Geng Bas Sekolah

August 14, 2013

ORANG MELAYU DIANIAYA SEHINGGA MATI DI MALAYSIA

Pada awal tahun 2000, Bandar Meru Raya tidak wujud lagi. Ketika itu, jika penulis ingin pulang ke kampung penulis akan menggunakan laluan keluar tol Jelapang ke rumah lama arwah bapa penulis berdekatan dengan Manjoi. Pastinya penulis akan melalui kawasan yang terletaknya Bandar Meru Raya. Oleh kerana bandar Ipoh memerlukan sebuah stesen bas yang lebih baik dan moden, maka projek Bandar Meru Raya telah dibangunkan. Projek ini telah beberapa kali tertangguh atas beberapa faktor.

Penulis yang kerap pulang ke Bandar Meru Raya untuk melawat ibu dan keluarga penulis amat merasai pembangunan pesat Bandar Meru Raya. Sekali lagi, penulis difahamkan Bandar Meru Raya dibangunkan agar berkeupayaan seperti Mini Putrajaya. Dengan kata lain, di sinilah, terletaknya pejabat-pejabat kerajaan.

Apabila sesebuah kawasan dibangunkan, sudah tentu projek perumahan dan pusat beli belah juga dibangunkan. Tidak terkecuali Bandar Meru Raya. Pada awal pembangunan projek perumahan di sini selepas wujudnya Bandar Meru Raya, tiada papan tanda harga rumah. Selepas rumah-rumah tersebut hampir siap barulah papan tanda harga rumah dipacak. Tergamam penulis melihat angka-angka di papan tanda berkenaan! Harga rumah berkembar dua tingkat harga minimumnya adalah RM750,000! Siapakah yang mampu membelinya? Sekiranya kakitangan awam ingin membelinya siapakah mereka ini? Pangkat apa? Penulis amat yakin, pegawai kerajaan berpangkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), Gred C pun akan fikir dua kali untuk membeli rumah berharga RM750,000. Bagaimana pula yang berpangkat rendah?

Sekali lagi penulis berfikir ramai sangatkah orang Melayu yang mampu membeli rumah berharga tersebut? Ramai sangatkah jutawan Melayu di Ipoh? Semua orang mengetahui, Ipoh dikenali sebagai bandar raya yang dikuasai oleh kaum cina. Maklumlah, di sinilah kewujudan bijih timah terawal di Malaysia. Penulis tidak berasakan projek Mini Putrajaya mampu dilaksanakan dengan baik jika penjawat awam tidak mampu membeli rumah di Bandar Meru Raya. Lainlah di Putrajaya, di situ ramai JUSA C ke atas. Di Ipoh beberapa kerat penjawat awam berpangkat JUSA C ke atas?

Rakan penulis yang membeli rumah banglo di Jitra, Kedah dengan harga RM600,000 pun terpaksa membuat pinjaman bersama dengan isterinya. Itu pun gaji dia sahaja berjumlah RM6,000 sebulan dengan sumbangan gaji isteri dalam lingkungan RM7,000, barulah dia berjaya memperoleh pinjaman bersama. Dengan kata lain, dengan pendapatan suami-isteri berjumlah RM13,000 barulah pinjaman bersama diluluskan.

Itu di Jitra, Kedah, bagaimana pula dengan pembelian rumah berharga RM750,000 yang dinyatakan di atas. Harganya berbeza sebanyak RM150,000, maka sudah tentunya hanya yang berpendapatan melebihi RM13,000 mampu membeli rumah tersebut.Boleh dibilang dengan jari penjawat awam yang mempunyai pendapatan melebihi RM13,000 sebulan. Nasib penduduk berpendapatan sederhana dan rendah semakin terhimpit. Untuk mendapatkan gaji melebihi RM13,000, maka penjawat awam s terpaksa menunggu berumur seawal 40 tahun. Itu pun jika bernasib baik dapat kenaikan pangkat sehingga JUSA C.

Itu baru bercakap mengenai penjawat awam, belum lagi menyentuh nasib pekerja swasta dan yang bekerja sendiri. Rakyat sememangnya mahukan projek pembangunan tetapi biarlah ia dalam lingkungan kemampuan rakyat.

Rakyat tidak kisah pun jika tiap-tiap tahun gaji mereka naik seiring dengan harga rumah tetapi apa yang kita lihat sekarang ini bukan hanya di Bandar Meru Raya sahaja, di seluruh Malaysia harga rumah meningkat dengan tidak rasional, menggila dan keterlaluan! - Utusan Malaysia

1 comment:

Anonymous said...

apa lagi najib dengan BN mau? Bangsa sendiri pn tak boleh nak jaga... sudah la tak tahu jaga bini.