Geng Bas Sekolah

October 22, 2008

Nik Aziz semakin sihat

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis ini bagi membentangkan Bajet 2009 jika kesihatannya beransur pulih.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau semakin sihat setelah menerima rawatan daripada doktor pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini dan mendapat rehat secukupnya sejak dimasukkan ke wad Sabtu lalu.

Rawatan yang dijalankan termasuklah senaman bagi merangsang otot kakinya berfungsi dengan baik agar dapat berjalan tanpa sokongan tongkat.

"Tempurung lutut kaki kiri saya bermasalah, macam tak berfungsi 'molek' (baik), bila gerak laju, bergegar, jadi sakit.

"Saya ada rasa ringan (sihat) sikit dari semalam, harap dapat hadir sidang DUN Khamis ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HUSM di sini hari ini.

Terdahulu, Nik Abdul Aziz menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang juga Ketua Pembangkang; ADUN Pengkalan Kubor, Datuk Norzahidi Omar dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Dalam pertemuan itu, Md. Alwi turut berkongsi pengalamannya mengenai penyakit yang dihidapi yang hampir sama dengan Nik Abdul Aziz.

Menurut Nik Abdul Aziz, penyakit saraf yang dihadapinya itu berpunca kepada kecederaan yang dihadapi ketika mudanya akibat terjatuh semasa menunggang kuda dan kesakitannya dirasai sehingga kini.

Beliau memberitahu, kesakitan itu dirasai sewaktu pulang daripada menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di Kuala Terengganu yang berakhir Khamis lalu.

"Bila kereta gerak laju, lutut jadi sakit semacam, kalau ikut sidang DUN, saya kena banyak gerak, naik tangga, takut tak larat nak buat semua itu nanti," jelasnya.

1 comment:

. said...

Saudara,

saya dah masukkan blog saudara dlm blogroll saya (25 posting terkini). teruskan perjuangan!