Geng Bas Sekolah

November 28, 2007

Lambaian terakhir Siti Salmah tidak dilupakan



JOHOR BAHRU 27 Nov. – Ibu Siti Salmah Jasni, Sabariah Mustafa, 49, berkata, lambaian terakhir anaknya itu semasa disorong masuk ke bilik pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 1 pagi 1 November lalu tidak mungkin akan dilupakannya.



Katanya, walaupun Allahyarham merupakan seorang anak yang manja tetapi raut wajah ketika itu menunjukkan semangatnya cukup kuat untuk sembuh dan boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.



Malah, katanya, Allahyarham memintanya supaya jangan menangis dan mendoakannya supaya sembuh seperti pesakit jantung, Tee Hui Yee yang menjalani pembedahan pemindahan jantung sebelum itu.



“Ini (pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru) adalah permintaan Salmah dan kami yakin pembedahan ini berjaya.



“Apabila ada penderma mahu mendermakan jantung dan paru-paru kepada Siti Salmah, ia memberi harapan kepada anak kami,” katanya.



Sabariah berkata, dia reda dengan pemergian Siti Salmah tetapi apa yang dikesalkan ialah beg tangannya diragut semasa ke Pandan Indah, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.



Di dalam beg itu, katanya, terdapat kenangan arwah seperti rantainya, telefon bimbitnya dan kad pengenalannya,” katanya.



Sementara itu, hasrat Allahyarham untuk berlari bersama sepupu sebayanya, Siti Nur Azah Abd. Jalil tidak kesampaian berikutan pemergiannya awal pagi ini.



Katanya, andai kata Siti Salmah masih hidup sekalipun, hasrat itu sukar terlaksana kerana kedua-dua belah kaki Allahyarham telah dipotong dalam usaha menyelamatkan nyawanya.
Siti Nur Azah ketika ditemui di Felda Taib Andak, Kulai, dekat sini selepas majlis pengebumian Siti Salmah berkata, dia amat terasa kehilangan sepupunya itu.



“Hubungan kami amat rapat bahkan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, arwah pernah meminta saya tidur bersamanya di rumah nenek di sini tetapi permintaannya itu terpaksa saya tolak kerana saya perlu ke kolej pada keesokan harinya,” kata pelajar Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak, Muar.



Beliau berkata, keceriaan Siti Salmah yang pemurah dengan senyum dan tawa akan sentiasa


dirindui.
Siti Nur Zulaikha, 16, adik Siti Salmah yang paling rapat dan sentiasa membantunya seperti memandikan dan memakaikan bajunya jika Allahyarham tidak terdaya berkata, dia pasti merindui kakaknya itu.



“Dia kakak yang amat saya sayangi. Dia seorang yang periang dan jenakanya sering membuatkan saya ketawa,” katanya.



Zulaikha mengakui menyimpan rahsia peribadi Allahyarham iaitu kakaknya itu mempunyai teman lelaki istimewa.



Katanya, teman lelaki kakaknya itu berusia 20 tahun, telah bekerja dan mereka berkenalan sejak Julai lalu.



“Setiap kali kalau mereka keluar bersiar-siar, saya akan menemani kerana Salmah (Allahyarham) tidak pernah keluar berdua-duaan dengan teman istimewanya,” katanya.
Bapa Allahyarham Siti Salmah, Jasni Zainal, 52, berkata, Siti Salmah pernah berkata yang dia akan menjadi seorang yang glamor (masyhur).



“Ayah, adik akan jadi orang yang paling glamor dan kata-kata itu diucapkannya sebelum dia masuk menjalani pembedahan pemindahan dua organ serentak awal bulan ini,” katanya.
Beliau berkata, pada ketika itu, dia tidak memahami maksud kata-kata anaknya itu tetapi ia mungkin bermaksud pemergiannya hari ini akan mendapat liputan media.



Kakak sulung Allahyarham, Sabrina, 28, berkata, kematian adiknya itu memang tidak dijangkakan kerana selepas menjalani pembedahan, adiknya telah menunjukkan tindak balas yang positif.



Sementara itu, abang ipar Allahyarham yang merupakan suami Sabrina, Hamizi Wan, 26, berkata, mereka suami isteri menerima panggilan mengenai kematian Siti Salmah pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.

No comments: