Geng Bas Sekolah

September 12, 2008

Raja Petra Ditahan

Blogger Raja Petra Kamaruddin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) kerana didakwa boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Raja Petra ditahan mengikut Seksyen 731 ISA yang membenarkan penahanan sehingga 60 hari.

"Polis akan membuat penilaian dalam tempoh tersebut dan jika mereka merasakan beliau perlu ditahan lebih 60 hari, maka polis akan merujuk kepada saya," katanya seperti yang dipetik oleh The Star. Bernama pula memetik Syed Hamid sebagai berkata, tindakan itu diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW).

Menurut isteri Raja Petra - Marina Lee Abdullah - 10 anggota polis datang ke rumah mereka di Sungai Buluh pada kira-kira jam 1.10 tengahari tadi untuk menahannya. Pada 6 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor lamanweb Malaysia Today itu mungkin dikenakan ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu. Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.

Raja Petra, yang popular dengan panggilan RPK, juga didakwa telah membenarkan komen-komen disiarkan dalam lamanwebnya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad, dalam artikel bertajuk "Not all Arabs are descendants of the Prophet". Kali pertama, beliau ditangkap di bawah ISA pada 11 April 2001 ketika gerakan reformasi di mana sembilan orang telah ditahan. Pada masa itu, beliau merupakan webmaster lamanweb FreeAnwar.com ketika itu.

Raja Petra dibebaskan selepas ditahan selama 52 hari. Bagaimanapun, enam daripada pemimpin reformasi itu dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping di mana mereka ditahan selama dua tahun.Sebelum ini, Raja Petra telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan memfitnah selepas mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

No comments: