January 5, 2015

ORANG POLITIK SARAWAK RASIS

Keputusan terburu-buru kerajaan negeri Sarawak melarang saya memasuki bumi kenyalang ini sudah tentu amat mengecewakan, juga merugikan. Sebelum ini, saya bebas sahaja memberikan ceramah di sana. Kebanyakannya atas jemputan masjid, majlis daerah dan wakil rakyat.

Saya adalah saya, dulu sampai sekarang. Boleh tanya kepada penduduk Sarawak yang mengikut ceramah selama ini, adakah saya menanamkan politik kebencian antara kaum, semangat ekstremis dan apa jua konotasi yang negatif?  Jawapannya, saya pasti, TIADA. Kebanyakan berpuas hati dengan ceramah saya. Kita amat profesional dan menghormati budaya dan sensitiviti setempat. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Kita adalah pendakwah, sampaikan walau satu ayat, bukan berpolitik seperti ahli politik. Bermuka-muka. Cakap lain, buat lain. Setiap kali saya ke Sarawak (Sabah), saya banyak menekankan soal meraikan kepelbagaian dalam Islam.

 Apapun saya terima dengan hati terbuka keputusan kerajaan negeri. Saya tidak rugi apa-apa pun jika tidak ke negeri tersebut. Banyak negeri lain yang sudi menerima dan boleh kita menyumbang.

Cuma saya amat terkilan tindakan terburu-buru. Sekurang-kurang rujuklah kerajaan pusat terlebih dahulu sama ada saya ekstrem atau tidak. Namun demikian,  saya akui Sabah Sarawak memiliki kuasa imigresen sepenuhnya, merujuk perkara 18 dan 20, selepas kemasukan ke dalam Malaysia 1963.

Keputusan ini adalah keputusan politik. Saya adalah mangsa. Terus terang, saya agak marahn dengan kenyataan menteri mudanya dan orang pejabat Ketua Menteri.

Jika tidak benarkan saya masuk, tidak mengapa, pinggan tak retak, nasi tak dingin, kau tak nak, aku pun tak ingin. Tetapi tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti mengaitkan saya dengan budaya politik ekstrem Semenanjung. Kenapa perlu babitkan Semenanjung. Ia tidak baik untuk pembangunan politik bernegara.

Kami, di Semenanjung tidak seburuk yang saudara semua sangkakan. Kami tahu membezakan antara baik dan buruk, sebab kami bukan ultra kiasu. Ya, tidak dinafikan ada yang ekstrem. Tetapi mengeluarkan kenyataan umum sedemikian, bukan ciri seorang negarawan.

Mungkin mereka terlepas pandang, saya sebagai seorang pendakwah dan pada masa sama saya juga adalah pensyarah yang mengkhusus dalam bidang sains politik dan kerajaan. Saya bercakap dan menulis mengikut bidang.

Menjadi hak saya sebagai pakar, memberikan input-input dan ulasan politik  semasa, dalam sebuah negara mengamalkan demokrasi berparlimen. Sebab itu, saya tidak disukai dan menjadi mangsa sekumpulan ahli politik yang pandai mengaburi mata rakyat mengatakan mereka mewakili semua kaum dan menyeru kepada perpaduan.

Kenapa kita begitu bersikap tertutup? Kenapa kita mendengar sebelah pihak sahaja, terutama PKR dan DAP? Ceramah saya di Sematan adalah berkaitan Maulid Nabi. Jika saya menanamkan politik ekstrem, yang mula-mula akan ban saya adalah kerajaan pusat di sini. Tetapi saya masih bebas keluar masuk TV. Jadi, apa masalahnya?

Sudah sampai masanya kita perlu matang. Jika beginilah sikap dan perangai pemimpin muda Sarawak dalam berpolitik, tidak mustahil suatu masa nanti Sarawak akan terlepas kepada tangan pembangkang. - SUMBER

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan