Geng Bas Sekolah

September 8, 2014

ISIL KHAWARIJ DAN SYIAH BUNUH UMAT MUHAMMAD S.A.W


SABAN hari, umat Islam yang berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Iraq hidup menderita di bawah cengkaman kerajaan yang dikuasai puak Syiah. Mereka dibunuh beramai-beramai dan sebahagian yang ditangkap diseksa secara kejam dengan renjatan elektrik, disiram dengan bahan kimia yang menghakis kulit atau dipukul dengan batang besi.

Puak Syiah juga merampas tanah, kediaman dan harta milik golongan ASWJ justeru mengakibatkan kira-kira dua juta orang kini terpaksa hidup sebagai pelarian.

Kekejaman militan Syiah memang tiada batasan. Mereka sanggup membunuh sesiapa sahaja lelaki ASWJ yang bernama Umar, Abu Bakar atau Usman. Wanita yang bernama Aisyah atau Hafsah pula berdepan dua kemungkinan iaitu dibunuh atau dinodai kehormatan mereka. Semua itu dilakukan kerana puak ini amat membenci tiga sahabat serta dua isteri Nabi Muhammad SAW itu. Akibatnya, lelaki dan wanita ASWJ yang bernama Umar, Abu Bakar, Usman, Aisyah atau Hafsah terpaksa menukar nama masing-masing bagi mengelak daripada menjadi mangsa kezaliman militan Syiah.

Secebis kisah penderitaan golongan ASWJ di Iraq itu diluahkan sendiri oleh dua pemimpin Gerakan Kebangkitan Rakyat Iraq iaitu Sheikh Saad Fayyad al-Dulaimi dan Mustafa Dawod al-Ani kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di Kajang, Selangor, baru-baru ini. Kedua-duanya berada di negara ini sejak dua minggu lalu bagi menyampaikan ceramah tentang krisis kemanusiaan di Iraq serta kaitannya dengan ancaman Syiah serta kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Menurut Sheikh Saad seperti yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Eksekutif Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Qudrotullah Bijarto, kuasa politik di Iraq sejak era pendudukan Amerika Syarikat (AS) mulai 2003 secara prinsipnya dibahagi sama rata di antara tiga kumpulan terbesar di negara berkenaan iaitu ASWJ, Kurd dan Syiah.

Jawatan Presiden dipegang oleh puak Kurd, Ketua Parlimen diberikan kepada ASWJ manakala puak Syiah menjadi Perdana Menteri.

"Namun, hakikatnya sejak mula lagi semua kuasa di Iraq dibolot oleh Perdana Menteri yang mewakili puak Syiah. Keadaan ini menyebabkan puak Syiah bebas melakukan apa sahaja bentuk penganiayaan dan kezaliman terhadap golongan ASWJ.

"Mereka bukan sahaja menguasai politik di Iraq malah turut membentuk pasukan militan terlatih ala Hezbollah dengan bantuan Iran dan AS. Militan Syiah ini dijadikan alat pemerintah Syiah untuk memperkukuhkan kuasa politik mereka di negara kami," katanya.

Beliau memberi contoh dua insiden pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh militan Syiah terhadap golongan ASWJ yang menyuarakan penentangan terhadap kezaliman mereka secara terbuka. Insiden pertama berlaku di Khawijah, Kirkuk tahun lalu di mana kira-kira 70 lelaki ASWJ dibunuh, sebahagian besar ditembak di kepala, sejurus menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran. Terbaru, sebanyak 73 lelaki ASWJ terkorban apabila militan Syiah menyerang Masjid Musab bin Umair di wilayah Diyala pada 22 Ogos lalu.

Sheikh Saad yang berkhidmat sebagai khatib di wilayah Irbil menambah, tokoh-tokoh politik ASWJ yang lantang bersuara mengkritik puak Syiah turut tidak terlepas daripada dijadikan mangsa kezaliman puak Syiah. Tiga anggota Kabinet Iraq iaitu Timbalan Presiden, Tariq al-Hashimi; Menteri Wakaf, Adnan al-Dulaimi dan Menteri Kewangan, Rafi al-Issawi terpaksa meninggalkan negara itu bagi mengelakkan hukuman bunuh. Timbalan Yang Dipertua Parlimen Iraq, Dr. Ahmed al-Alwan pula ditahan dan dipenjarakan sejak Disember tahun lalu.

"AS seolah-olah membiarkan sahaja segala kekejaman yang dilakukan oleh puak Syiah terhadap ASWJ. Militan Syiah juga tidak lagi menentang tentera AS selepas imam mereka, Ali Sistani mengeluarkan fatwa melarang serangan terhadap tentera kuasa penjajah itu," jelasnya.

Sudah tentu golongan ASWJ di Iraq tidak berdiam diri terhadap segala penganiayaan yang dilakukan puak Syiah terhadap mereka. Namun menurut Sheikh Saad, majoriti memilih pendekatan demonstrasi secara aman bagi membantah kezaliman pemerintah dan militan Syiah.

"Demonstrasi besar-besaran pertama yang disertai ratusan ribu pengikut ASWJ dianjurkan di Anbar pada 21 Jun 2012. Mereka berhimpun sambil mendengar ucapan oleh Dr. Ahmad Said.

"Pada tarikh yang sama, Gerakan Kebangkitan Rakyat Iraq pun bermula dan ingin ditegaskan bahawa kami menolak sebarang bentuk kekerasan atau keganasan untuk menjayakan matlamat memperjuangkan keadilan bagi golongan ASWJ," ujarnya.

Pendirian serupa turut diulangi Mustafa. Beliau berharap, umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia tidak terkeliru dengan dakyah yang mendakwa kononnya ISIS membantu golongan ASWJ dalam perjuangan menentang puak Syiah dan AS.

Tegasnya, Gerakan Kebangkitan Rakyat Iraq tidak mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan militan ISIS.

"ISIS cuma mahu mengambil kesempatan di atas kebangkitan golongan ASWJ untuk memperluaskan pengaruh dan mendirikan apa yang digelar 'negara Islam' di Iraq.

"Segelintir umat Islam di Iraq malah dari negara lain terpedaya dengan dakyah palsu ISIS walhal kumpulan tersebut sebenarnya bersekongkol dengan militan Syiah dan tentera AS.

"Pada masa ini, militan ISIS berjaya membentuk wilayah sendiri di Iraq yang diperolehi dengan cara mengusir golongan ASWJ di kawasan yang mereka kuasai. Hakikat yang tidak diketahui ramai umat Islam adalah ISIS juga menzalimi golongan ASWJ di Iraq," katanya.

Jelas Mustafa, militan ISIS mengamalkan fahaman Khawarij iaitu menghalalkan perbuatan menumpahkan darah sesiapa sahaja yang tidak bersama kumpulan itu walaupun mereka beragama Islam dan berpegang kepada akidah ASWJ.

"Saya ingin menasihatkan umat Islam di Malaysia khususnya golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah ISIS yang menyeru untuk berjihad bersama mereka bagi menentang puak Syiah dan tentera AS. Segala tindakan ISIS selama ini telah menyebabkan dunia memandang serong terhadap umat Islam," jelasnya.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Mustafa sempat meninggalkan pesan kepada umat Islam di Malaysia agar berhati-hati dengan pengaruh Syiah dari Iran serta menjadikan nasib golongan ASWJ di Iraq sebagai iktibar.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Awam turut mengalu-alukan sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk membantu membangunkan semula Iraq khususnya dari segi infrastruktur, ekonomi dan pendidikan. - SUMBER

No comments: