Geng Bas Sekolah

October 13, 2008

Guna tulisan jawi di plaza tol PLUS dipuji

Langkah Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang meletakkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dalam tulisan jawi di plaza-plaza tolnya di seluruh negara perlu dikekalkan.

Pejuang bahasa Melayu, Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, langkah PLUS yang memilih tulisan jawi untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengguna lebuh raya patut dipuji.

''Tulisan jawi patut diperluaskan penggunaannya pada papan tanda yang terdapat di sepanjang lebuh raya PLUS,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abdul Latiff, plaza tol merupakan lokasi yang paling sesuai untuk mempromosikan tulisan jawi kerana lebuh raya digunakan oleh ribuan pengguna setiap hari.

''Langkah PLUS juga wajar dicontohi oleh syarikat korporat lain kerana ia membantu mengekalkan warisan Melayu yang semakin kurang digunakan.

''Lokasi lain yang patut menggunakan tulisan jawi ialah laluan Touch n Go iaitu menggunakan tulisan jawi yang menyatakan Sentuh dan Lalu,'' jelasnya.

Kata Abdul Latiff, tulisan jawi tidak harus dipinggirkan dalam kemajuan penggunaan teknologi.

''Sebaliknya tulisan jawi harus dikekalkan dan digunakan seiring dengan pembangunan dan kemajuan bagi mengekalkan jati diri dan warisan Melayu,'' jelasnya.

No comments: