April 22, 2015

BILA UMAT ISLAM PERTAHANKAN HAK


Sekali lagi nampaknya sesi bertikam-lidah dan tuduh-menuduh berlaku diantara umat Islam dan penganut Kristian apabila sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya cuba meletakkan kayu salib di dinding luar unit gereja tersebut di kawasan sebuah rumah kedai berhampiran.

Alasan penduduk tempatan yang berdemo minta salib itu diturunkan ialah, gereja tersebut beroperasi di kawasan majoriti penduduk Melayu Islam, dan dikhuatiri ianya lama-kelamaan bakal mempengaruhi anak-anak muda mereka kelak. Di Malaysia adalah menjadi kesalahan sekiranya agama bukan Islam, didakwahkan kepada umat Islam. Dan di sisi itu kelihatan apa yang diminta oleh para pendemo yang merupakan penduduk tempatan adalah berasas dan selari dengan aspirasi negara majmuk ini.

Mereka bukannya membantah kewujudan gereja tersebut, yang masih belum jelas sama ada mempunyai permit untuk beroperasi di premis rumah kedai di kawasan kediaman mereka atau tidak tetapi hanya meminta salib yang telah dipasang diturunkan. Mereka juga bukannya meminta supaya agama Kristian diharamkan terus daripada bumi Malaysia. Itu perlu jelas dan diperjelaskan.

Namun terdapat segelintir pihak, ‘yang entah apalah bala, entah siapalah yang kurang pahala?’ berlagak semberono menyalahkan para pendemo anti salib di Taman Medan sebagai satu perbuatan melampau, bersifat pembulian, ala ‘vampire’ dan menghasut!

Persoalannya adakah kita semua bertanya soalan yang betul sebelum jari kita mahu menuding kesalahan ke atas para pendemo yang mahu memastikan akidah anak-anak muda mereka tidak tergugat, kekal Islam, sama seperti ibubapa di kawasan-kawasan perumahan yang lain?

 Adakah hanya kerana mereka ini golongan marhaen sekadar penghuni flat dan bukannya anak-anak kepada pesara G25 contohnya, lalu segelintir daripada kita cuba membuli mereka pula dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas tanpa cuba mahu memahami isi hati dan harapan mereka mahu menjaga akidah anak-anak muda mereka daripada asakan bertali-arus kemodenan yang membawa bersamanya seribu satu kebobrokan?

Apakah hak mereka untuk menguruskan kehidupan seharian mereka jauh lebih rendah daripada hak warga Malaysia yang lain? Atau adakah dalam kita teruja mahu memperjuangkan hak minoriti, golongan minoriti pula bebas berbuat apa sahaja, waima melanggar undang-undang sekalipun?

Semata-mata kerana kita mahu Malaysia dipandang mulia di mata masyarakat antarabangsa, seperti yang digesa kumpulan G25?

Ada juga yang cuba menangguk di air yang keruh cuba mengaitkan keberadaan abang kepada Ketua Polis Negara sebagai ‘alasan’ mengapa seperti tiada tindakan yang bakal diambil ke atas para pendemo? Taktik jahat ini sepatutnya tidak dibiarkan begitu sahaja, apa kena mengena pertalian darah diantara mereka berdua, seperti yang diperakui oleh si abang yang bersangka baik dengan ‘wartawan yang bertanya’, dengan hak para pendemo mahukan salib diturunkan?

 Dalam pada itu ada juga yang cuba menyalahkan sebuah parti politik Melayu Islam dibelakang kejadian demo tersebut untuk mengalihkan keadaan. Usaha untuk memencilkan desakan berasas yang selari dengan aspirasi negara ini nampaknya cuba dipatahkan oleh golongan anti Islam dan benci Melayu dengan usaha pecah perintah yang pernah diamalkan oleh British dengan jayanya suatu ketika dulu. Cuma kali ini modus operandi yang sama diguna-pakai golongan anti parti Melayu Islam untuk mengekang sebarang usaha atau sokongan pihak lain yang bersimpati atau yang turut bersetuju dengan demo yang dibuat penduduk Melayu Islam kawasan perumahan tersebut.

Sungguh licik musuh-musuh Islam bekerja. Tentunya jika pelampau agama bukan Islam dibiarkan berleluasa, memilih untuk hidup di Malaysia dengan keadaan yang tidak pernah mahu aman dan damai dengan Islam, Agama Persekutuan, tentunya negara kita bakal menjadi sebuah lagi ‘Lebanon’, apatah lagi dengan perkembangan geopolitik serantau kebelakangan ini.

Persoalannya, kenapakah cerdik pandai kita sebagai kumpulan moderat yang mahu tindakan diambil terhadap para pendemo Melayu Islam yang membantah perlambangan salib di kawasan rumah kedai tersebut bertanya sama ada gereja tersebut beroperasi secara sah, dengan kelulusan permit atau lesen operasi rumah ibadat daripada pihak berkuasa tempatan?

Kenapakah pula seseorang yang kelihatan bijak dan petah berbicara, walaupun mahu bersolidariti dengan penganut Kristian sekalipun, tidak bertanya sama ada gereja tersebut mempunyai lesen untuk meletakkan lambang kayu salib berwarna merah di luar dinding premis bangunan rumah kedai tersebut? Bilakah permit tersebut dikeluarkan, diluluskan oleh siapa dan sah sehingga bila?

Mungkin Majlis Perbandaran Petaling Jaya boleh memberikan pencerahan?

Dan adakah kelulusan tersebut, jika ada, selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain negara? Apakah pula keperluan dan rasional sehinggakan kelulusan operasi gereja tersebut di kawasan majoriti Melayu tersebut diberikan? Sudah berapa banyak pula gereja yang sedang beroperasi di kawasan tersebut berbanding dengan populasi penganut Kristian tempatan? Apa tidak wujudkah gereja-gereja sedia ada di kawasan yang berhampiran?

Jika pembinaan Masjid dan Surau untuk penganut Islam juga dipantau rapi dan perlu mendapat kelulusan sebelum dibangunkan, kenapakah pula tempat beribadat penganut bukan Islam tidak perlu mendapat sebarang kelulusan terlebih dahulu? Tentunya kita berharap supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terus memeluk tubuh membiarkan kontroversi ini berterusan tanpa sebarang tindakan yang adil dan saksama kepada semua rakyat negeri tersebut. Berlawanan dengan pendapat sesetengah pihak, ini bukanlah isu PKR atau UMNO atau PAS. Ini adalah isu kemaslahatan umat Islam dan bukan Islam di negeri Selangor.

Pihak penguasa negeri juga perlu mengadakan garis panduan rumah ibadat bukan Islam terutamanya di premis-premis perniagaan dan menguatkuasakannya dengan kemas dan telus. Jika garis panduan tersebut sudah ada tersedia maka ianya haruslah segera dikuatkuasakan. Percayalah wahai kakitangan pihak berkuasa tempatan, sikap tutup sebelah mata kelak hanya akan memakan diri anda.


Persoalannya adakah rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi di premis-premis rumah kedai seperti sebuah perniagaan? Berapakah pula saiz salib yang dibenarkan untuk dipamerkan di premis-premis rumah kedai yang beroperasi sebagai gereja kini?

Masa untuk kita semua bersikap apati, berpeluk tubuh, menutup sebelah mata, bersikap sambil lewa, tidak apa, dan buat-buat lepa perlu dinoktahkan. Seperti yang dilaporkan, jika operasi gereja di premis rumah kedai tersebut melanggar undang-undang dan tidak mempunyai permit kebenaran pihak berkuasa tempatan, wakil gereja tersebut dan badan yang mengawal selia gereja-gereja harus dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera.

Malangnya isu sensitiviti umat Islam terhadap kewujudan rumah ibadat bukan Islam di kawasan kediaman mereka sering saja timbul. Dan jika isu rumah ibadat bukan Islam tidak diurus dan dikawal selia dengan baik oleh badan-badan berwajib, sama ada di peringkat negeri dan persekutuan, maka kejadian serupa seperti yang kita lihat di Taman Medan, Petaling Jaya, tentunya bakal berulang.

Mungkin sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil langkah bijak menyelaraskan penguatkuasaan larangan sedia ada ke atas rumah-rumah ibadat yang didirikan sewenang-wenangnya atas nama ‘kebebasan beragama’. Kerajaan Negeri Selangor harus bersikap lebih pro-aktif dalam mengekang sebarang operasi haram rumah ibadat di negeri tersebut. Ini untuk mengelakkan sebarang salah-faham yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Namun hakikat yang tidak boleh kita lupa ialah Islam adalah Agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan selagi ianya bersifat aman dan damai dengan Islam, tidak boleh tidak. Islam juga tidak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan agama-agama lain. Itu harus jelas dan harus segera dan sentiasa dikuatkuasakan.

Persoalannya, segelintir daripada kita yang sepantas kilat suka menuding jari menyalahkan penduduk Taman Medan, Petaling Jaya yang membantah salib merah yang diletakkan pada sebuah premis rumah kedai di kawasan kediaman mereka sedarkah tentang ini semua?

Nampaknya untuk sesetengah daripada kita, belajar jauh sampai ke Australia sekalipun masih belum cukup untuk mencelikkan minda nampaknya? - SUMBER

1 comment:

  1. Yang sah kafir bantah memang dah agak, yang mengaku islam yang menyibuk buat apa, masing-masing nak jadi ustaz atau ustazah , masing-masing dah cekap dan pandai dalam ilmu agama, hanya hendak pecah-belah dikalangan umat Islam aje, puak ni yang paling bahaya.

    ReplyDelete

Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan