Datuk Haji Abdullah Hukum
BAGAIMANA wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapa yang membuka, menghuni dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan besar Haji Abdullah Hukum, pedagang dari Kerinchi, Sumatera yang turut menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur bermula 1850-an.
Abdullah Hukum atau nama asalnya Abdullah Rukun, ketika itu berusia 15 tahun berkelana merentasi Selat Melaka ke Melaka sebelum ke Kuala Lumpur bersama sekumpulan rakannya dengan berjalan kaki tiga hari tiga malam. Banyak tempat yang disinggahi dan banyak pula pengalaman ditempuhinya. Setibanya di Kuala Lumpur, beliau menumpang di rumah Haji Abdul Ghani di Java Street.
Ketika itu, Kuala Lumpur mempunyai dua lorong saja iaitu Java Street dan Market Street, manakala Ampang Street (kini Lebuh Ampang) dahulunya adalah tempat sekumpulan ceti beroperasi dan di situ juga ada sebuah kolam ikan milik Almarhum Sutan Puasa.
Rumah kedai pada masa itu berbumbung atap bertam dan berdinding buluh, manakala peniaga di situ kebanyakannya menjual kain dan makanan, semuanya orang Melayu berketurunan Rawa dan Mendahiling. Sutan Puasa dan Raja Bilah adalah di antara ketua masyarakat berpengaruh ketika itu. Kedua-dua ketua ini mengutip hasil dagangan daripada peniaga yang melalui Sungai Klang dan Sungai Gombak. Cukai timah pada masa itu ialah seringgit sebahara (tiga pikul).
Setapak (dulu Hulu Sungai Tapak) dan Air Panas (dulunya Hulu Gombak) adalah kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Beliau pernah mengambil upah membuat tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu Lima Gombak sekarang). Ketika itu, Sutan Puasa adalah ketua yang disenangi penduduk tempatan kerana semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang.
Abdullah Hukum juga pernah pergi menghadap Raja Laut (Putera Raja Muhamad) kerana ingin meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut memberikan surat kebenaran untuk membuka tanah di Pudu dan menjadi ketua penduduk di situ. Ada ramai orang Kerinchi mengikutnya dan tinggal di Pudu (di kawasan Bukit Bintang sekarang).
Di sana, Abdullah Hukum dan pengikutnya menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan bersawah padi. Abdullah Hukum menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun. Dikatakan juga beliau pernah menjadi nakhoda yang mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Klang ke Kuala Lumpur. Dia mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.
Selepas membuka kawasan Pudu, Abdullah Hukum mendapat surat kebenaran daripada Raja Mahmud (Putera Sultan Muhamad) untuk membuka kebun di Bukit Nanas. Beliau juga mendapat surat kebenaran daripada Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih (kawasan Jalan Bangsar sekarang).
Ketika tinggal di Sungai Putih, Abdullah Hukum membuka Bukit Candi Putra (kini Bukit Putera) yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi). Abdullah Hukum diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih dengan persetujuan Penghulu dan Datuk Dagang. Selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung dan Penghulu, Abdullah Hukum menghentikan perniagaan kerbau kerana beban tugas semakin bertambah.
Ketika beliau menjadi Penghulu inilah Abdullah Hukum cuba menyatukan tiga kaum utama di situ, Melayu, Cina dan India. Sebagai menghargai kejayaannya itu, dia menamakan jalan utama di situ sebagai Jalan Bangsa,sempena penyatuan ketiga-tiga kaum. Bangsa kemudian bertukar menjadi Bangsar.
Apabila meletus peperangan Selangor dan Pahang, Sultan Abdul Samad memanggil Abdullah Hukum untuk membantu melawan musuh baginda. Baginda melantik Abdullah Hukum yang juga Datuk Dagang sebagai panglima perang.
Sebagai menghormati jasa dan bakti Datuk Dagang, Sultan Abdul Samad mengurniakan sebidang tanah seluas satu perempat ekar kepadanya. Tanah itu terletak berhampiran Sungai Klang, satu kawasan strategik dari segi pertanian dan perhubungan. Di samping itu, Datuk Dagang dikurniakan kuasa untuk menyelesaikan masalah di kalangan penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.
Datuk Dagang menjadikan kawasan itu sebagai perkampungan tetap untuk pengikutnya. Kampung itu dinamakan Kampung Haji Abdullah Hukum sempena nama beliau. Ketika Abdullah Hukum datang ke kampung itu, pada 1890-an, pekerjaan utama penduduk di situ ialah bersawah padi dan bercucuk tanam.
Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Abdullah Hukum menumpukan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Abdullah Hukum pulang ke Sumatera pada 1929, selepas menjadi ketua kampung selama tujuh atau lapan tahun. Menurut cerita, beliau meninggal dunia pada usia 125 tahun.
Haji Mahmud, seorang daripada enam anaknya mengambil tugas ketua kampung selepas bapanya mengundur diri. Cucunya, Kamaruddin Mahmud mewarisi pusaka kampung ini hingga sekarang, dan kesan peninggalan termasuklah sebuah rumah milik Abdullah Hukum masih ada di kampung Abdullah Hukum.
Kini, Kampung Abdullah Hukum terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah jauh berubah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ melambung berpuluh kali ganda. Sudah tidak ada orang yang bersawah padi atau berkebun sayur di situ lagi. Sungai Klang yang menjadi terusan di Kampung Haji Abdullah Hukum sekarang bukanlah aliran sungai yang asal. Sungai ini dulunya melingkari bahagian Jalan Syed Putra yang kini menjadi tapak pusat beli-belah Mid Valley.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan