Geng Bas Sekolah

November 28, 2007

Ilmu sesat Tok Hassan

KUALA TERENGGANU: Seorang ketua ajaran sesat bukan saja mendakwa pernah bertungkus-lumus menahan tiang ‘Arasy’ daripada runtuh bagi mengelakkan dunia kiamat, tetapi juga menyifatkan dirinya lebih mulia daripada Imam Mahadi.

Dengan menamakan amalannya ‘Ajaran Hassan’, lelaki lingkungan 50-an terbabit yang lebih dikenali Tok Hassan turut mendakwa pernah berdialog dengan Allah dan Nabi Muhammad.Dia juga mendakwa Nabi Muhammad pembohong kerana membawa ajaran menyesatkan umat Islam.

Tok Hassan yang tinggal di kawasan terpencil, juga dikatakan memiliki ‘nafsu haiwan’ apabila menggunakan ‘pernikahan batin’ untuk melayan nafsu serakahnya dengan pengikut wanita.

Selain itu, dia menjadikan Mat Rempit sebagai sasaran kononnya untuk pemulihan sebelum akidah mereka dipesongkan dengan kaedah ‘ilmu hitam’.

Ketua ajaran terbabit juga mendakwa solat, puasa, zakat dan haji boleh dilakukan dengan niat dan hingga kini, sudah memerangkap puluhan pengikut lelaki dan perempuan, termasuk golongan profesional.

Malah, ajaran yang dikatakan mirip ajaran ketua ajaran sesat Ariffin Mohamad atau Ayah Pin itu dikatakan bertapak sejak 20 tahun lalu dan kini mengembangkan sayap ke Endau dan Mersing, Johor.

Pada Ramadan lalu, Tok Hassan dan dua pengikutnya sempat memberi ceramah berkaitan akidah sambil menghisap rokok.

Pegangan sesat Tok Hassan didedahkan anak saudaranya, Muhammad Fauzi Mustafa, 40, dari Semenyih, Selangor, kepada Harian Metro semalam selepas mendakwa ibunya dilarikan pengikut ketua ajaran sesat itu.

Malah, kata Muhammad Fauzi, dia juga dibelasah hingga cedera di hidung dan mata oleh bapa saudaranya itu ketika bertikam lidah mengenai isu ketuhanan pada hari raya keempat lalu. Dia kemudian ke Hospital Kemaman (HK) bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Daerah Kemaman dan Pejabat Agama Islam Daerah bagi mengadu mengenai kejadian itu.

“Lebih membimbangkan saya, ibu masih dalam ‘genggaman’ Tok Hassan di markasnya berhampiran Bukit Anak Dara, Kijal dan saya dihalang berjumpanya,” katanya.Sebelum kejadian, menurutnya, dia pernah mengikut ibu ke markas lelaki terbabit bagi menyiasat ajaran pelik diamalkan di tempat itu.

Dia terpaksa ‘menculik’ ibunya dari markas itu untuk ‘dipulihkan’ hingga ibunya menunjukkan perubahan selepas sebulan berubat di Gombak, Selangor.“Saya bersyukur ketika itu ibu kembali ke pangkal jalan dan sudah mendirikan solat serta mengaji al-Quran.“Tetapi, tidak lama selepas itu, ibu dilarikan semula pengikut Tok Hassan ketika pulang semula ke kampung di Kemaman.

“Melalui SMS, Tok Hassan mencabar saya mengambil ibu di markasnya,” katanya yang mendakwa ketua ajaran sesat itu menggunakan ilmu hitam untuk memerangkap pengikutnya. Muhammad Fauzi berkata, dia berharap ibunya dapat diselamatkan kembali bagi mengelak terus disesatkan. Bagi mengelak kegiatan itu berterusan, katanya, dia sudah menyiapkan beberapa pengakuan daripada ahli keluarga bekas pengikut Tok Hassan untuk dihantar kepada Jabatan Agama Islam negeri.

Sementara itu, seorang ustaz yang mahu dikenali Man, mengatakan dia pernah diherdik pengikut Tok Hassan ketika dalam perjalanan ke surau untuk mendirikan solat.Menurutnya, perlakuan pengikut terbabit seolah-olah mempermainkan hukum Allah selain memperlekehkan solat dan ajaran dibawa Nabi Muhammad.

“Pengikut ajaran itu seakan-akan mendabik dada memperlihatkan ajaran sesat mereka di khalayak ramai, tanpa dikenakan sebarang hukuman.“Saya bimbang jika ajaran itu dibiarkan, ia akan berkembang dan mampu menarik lebih ramai golongan cetek agama menyertai ajaran itu,” katanya.

Mengulas kes Tok Hassan membelasah anak saudaranya, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkaitan kejadian itu. Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

No comments: