Geng Bas Sekolah

October 1, 2014

PENJAWAT AWAM WAJIB BERTAUBAT


MINGGU lalu, akhbar ini melalui ruangan Forum menyiarkan satu aduan mengenai kelewatan pengadu berurusan dengan pejabat kerajaan kerana kakitangan awam yang dipertanggungjawabkan untuk urusan berkenaan keluar minum pagi. Dia diminta datang semula ke pejabat tersebut pukul 10.30 pagi. Waktu dia datang ketika itu dalam sekitar 9.30 pagi.

Sedangkan tiada pun waktu khusus untuk minum pagi atau minum petang untuk kakitangan awam dan begitu juga kebanyakan sektor swasta. Pekerja-pekerja hanya diberi waktu rehat pada pukul 1 tengah hari. Pukul 2 petang perlu menyambung semula kerja, kalau lewat sedikit dimaafkan kerana menunaikan solat Zuhur.

Sebenarnya, akhbar ini sudah banyak menerima aduan seperti ini. Bukan setakat aduan melalui e-mel atau surat, ada yang menelefon pejabat ini marah-marah. Marahkan mutu perkhidmatan terutamanya di kaunter-kaunter.

Dalam banyak keadaan, selalunya ketua jabatan mungkin memberi kelonggaran untuk kakitangan keluar sebentar minum pagi atau petang.

Tetapi itu tidak bermakna memang sudah ditetapkan pada sekian-sekian waktu adalah waktu minum pagi atau petang dan tidak juga bermakna mereka boleh keluar beramai-ramai macam keluar rombongan!

Bagi yang melibatkan kerja yang berurusan dengan orang ramai, mengambil waktu kerja untuk keluar minum adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Ia hanya menyusahkan orang ramai yang hendak berurusan kerana terpaksa menunggu lama sedangkan masa juga amatberharga kepada mereka, banyak perkara-perkara lain lagi yang perlu mereka selesaikan.

Ada yang datang bukan dekat-dekat. Ada yang datang dari luar kawasan Lembah Klang dan dari kampung-kampung sejak awal-awal pagi lagi dengan mengendong anak kecil. Mereka pun belum lagi sempat bersarapan pagi tetapi terpaksa menunggu lama dengan melayan kerenah anak yang dibawa dan dengan perut yang berbunyi kerana kakitangan yang ditugaskan keluar pergi makan.

Perbuatan seperti ini selain menyusahkan orang ramai, sudah tentu menjejaskan imej atau mutu perkhidmatan sesuatu jabatan tersebut. Yang dapat nama buruknya adalah sektor perkhidmatan awam.

Mereka lupa bahawa pentadbiran awam ini adalah cermin kerajaan. Sekiranya nampak buruk atau hodoh perkhidmatan mereka, maka yang yang akan nampak buruknya pada pandangan rakyat, kerajaanlah, bukan individu terbabit.

Sedangkan bukan semua pun yang terlibat. Ramai juga kakitangan awam yang masuk awal dan pulang lewat malam kerana menyiapkan kerja, ada juga yang pada hari Sabtu dan Ahad juga datang menyiapkan kerja tetapi disebabkan beberapa kumpulan kecil yang suka bersidai di kantin atau restoran ini, habis semua dikata curi tulang.

Maka timbullah cakap-cakap, asyik minta naik gaji, bonus dan dapat imbuhan macam-macam tetapi kerja tak seberapa pun. Masuk kerja awal, pagi dan petang hilang, cukup masa balik. Tak boleh kerja lebih masa pun walau seminit. Waktu tutup, tetap tutup.

Bagi sektor swasta pun begitu juga. Apabila kita mahu berurusan melalui kaunter, banyak kaunter tutup terutamanya pada waktu pagi. Sebabnya, mereka ini juga keluar minum pagi.

Kakitangan yang melayan pun ada yang buat acuh tak acuh saja. Kadang-kadang kita boleh dengar dia membebel sendiri atau dengan rakan sekerja sebelah, bila agaknya kawan yang seorang lagi mahu balik dari makan, dia pun lapar hendak makan juga.

Maka terdengarlah kita, cerita-cerita pasal nasi lemak, kuih popiah, roti canai dan banyak lagi bab-bab makan-makan ini disebut-sebut dalam perbualan mereka.

Hal-hal sebegini sebenarnya, tidak eloklah dibualkan ketika melayan pelanggan di kaunter. Fokuslah pada orang yang sedang berurusan dengan kita.

Dan apabila perut kosong, mulalah ada yang buat muka 'kelat'. Suara pun mula meninggi dan hilang sabar apabila pelanggan bertanyakan macam-macam.

Sesuatu yang perlu diingat, orang ramai ini pun bukan suka-suka mahu beratur, mahu ambil angka giliran dan bertanyakan macam-macam di situ. Ini adalah perkhidmatan awam yang ditawarkan. Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu. Bukan berurusan secara on-line. Jadi, janganlah mengharapkan kaunter akan kosong dan tidak banyak kerja pada hari itu.

Lebih memburukkan keadaan, kaunter yang dibuka hanya satu atau dua pada waktu puncak terutamanya pada waktu makan tengah hari, yang selebihnya kosong atau ada petugas duduk di situ, tetapi dia leka di depan komputer bermain 'games' atau melayari Facebook. Yang ini pun ada. Bila ditanya sesuatu, dia akan terus menunjukkan kepada rakannya yang sedang sibuk melayan pelanggan pada kaunter yang dibuka itu. Tidak mahu mengambil tahu langsung apa yang ingin ditanya oleh pelanggan!

Sebenarnya, apa jua yang kita hasilkan dan tunjukkan dalam pekerjaan kita, ia juga mencerminkan keperibadian kita. Apabila kita menganggap kerja itu sebagai 'maruah' kita, apa yang dibuat dan dihasilkan mestilah yang terbaik kerana itu adalah maruah kita . Tidak sesekali dengan membuat kerja sambil lewa atau cincai-boncai.

Dan apabila ada yang cuba membandingkan budi bahasa dan kesungguhan pekerja-pekerja asing di negara ini apabila berhadapan dengan pelanggan di restoran atau stesen minyak dengan orang kita yang bekerja di kaunter, kita pun naik marah kononnya tidak mencapai standard kita. Standard yang macam mana tu? - SUMBER

4 comments:

Anonymous said...

Ingat jika gaji kamu 3 ribu , nilai kerja kamu hanya 1 ribu sahaja , 2 ribu lagi akan ditarik balik oleh yang maha kuasa dengan berbagai cara sehingga anda rasa masih tidak cukup sepanjang masa....

Anonymous said...

Ingat kalau gaji kamu 3 ribu buat kerja setakat nilai 1 ribu sahaja , baki :2 ribu akan ditarik balik oleh tuhan sehingga kamu rasa tak pernah cukup atau ada saja perkara yang kamu lakukan tidak menjadi atau merugikan . Cuba fikir balik...

Anonymous said...

Baru borak ngan kawan fasal kaunter imigreseen di lcct. Masa tu, 2010, balik dr u.k. naik air asia sbb nak cepat.
Sampai kaunter tu, masa nak cop passport, petugas tu bersembang dgn suara kuat dgn kawwan kat 32-3 kaunter sebelahnya. Mata ke lain, tangan mengecop, pom pam.
Beza betul dgn officer kat jeatheow yg ramah mesra. tpi tahun ni, di klia dah okay sikit sbb guna scanner jer. Adik pegawat yang bertugas pon hormat dan membantu bila saya lupa dah guna scanner tu.Pegawai yg baru2 ni ada improvement. Jgn ikut sikap yg lama2 tu dah.

Anonymous said...

CADANGAN MEREKA YANG DAH BOSAN KERJA BERHENTI SAJA RAMAI YANG KAT LUAR BERTAHUN2 MENUNGGU KERJA DARI SPA YANG TAK TAU TENGAH BUAT APA