Geng Bas Sekolah

March 9, 2015

SELAMATKAN PAHANG


SUDAH lebih empat bulan penduduk tidak henti-henti merungut mengenai pencemaran di sekitar Pelabuhan Kuantan dan Kawasan Perindustrian Gebeng akibat aktiviti perlombongan bauksit.

Meskipun kerajaan negeri campur tangan, masalah itu belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Terbaharu, kira-kira 100 penduduk dari Taman Datuk Rashid, Taman Beserah Permai dan Kampung Jeram di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berkumpul membuat bantahan aman berdekatan tapak perlombongan bauksit di situ, Sabtu lalu bagi meminta pihak berwajib memandang serius masalah berkenaan.

Keresahan mereka mula disuarakan sejak hujung tahun lepas apabila pengusaha giat melakukan kerja-kerja pengeluaran bauksit.

Pergerakan lori membawa muatan sumber mineral itu yang dikeluarkan dari kawasan berhampiran mengakibatkan permukaan jalan bertukar warna kemerah-merahan, berdebu, kotor, menjejaskan kualiti penglihatan, mengotorkan kenderaaan dan dikhuatiri memberi kesan kepada kesihatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Lebih serius, masalah tersebut turut memberi kesan kepada industri pelancongan berikutan sekumpulan pelancong dari China tiba dengan kapal kargo penumpang Beibu Wan Zhi Xing di Pelabuhan Kuantan pada bulan lalu, dilaporkan merungut mengenai keadaan persekitaran pelabuhan itu yang kotor dan tercemar dengan bauksit.

Malah, debu daripada bauksit menggangu kilang-kilang di kawasan perindustrian di Pelabuhan Kuantan dan Gebeng sehingga dikatakan ada pelabur mahu memindahkan kilang mereka dari kawasan perindustrian itu.

Dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan, kerajaan negeri pada awal Februari lepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pengusaha lombong bauksit dan bijih besi. Hasilnya, beberapa ketetapan diambil. Antaranya pengusaha lombong diberi tempoh dua bulan untuk mengosongkan timbunan bauk­sit di kedua-dua kawasan selain membersihkannya daripada masalah debu.

Selepas dua bulan, mereka hanya boleh menyimpan bauksit di sepanjang Jalan Kuantan-Bypass tetapi kawasan penyimpanan tersebut akan ditentukan pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan mestilah berbumbung.

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pula diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan Perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh penguasaha lombong.

Kerajaan negeri juga dilapor mengenakan syarat dan peruntukan undang-undang terhadap pengusaha bauksit yang dikuatkuasakan bermula 1 Mac lepas bagi memastikan kegiatan tersebut tidak menyusahkan orang ramai.

Persoalannya, apakah arahan itu dipatuhi seratus peratus dan sejauh mana keberkesanannya dalam menyelesaikan masalah pencemaran debu yang membelenggu beberapa kawasan di sekitar bandar Kuantan.

Jika amaran, pemantauan, penguatkuasaan dan peluang diberikan untuk memperbaiki keadaan tidak mampu menyelesaikan masalah pencemaran berkenaan, mungkin sudah tiba masanya kerajaan negeri melaksanakan jalan terakhir yang pernah disuarakan mereka sendiri iaitu tidak teragak-agak menghentikan aktiviti perlombongan tersebut.

Kerajaan Pahang tidak akan menanggung kerugian besar sekiranya mengambil tindakan itu kerana pendapatan ro­yalti daripada perlombongan itu hanya RM4 hingga RM5 juta setahun. Jika tidak mahu bertindak demikian, fikirkanlah jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah debu akibat perlombongan bauksit yang kini menjadi isu serius di negeri ini.

Apa yang perlu diberi keutamaan ialah keselesaan penduduk terutama di sepanjang laluan terlibat selain menjaga industri pelancongan dan memastikan kilang-kilang di kawasan perindustrian di Pelabuhan Kuantan serta Gebeng tidak lagi terganggu dengan pencemaran bauksit.

No comments: