Geng Bas Sekolah

December 22, 2007

Jangan jadikan alam kehidupan suatu bencana

TELAH timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (ar-Rum: 41)

Huraian

Dalam ayat ini Allah s.w.t.menjelaskan bahawa kerosakan di bumi ini tidak berlaku dengan begitu sahaja tetapi ianya terjadi berpunca dari tindak tanduk dan perbuatan manusia. Sikap rakus manusia ini telah menjadi kebimbangan para malaikat semasa proses penciptaan manusia pertama oleh Allah s.w.t.. Kebimbangan para malaikat ini menjadi nyata apabila kehidupan manusia penuh dengan pertelingkahan, pertumpahan darah dan kebinasaan. Sememangnya Allah lebih mengetahui matlamat kejadian manusia ini lebih-lebih lagi sikap manusia itu sendiri.

Disebabkan tiada pedoman dan peraturan hidup, sesetengah manusia sanggup mengenepikan hukum Allah dan hukum alam sehingga menjejaskan sistem alam itu sendiri. Sebagai contoh bukit-bukit yang memberikan sumber air dan rezeki telah digondolkan semata-mata untuk mengaut keuntungan segera hasil balaknya, pembinaan projek-projek perumahan dan kilang-kilang. Begitu juga lautan dicemari dengan sisa toksin dan tumpahan minyak merosakkan khazanah laut seperti ikan, batu karang dan sebagainya. Ini semua berlaku atas alasan pembangunan.

Hasilnya manusia sendiri yang menerima akibat dari perbuatan tangan-tangan mereka. Banjir lumpur dan banjir kilat yang berlaku berpunca dari saluran air yang tersumbat dan sistem perparitan yang tidak sempurna mengakibatkan berlakunya banjir besar. Hidupan laut yang menjadi punca rezeki manusia berkurangan kerana kerakusan manusia itu sendiri dan pencemaran yang disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia.

Kesimpulan

Kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini akibat tindak tanduk dan kegelojohan manusia. Oleh sebab itu kita hendaklah merancang pembangunan mengikut peraturan dan tidak bercanggah dengan tabie alam. Pembangunan boleh dilakukan asalkan tidak menjejaskan sistem ekologi yang sangat penting bagi kestabilan alam. Jika kita tersilap langkah dalam merancang pembangunan, kembalilah kepada matlamat asal manusia dijadikan iaitu untuk memakmurkan alam ini mengikut prinsip yang digariskan oleh Allah s.w.t..

No comments: