Geng Bas Sekolah

November 13, 2008

MB Perak arah jurugambar Utusan serah kamera, padam gambar

IPOH 12 Nov. - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin hari ini bertindak di luar dugaan apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam.

Kejadian berlaku semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini apabila jurugambar, Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, merakamkan gambar Mohammad Nizar menerima surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Surat itu disampaikan oleh wakil firma guaman Shafee & Co. menuntut Menteri Besar menarik balik tuduhannya bahawa Mohd. Tajol Rosli terlibat dalam konspirasi politik membabitkan penangkapan dua Exco kerajaan negeri ini oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..".

Selepas meminta Mohd. Najib keluar, Mohammad Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib.

''Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu," katanya.

Mohd. Najib bagaimanapun enggan menyerahkan kad tersebut tetapi bersedia memadamkan gambar yang diambilnya itu di depan Mohammad Nizar.

Bagaimanapun, Menteri Besar itu meminta kamera untuk memastikan gambar- gambar tersebut telah dipadamkan.

Selepas membuat pemeriksaan, beliau menyerahkan kamera itu kepada Setiausaha Akhbarnya, Anuar Hashim bagi membuat pemeriksaan lanjut.

Tidak lama selepas itu, barulah kamera berkenaan diserahkan semula kepada Mohd. Najib.

Mohammad Nizar kemudian bertanya lagi kepada jurugambar itu ''Siapa beri keizinan ambil gambar ini? Awak dari mana?"

Wakil syarikat guaman Shafee & Co. itu kemudiannya diminta menyerahkan surat tuntutan tersebut di pejabat Menteri Besar.

Penyerahan surat tuntutan yang sama juga dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di pejabatnya.

Ekoran peristiwa tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Omar yang kebetulan berada berhampiran dewan makan, membuat bantahan pada sesi sidang DUN.

Raja Ahmad Zainuddin menyatakan beliau kesal dengan kekasaran Menteri Besar itu terhadap jurugambar Utusan yang kemudiannya mencetuskan pertikaman lidah sebelum ditenteramkan oleh Timbalan Speaker, Hee Yit Foong.

1 comment:

Pemuda IKS said...

Salam perjuangan,

Kalaulah ada seorang makcik datang kepada Pemuda IKS ketika sedang menjamu selera di gerai untuk menjual kerepek buatannya sendiri, Pemuda IKS tentu akan melenting. Tetapi caranya biarlah padan. Memandangkan makcik itu individu yang lebih berumur dan niatnya untuk mencari rezeki, Pemuda IKS perlu menghormati makcik itu sebaik mungkin. Jika tidak berminat, pelawaan makcik itu seeloknya ditolak dengan penuh sopan dan berbudi bahasa. Jika ada duit lebih, belilah satu. Membantu bangsa sendiri.

Akan tetapi, tindakan MB Selangor terhadap pihak Utusan dengan cara kurang enak membuatkan Pemuda IKS tertanya. Kenapa pihak Utusan tidak boleh bersabar dan tunggu sehingga MB menghabiskan makanannya? MB tersebut mungkin sensitif dan tidak mahu diganggu ketika itu.

Mungkin MB Selangor anti-Utusan?

"Memperkasa Generasi Baru"

Pergerakan Pemuda
UMNO Cawangan Taman IKS
Bahagian Batu WP

http://pemudaiks.blogspot.com