Geng Bas Sekolah

October 5, 2008

Pemuda perlu berani

Dr. Mohamad Khir dan Ahmad Zahidi sependapat bahawa Pemuda perlu diberi nafas baru bagi memastikan ia berupaya menarik sokongan golongan muda. Ini kerana pada pandangan mereka, UMNO dan BN akan terus ditolak oleh kelompok tersebut jika tiada sesuatu dilakukan.

Justeru Dr. Mohamad Khir masuk ke gelanggang dengan ‘tag line’ Pemuda Berani manakala Ahmad Zahidi dengan membawa Perjuangan rakyat. Bagi Dr. Mohamad Khir `tag line’ yang dibawa bertujuan untuk memastikan Pemuda benar-benar berani menjadi kumpulan pejuang yang bersedia berhadapan dengan apa juga situasi, mereka bukan sahaja perlu bersuara malah bersedia menerima kritikan demi kebaikan parti. Ahmad Zahidi pula ingin memastikan Pemuda tidak hanya dikuasai oleh kelompok tertentu tetapi benar-benar membawa suara rakyat.

MINGGUAN: Kenapa Datuk Seri bertanding Ketua Pemuda?

DR. MOHAMAD KHIR: Sebab utama ialah saya melihat sebahagian generasi muda semakin menjauhkan diri daripada UMNO. Ketika krisis dalaman UMNO pada 1999, ramai pengundi muda meninggalkan UMNO dan mereka ini tidak kembali sepenuhnya pada 2004. Keadaan menjadi serius apabila jumlah pengundi muda yang berdaftar pada 2008 semakin bertambah ramai dan majoritinya berpihak kepada parti lawan.

Dalam pilihan raya lalu, kekuatan kita hanya pada saluran 1 dan 2 iaitu saluran mereka yang berumur 45 tahun ke atas. Manakala saluran 3, 4 dan 5 kita menghadapi masalah jurang sokongan yang agak besar. Di banyak tempat kita kalah kerana perbezaan sokongan yang amat besar di saluran 3, 4 dan 5 ini.

Ini jelas membuktikan bahawa ‘saham’ UMNO dan BN dalam pilihan raya umum kian berkurangan. Pada 2013 kita mungkin semakin hilang sokongan di saluran ini dan juga saluran enam yang mendaftar para pengundi muda baru. Inilah sebab saya melihat jika kita mahu mengukuhkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN), peranan Pemuda perlu diberi nafas baru.

Pengalaman saya bersama Pemuda UMNO, Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Asia serta pengalaman sebagai orang muda yang mentadbir negeri Selangor selama lapan tahun akan membolehkan saya membawa perspektif baru dalam menarik sokongan generasi muda kepada parti.

Mungkin ada pihak yang akan bertanya kenapa Datuk Seri tidak menumpukan perhatian untuk merampas kembali Selangor?

DR. MOHAMAD KHIR: Sebagai Ketua Pembangkang peranan saya terhad kepada menjadi pengawas dan pemantau kepada dasar dan keputusan kerajaan negeri. Saya tidak menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri atau Pengerusi BN Selangor. Namun ini tidak bermakna saya lepas tangan. Sebaliknya saya akan membantu Tan Sri Muhammad Muhd.Taib atau sesiapa sahaja Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bagi merampas kembali Selangor. Saya juga melihat jika dipilih mengetuai Pemuda, ia akan membantu memberi lebih kekuatan kepada UMNO Selangor. Seseorang Ketua Pemuda UMNO akan mempunyai sepasukan jentera yang besar untuk membantu parti baik di Selangor mahu pun di seluruh negara.

Sokongan generasi muda di bandar-bandar terutama di Lembah Klang kepada UMNO agak tidak memberangsangkan. Sebahagian mereka yang tinggal di Lembah Klang bukan sahaja pulang mengundi pembangkang, malah turut mempengaruhi golongan di kampung agar menjauhi UMNO dan BN. Sebab itu saya percaya, Pemuda UMNO di Lembah Klang, terutamanya Selangor perlu diberi lebih kekuatan untuk bekerja keras memulihkan sokongan ini.

Jika kita berjaya menarik kembali sokongan generasi muda yang tinggal di bandar, ia akan menjadi seperti satu teori domino baru yang menjadi landasan kebangkitan UMNO apatah lagi generasi muda akan membentuk lebih 60 peratus jumlah pengundi pada masa akan datang.

Apakah signifikan di sebalik Datuk Seri memilih tagline “Pemuda Berani”?

DR.MOHAMAD KHIR: Saya membawa slogan “Pemuda Berani” ini sejak lima bulan lalu. Bagi saya Pemuda perlu berani bersuara mengkritik dan mendesak kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang dijanjikan serta berani mengemukakan idea baru bagi meningkatkan kehidupan rakyat. ‘Tag line’ itu juga bermakna Pemuda bersedia berhadapan dengan pembangkang mahu pun badan bukan kerajaan untuk berdialog, berbahas dan berdebat dalam sesuatu isu. Selain itu di dalam Pergerakan Pemuda sendiri kita harus menggalakkan pemimpin Pemuda di semua peringkat mengkritik serta bertanya soalan-soalan yang sensitif dan kritis.

Setiap kali saya bertemu dengan akar umbi UMNO, saya akan membuka sesi soal jawab dan kritikan. Kaedah ini amat menarik perhatian Pemuda di peringkat cawangan. Mereka merasakan pandangan dan peranan mereka lebih dihargai. Sebagai pemimpin Pemuda kita harus berani berhadapan dengan kritikan di bawah bukannya menutup sebarang kritikan dan pandangan yang kritis.

Adakah dengan memilih ‘tag line’ tersebut ia bermaksud selama ini Pemuda tidak begitu ke depan dalam memperjuangkan sesuatu isu ?

DR.MOHAMAD KHIR: Pemuda UMNO di bawah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein banyak memperjuangkan isu-isu rakyat. Namun ia tidak nampak ke hadapan kerana ia mempunyai saluran di dalam kabinet. Hishammuddin bercakap di dalam Kabinet tetapi Pemuda dan rakyat di bawah tidak tahu. Jadi kita perlu mencari satu kaedah agar suara Pemuda bukan sahaja berjaya mempengaruhi kerajaan tetapi juga diketahui rakyat. Pemuda UMNO harus menjadi juru bicara rakyat dan parti bukannya kerajaan.

Apa agenda Datuk Seri bagi memastikan generasi muda Melayu menyokong UMNO?

DR. MOHAMAD KHIR: Generasi muda menjauhi UMNO kerana sifat orang muda yang idealis, suka kepada perjuangan dan sebahagiannya gembira menjadi anti establishment. Untuk menarik kembali golongan muda kepada UMNO, Pemuda harus menonjolkan idealisme tersendiri dan dilihat bernafas pejuang dalam mempertahankan isu-isu rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan kesihatan. Pemuda tidak lagi boleh dilihat sekadar menjadi pahlawan parti atau kerajaan, tetapi harus menjadi pahlawan agama, bangsa, negara dan rakyat.

Generasi muda juga mahukan satu bentuk penyertaan dalam demokrasi yang lebih luas. Justeru Pemuda harus mencari jalan untuk meluaskan ruang demokrasi di dalam sayap Pemuda sendiri. Insya allah jika diberi kepercayaan beberapa perkara di dalam pergerakan ini akan saya ubah. Sebenarnya, sudah tiba masanya kita memberi kuasa memilih yang lebih luas kepada ahli-ahli Pemuda. Misalnya, mana-mana Ketua Pemuda yang mahu mempertahankan jawatan bagi penggal ketiga harus mendapat sokongan dua pertiga cawangan di seluruh negara sebelum mereka layak menerima pencalonan dari bahagian. Sistem Kuota juga harus dihapuskan atau dipermudahkan.

Malahan saya berharap suatu ketika nanti kempen Ketua Pemuda UMNO boleh dibuat seperti di Amerika Syarikat, di mana setiap calon Ketua Pemuda akan diberi peluang berucap, berbahas dan ditanya soalan oleh perwakilan di setiap negeri. Ini bukan sahaja akan menarik minat generasi muda malah akan menonjolkan calon terbaik untuk menjawat jawatan Ketua Pemuda.

Bagaimana pula dengan usaha untuk mendapatkan kembali sokongan golongan muda kepada BN?

DR. MOHAMAD KHIR: Saya percaya dengan mengukuhkan Pemuda UMNO ia sedikit sebanyak akan mengukuhkan Pemuda BN. Sokongan kaum-kaum lain terhadap BN bergantung kepada kemampuan Ketua-Ketua Pemuda parti komponen melahirkan idealisme mereka tersendiri. Selain itu sokongan generasi muda terhadap BN juga banyak bergantung kepada sejauh mana mereka menerima dasar-dasar kerajaan. Jika Pemuda BN boleh memainkan peranan dalam membantu kerajaan membentuk polisi yang menarik sokongan generasi muda, saya fikir sokongan pengundi muda akan kembali kepada BN.

Selain itu, saya melihat hubungan pemuda-pemuda dalam BN harus melangkaui pucuk pimpinan Pemuda sahaja. Jika kita mula bekerjasama rapat di peringkat cawangan, maka jentera Pemuda BN akan bertambah erat . Selain itu Pemuda BN juga harus bersedia berdialog dengan generasi muda dalam isu antara kaum, antara agama dan isu-isu semasa kerana ia akan menjadi langkah awal menarik sokongan generasi muda kepada BN.

Dalam soal agenda Melayu, apakah yang Datuk Seri akan perjuangkan?

DR. MOHAMAD KHIR: Agenda Melayu itu sudah ada di dalam kerajaan dan parti. Dari soal kemiskinan, pendidikan, agama dan ekonomi ia sudah menjadi sebahagian polisi kerajaan. Apa yang penting ialah bagaimana Pemuda UMNO boleh menjadi satu golongan pendesak yang memastikan soal pelaksanaan atau implementasi tidak bocor, gagal atau terlalu perlahan sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu dan ketidakadilan sosial.

Agenda Melayu hari ini tidak lagi boleh dilihat dari sudut pemilikan saham atau kek ekonomi semata-mata. Kita juga harus melihat soal agenda Melayu dalam melahirkan Melayu yang mempunyai wibawa intelektual, daya juang dan daya saing yang tinggi serta Melayu yang boleh “ditolak ke tengah dan ke tepi.”

Datuk Seri pernah membuat kenyataan bahawa tidak akan memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan jika dipilih menjadi Ketua Pemuda?

DR. MOHAMAD KHIR: Sebelum pilihan raya umum akan datang, saya lihat kita tidak ada banyak masa untuk memulihkan sokongan generasi muda terhadap UMNO. Ketua Pemuda yang baru hanya mempunyai masa tidak lebih dari tiga tahun untuk memulihkan sokongan.

Banyak masa dan tenaga perlu dikorbankan untuk menjalankan kerja-kerja di bawah. Ini tidak mungkin dapat dilakukan jika saya memegang jawatan kabinet. Memang benar tanpa jawatan Menteri mungkin ia akan memberi kesan kepada kedudukan politik saya pada masa akan datang. Namun bagi saya kita semua perlu berkorban dalam masa yang genting sebegini.

Masa depan parti bergantung kepada sejauh mana kita mampu memulih sokongan generasi muda. Apa guna saya jadi menteri hari ini tetapi parti kalah dalam pilihan raya akan datang? Ini masa untuk kita semua mengorbankan masa, harta benda dan kepentingan diri bagi memulihkan parti. Saya faham ada juga yang khuatir tanpa jawatan menteri sukar untuk Pemuda UMNO mendapat dana. Akan ada kekhuatiran pemuda di bahagian-bahagian juga akan kekurangan dana untuk aktiviti.

Insya allah, percayalah dengan pengalaman mentadbir negeri, bertanding dalam pilihan raya dalam keadaan serba kekurangan pada 1999 dan memegang jawatan dalam parti dari Ketua Pemuda cawangan, Ketua Pemuda Bahagian, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Bahagian, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya boleh beri keyakinan bahawa tanpa jawatan Menteri pun saya akan mampu membantu Pemuda di bahagian dan cawangan.

Saya juga percaya sungguhpun tidak menjadi menteri, namun menteri-menteri UMNO yang lain pasti akan membantu memberi kekuatan kepada Pemuda UMNO. Mereka juga sedar bahawa jawatan mereka bergantung kepada kekuatan parti. Jika mereka tidak membantu memperkuatkan Pemuda UMNO untuk memperkuatkan parti, jawatan mereka juga tidak akan kekal bila parti kalah dalam pilihan raya.

Apakah pesanan Datuk Seri terhadap ahli-ahli Pemuda?

DR.MOHAMAD KHIR: Dengarlah pandangan semua pihak yang bertanding, nilaikan perjuangan yang dibawa, buatlah pertimbangan dan mintalah petunjuk Ilahi. Pilihlah calon yang mampu memberi satu nilai kepimpinan Melayu dan Islam yang boleh mengukuhkan Pemuda dan parti; dihormati oleh kawan, digeruni oleh lawan.

Dipetik dari utusan malaysia

No comments: