkan mereka tidak tahu aktiviti ini sudah berjalan sekian lama? Saya yang merupakan seorang daripada peneroka pertama yang memohon lesen juga belum mendapat kelulusan.

“Kami juga difahamkan pelombong hanya berdepan risiko peralatan dan jentera disita, sedangkan kami bakal berdepan hukuman yang berat," katanya.

Sementara itu, Hamid Deraman, 79, pula berkata, dia berasa tertipu apabila ladang sawitnya seluas 4.05 hektar habis ditebang pengusaha bauksit namun tidak menerima bayaran seperti yang dijanjikan.

“Saya menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM50,000 sahaja, pengusaha bauksit menjanjikan bayaran RM250,000 namun membatalkan hasrat mengambil bauksit di tanah saya atas alasan mutu bauksit berkualiti rendah.

“Ada usaha dijalankan untuk menuntut ganti rugi, masalahnya saya telah menandatangani satu surat perjanjian sebelum ini namun butirannya tidak diketahui, salinannya juga tidak diberikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman memberitahu, seramai 71 peneroka mendapat notis daripada PTG atas kesalahan melombong tanpa lesen.

TIDAK SEMUA BERSETUJU DENGAN PERLOMBONGAN BAUKSIT

Tidak semua peneroka di tanah rancangan Felda Bukit Goh di sini menandatangani perjanjian dengan pengusaha bauksit bagi membenarkan kerja-kerja mengorek bahan mineral itu dilakukan di ladang sawit mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman berkata, daripada 671 peneroka di tanah rancangan itu, kira-kira 200 orang sahaja yang terlibat dengan perjanjian tersebut.

Katanya, itu melibatkan keluasan 80.9 hektar ladang sawit atau 4.05 hektar bagi setiap peneroka dengan kerja-kerja mengorek bauksit sudah dilakukan di kesemua kawasan terbabit.

“Peneroka yang terlibat telah menerima deposit atau wang pendahuluan masing-masing antara RM20,000 sehingga RM400,000. Sehingga kini, tidak sampai 10 peneroka yang menerima hasil bulanan.

“Walaupun hanya 200 orang yang terlibat, namun boleh dikatakan semua peneroka di sini menerima kesannya terutama habuk,” katanya.

Menurut Mat Zahari, jumlah bayaran tertinggi yang diterima peneroka di situ adalah RM860,000 setelah kerja pengeluaran bauksit habis dibuat.

Sementara itu, Abd. Wahid berkata, kurang pemahaman tentang kesan kegiatan perlombongan bauksit menyebabkan peneroka mudah memberi kebenaran kepada pengusaha mengorek bahan mineral tersebut.

“Kita tidak boleh menyalahkan peneroka juga, pihak pengusaha bauksit datang berjumpa mereka di rumah dengan membawa jumlah wang tertentu dan selepas itu meminta mereka menandatangani perjanjian.

“Kebanyakan peneroka yang terlibat tidak faham pun isi kandungan perjanjian itu, sebaliknya terus menandatanganinya,” katanya.

Sementara itu, Md. Sohaimi berkata, kegiatan perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh bukan sahaja menyebabkan pencemaran sungai di tanah rancangan itu, malah turut berlaku di Felda Bukit Sagu dan Felda Bukit Kuantan.

“Kami memandang serius masalah pencemaran sungai akibat kegiatan ini dan telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan