Geng Bas Sekolah

October 13, 2008

Tabung Azan

UMNO Bahagian Cheras hari ini melancarkan Tabung Azan untuk bersama-sama akhbar Utusan Malaysia memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, kutipan tabung itu akan digunakan untuk membantu mana-mana masjid dan surau membeli peralatan pembesar suara selain keperluan lain yang berkaitan.

Tambahnya, hasil tabung itu juga akan digunakan untuk membantu program melahirkan muazin muda yang dilihat boleh menjadi pelapis kepada golongan berumur di masjid dan surau.

‘‘Kita wujudkan tabung untuk turut membantu Utusan Malaysia yang disaman Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok RM30 juta baru-baru ini.

‘‘Ini pendekatan yang dibuat untuk membantu akhbar orang Melayu. Semua pihak seharusnya tidak mempertikaikan, malah menghormati perbezaan agama masing-masing.

‘‘Kita terpanggil apabila timbul isu ini. Tindakan Teresa yang mengambil tindakan kepada Utusan Malaysia sama seperti dia menyaman agama Islam,” ujarnya.

Semalam, Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Alhabshee mencadangkan penubuhan Tabung Menyelamat Utusan dan menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bersatu untuk mempertahankan syarikat Utusan Melayu dengan memberi sokongan kepada tabung itu.

Menurut Syed Hussein, akhbar Utusan Malaysia merupakan satu-satunya wadah orang Melayu yang telah terbukti membela dan mempertahankan kaum itu sejak dahulu hingga kini.


No comments: