Geng Bas Sekolah

December 5, 2007

Air suci perangkap pengikut - Ajaran Tok Hassan

CHUKAI: Ketua ajaran sesat dikenali sebagai Tok Hassan dipercayai menggunakan ‘air suci’ bagi memerangkap pengikutnya, selain mendakwa dirinya ‘bapa petala jin’ yang kekuasaannya tidak mampu digugat sesiapa.

Malah, Tok Hassan berusia 50-an juga dikatakan menggunakan ‘air hikmat’ itu bagi melemah dan menundukkan pengikut supaya taat dan taksub terhadap ajaran sesat dibawanya.Bukan itu saja, Tok Hassan dikatakan menggunakan kekuatan puluhan pengikutnya untuk menentang dan membelasah mereka yang cuba menentang ajaran sesat dibawanya, termasuk anak saudara yang dibelasah baru-baru ini, kerana mempertikaikan ajaran sesat dibawanya.

Kegiatan itu didedahkan kakak ketua ajaran sesat itu, Zaiton Mohd, 55, dari Kampung Jakar, yang mendakwa Tok Hassan mempelajari ilmu sesat itu daripada seorang guru misteri dipercayai dari negara jiran.

Menurutnya, dia pernah diberitahu bekas pengikut Tok Hassan, ketua ajaran sesat itu memiliki air suci yang boleh menundukkan pengikutnya

“Air suci itu, kononnya seperti air zam-zam yang mempunyai kelebihan dan setiap pengikut Tok Hassan diwajibkan meminum air itu jika ingin menjadi anggota.

“Malah, mereka yang meminum air berkenaan boleh terpukau dan tunduk serta mengiakan semua kata-kata Tok Hassan, walaupun apa yang diperkatakan tidak boleh diterima Islam dan akal manusia,” katanya.

Muka depan Harian Metro 28 November lalu melaporkan seorang ketua ajaran sesat bukan saja mendakwa pernah bertungkus-lumus menahan tiang ‘Arasy’ daripada runtuh bagi mengelak dunia kiamat, malah menyifatkan dirinya lebih mulia daripada Imam Mahadi.

Zaiton berkata, pengikut yang meminum air itu akan menuruti kata-kata Tok Hassan, malah sanggup mengeluarkan wang dan menjual harta benda untuk diserahkan kepada lelaki itu.

Bagi pengikut perempuan yang terminum air suci itu, Zaiton berkata, sanggup menyerahkan tubuh, kononnya mereka sudah melakukan pernikahan batin yang dituntut ajaran yang dipelajari.

“Tok Hassan juga mendakwa ibadat haji dan umrah boleh dilakukan di Kemaman.“Malah, ketua ajaran sesat itu mendakwa di rumahnya ada Kaabah dan tak perlu ke Makkah untuk tawaf,” katanya yang tidak menyangka adiknya yang bijak dan cepat mengaji al-Quran serta kuat beribadat boleh membawa ajaran yang menyesatkan.

Bagaimanapun, katanya, adiknya mula berubah sikap menjadi pemarah dan sering bergaduh dengan ahli keluarga selepas menuntut ilmu daripada guru misteri terbabit.

“Biasanya, dia akan ke hutan dan bertapa, selepas itu dia akan pulang dan mengumpulkan pengikutnya untuk diturunkan ilmu baru diperolehnya,” katanya.

“Sehingga kini, tiga adik-beradik dan seorang anak saudara sudah menjadi pengikut setia Tok Hassan dan bimbang lebih ramai yang rosak akidah jika kegiatan sesat ini dibiarkan,” katanya.


Abang kandung Tok Hassan, Ibrahim 62, dari Kampung Tempurung, mendakwa ketua ajaran sesat itu pernah berpesan kepada dia sekeluarga supaya tidak mengkafan dan menyembahyangkan jenazahnya jika dia meninggal dunia, tetapi cukup dengan menanamnya saja.

“Saya mendapati, ajaran Tok Hassan menyimpang jauh daripada al-Quran dan Sunnah dan berharap pihak berkuasa mematahkan niat Hassan yang sebelum ini mahu mempengaruhi lebih ramai umat Islam mengikut ajarannya.

“Saya berharap adik beradik yang menjadi pengikut Tok Hassan dapat dibawa kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Seorang lagi adik Tok Hassan, Zabidah, 47, dari Kampung Besut, mendakwa ajaran dibawa abangnya memang sesat dan perlu ditentang habis-habisan bagi mengelak lebih ramai yang terpengaruh dan terpesong akidah.

No comments: