Geng Bas Sekolah

October 25, 2008

Sultan Pahang seru rakyat belanja berhemat


Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru rakyat negeri ini mengamalkan perbelanjaan berhemat berikutan keadaan semasa ekonomi negara yang tidak menentu.

Baginda bertitah, bermula kenaikan petrol dan diesel pada Jun lalu, rakyat kemudian dibebankan dengan harga barangan keperluan yang naik mendadak, sekali gus menuntut mereka supaya bijak mengatur kewangan.

Bagaimanapun titah baginda, keadaan ekonomi negara yang tidak menentu bukan bermakna rakyat tidak perlu berbelanja langsung, sebaliknya harus bijak merancang perbelanjaan dengan mendahulukan perkara yang penting.

''Jangan pula langsung tidak berbelanja, kerana ia boleh memberi kesan kepada ekonomi negara, dengan berbelanja secara berjimat cermat, rakyat juga sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada negeri dan negara," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian pada istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran sempena hari keputeraan baginda ke-78 di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Cik Puan Muda Pahang, Cik Julita Aishah Abdul Latif.

Pada majlis itu, anakanda baginda, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muadzam Sultan Ahmad Shah mengetuai senarai penerima dengan anugerah Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK).

Sementara itu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing menerima gelaran Datuk Seri melalui pingat Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Dalam titahnya, baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak membantu kerajaan negeri dalam pembangunan termasuk di kawasan pedalaman.

Baginda juga berpuas hati dengan Tengku Mahkota yang berjaya melaksanakan tugas sebagai Pemangku Raja sepanjang ketiadaan baginda di negara ini baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam ucapan taat setianya berkata, kerajaan negeri akan meneruskan skim bantuan kebajikan dan pendidikan bagi meringankan beban masyarakat ekoran ketidaktentuan ekonomi pada masa ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan berusaha menguruskan pentadbiran negeri dengan lancar bagi mengelak pelbagai masalah timbul termasuk dari segi politik, ekonomi, sosial dan undang-undang.

Adnan turut berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana telah menyumbang zakat berjumlah RM5.24 juta tahun ini kepada Pahang untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

No comments: