September 11, 2014

AKAUNTAN MELAYU CUBA DISINGKIRKAN


Orang Melayu terus ditekan bertubi tubi sejak kebelakangan ini. Orang Melayu dipanggil rasis apabila mahu mempertahankan hak dan warisan bangsa. Akta dan Perlembagaan yang mempertahan hak orang Melayu turut dikecam dan mahu dihapuskan. Terbaru, terdapat beberapa pihak yang mahu meminda Akta Perakaunan dan membuatkan taraf Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di negara ini menjadi tidak bernilai. Tindakan ini seolah olah mahu menghalang orang Melayu menjadi akauntan.

KUALA LUMPUR - Hasrat kerajaan menghasilkan lebih ramai golongan profesional Melayu dan bumiputera dalam bidang perakaunan dikhuatiri terjejas disebabkan tindakan Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang dikatakan cuba meminda Akta Akauntan 1967.

Pindaan itu akan menyebabkan taraf Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lebih rendah berbanding yang ditawarkan badan profesional di luar negara.

Pengerusi Majlis Dekan-Dekan dan Ketua Jabatan Perakaunan Universiti Tempatan, Profesor Dr. Kamil Md. Idris mendakwa, usaha tersebut turut merendahkan martabat universiti tempatan yang selama ini mematuhi dengan ketat setiap peraturan dikeluarkan Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) dan Standard Pendidikan Antarabangsa (IES).

Dakwa beliau, penyediaan pelan tindakan khas atau 'blue print' bagi meminda akta tersebut bermula selepas badan-badan profesional termasuk dari luar negara yang menjadi anggota MIA dan berorientasikan keuntungan mungkin terjejas akibat ramai pelajar memilih untuk masuk IPTA kerana yurannya yang murah.

Beliau mendakwa, beberapa Ahli Lembaga Pengarah MIA yang berlatar belakangkan kelulusan badan profesional berkenaan telah mengabaikan pandangan daripada wakil IPTA yang mempunyai hak bersuara dalam setiap dasar berhubung pendidikan perakaunan negara.

"Organisasi profesional perakaunan ini rata-rata berteraskan perniagaan. Maksudnya, sesiapa yang mengambil peperiksaan dengan mereka dikenakan yuran yang tinggi dan perlu dibayar mengikut nilai mata wang pound sterling atau kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 untuk menduduki peperiksaan mereka bergantung kepada tahap masing-masing.

"Sedangkan di IPTA, bayaran tahunan kursus perakaunan cuma di antara RM2,000 ke RM3,000 selepas menerima subsidi sehingga RM16,000.

"Maksudnya, ada kemungkinan ini satu strategi perniagaan dengan menggunakan keahlian dalam MIA untuk membantu organisasi profesional. Amat menyedihkan apabila Jawatankuasa Pendidikan dalam MIA yang sepatutnya ada lima wakil IPTA telah dikeluarkan ketika mereka menghasilkan pelan tindakan khas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamil yang juga Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sekiranya usaha MIA itu berjaya, taraf kelulusan siswazah akauntan IPTA berada di kelas kedua dan sesiapa yang masih berhajat untuk menjadi akauntan bertauliah terpaksa mengambil peperiksaan dengan badan-badan profesional berkenaan dengan membayar kos yang terlalu tinggi.

Tegasnya, siswazah IPTA yang paling terkesan dengan penggubalan akta itu adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah menjadi gedung melahirkan akauntan bertauliah dengan jumlah graduan perakaunan sebanyak 1,600 hingga 1,800 orang pada setiap tahun.

"Akta itu adalah kawalan untuk menjadi akauntan bertauliah mesti menjadi ahli MIA. Untuk menjadi ahli kena lulus dengan universiti tempatan atau badan profesional seperti termaktub dalam jadual dalam Akta Akauntan 1967 iaitu senarai universiti dan organisasi yang mendapat pengiktirafan.

"Apa yang berlaku sekarang mereka tidak mahu lagi menggunakan jadual itu dan guna syarat baharu. Maksudnya disebabkan taraf kelayakan di IPTA menjadi rendah, graduan kita terpaksa menempuh dua fasa peperiksaan yang selama ini tidak ada yang turut bererti IPTA seolah-olah tidak ada guna langsung," tegasnya.

Tambah Kamil, meskipun pindaan akta berkenaan belum berjaya, namun pihak-pihak berkepentingan telah mencadangkannya kepada menteri berkaitan sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita juga tidak menghalang sebarang usaha Kementerian Pendidikan tetapi apa yang kerajaan tidak tahu adalah proses itu dibuat secara halus dengan menurunkan taraf ijazah kita," jelasnya. - SUMBER

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Di Atas Pandangan Yang Diberikan